Siapa sedar ia diakui lambang?
Saya telah membeli buku Looking Back (Pustaka Antara, 1977) oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 8 April 1981 di Kedai Buku Universiti Malaya. Pada helaian akhir tercatat tarikh 1 November 1981 iaitu tarikh saya selesai membacanya. (Sebahagian besar kompilasi rencana itu telahpun juga dibaca ketika terbit pertama kali dalam The Star melalui kolumnya). Berdasarkan tarikh-tarikh tersebut, jelaslah ketika itu saya sudahpun lebih 7 tahun bekerja.
Buku ini tersimpan baik dan sebenarnya agak istimewa kerana mengandungi banyak tampalan keratan akhbar berkaitan dengan Tunku. Memang kebiasaanku menyelitkan keratan-keratan akhbar dalam sekian banyak buku-buku dalam koleksi peribadi. Kaedah ini sangat berguna kerana menambah maklumat tentang pengarang buku-buku tersebut atau subjek berkaitan dengan judul masing-masing. Pembelekan semula bahan-bahan berkenaan lama kemudian menimbulkan sejenis kesenangan.
Saya terpanggil mencapai semula buku ini yang selamanya terletak di rak tempat saya mengadap komputer kerana melintasi rencana Zulkifli Salleh, “Tujuh Lambang Pembentukan Malaysia” (Agenda Bahasa), Dewan Bahasa, Jilid 18, Bil. 8/2018, muka surat 16-18.
Sebenarnya, dalam beberapa minggu kebelakangan saya sedang membelek majalah-majalah Pelita Bahasa dan Dewan Bahasa. Bibliografi Kebahasaan yang belasan tahun disedia dan disimpan lantas saya kemaskinikan berdasarkan judul-judul rencana yang termuat di dalam majalah-majalah ini. Itulah prosesnya, sampai saya berdepan dengan rencana kawan perencana handalan ini.
Kata Zul, beliau pernah memiliki Looking Back tetapi tidak lagi “dapat pastikan ke mana perginya buku ini”. Hakikatnya beliau ‘terlepas pandang akan topik yang sangat penting” terutama jika disedari ketika menulis sebuah rencana sempena sambutan jubli emas DBP pada tahun 2006. Bagaimanapun, dalam rencana yang dinyatakan lebih awal di atas, Zul telah menyebut lambang-lambang berkenaan seperti dicatatkan oleh Tunku dalam Pandang Balik. (Rencana Zul yang dimaksudkan itu pernah saya sentuh dalam hantaran fb bertarikh 18 November 2020 berjudul “Bahasa cula”).
Saya teringin menyalin semula tulisan Tunku itu dalam versi bahasa Inggeris: “The Language and Literature Agency – it is symbolic of the rich heritage and special position of the National Language, which is the official language of Malaysia;” (p. 114).
Dalam rencana Zul, fakta ini ditulis, “Dewan Bahasa dan Pustaka yang melambangkan warisan yang kaya dan kedudukan istimewa bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa rasmi Malaysia;”
Saya anggap bahagian catatan Zul, yang paling bernas, berbunyi, “Malangnya, cita-cita murni untuk memartabatkan atau mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di semua peringkat pengajian, daripada serendah-rendahnya kepada setinggi-tingginya, yang membuahkan kejayaan, musnah sama sekali. Keadaan yang tidak menyenangkan ini berlaku akibat liberalisasi pendidikan yang menyaksikan kewujudan universiti dan kolej swasta dan langkah membenarkan bahasa Inggeris diajarkan semula di universiti awam. Pengenalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), boleh dikatakan, memusnahkan segala-galanya, baik terhadap sistem pendidikan negara mahupun terhadap bahasa Melayu sendiri.” ( hlm. 18)
Memang, saya acap benar menyentuh persoalan kebahasaan kebangsaan sejak aktif di fb. Tak mengapalah, hantaran-hantaran meliputi sekitar 7 tahun sampai kini tidak pula sangat diminati ‘kawan’ kecuali segelintir yang pastinya termasuk Zul. Namun, reaksi Zul sangat menarik dan berani, dengan terus-terangnya (seperti juga dalam kebanyakan tulisan-tulisan beliau dalam semua bidang).
Layaran semula ke atas beberapa hantaran yang berkenaan itu menemui reaksi Zul yang berbisa dan berkelas klasik, seperti: “Melihat kemelut bahasa Melayu, seperti yang Dato' ketengahkan menyebabkan saya berasa "seram sejuk" untuk mengatakan "bahasa Melayu tonggak tamadun bangsa," atau "bahasa Melayu dalam pembinaan bangsa (nation-building," atau "bahasa Melayu dan pembentukan dan pengukuhan negara bangsa (nation-state.)" Semuanya kedengaran "gah-gah," tetapi hakikatnya tidak sedemikian! Walaupun pahit dan sukar, saya terpaksa berpijak di bumi, tidak terawang-awang tentang nasib bahasa Melayu.”
Dan kemudian, “Saya tak pasti Dato', apakah strategi yang sesuai. Namun, berdasarkan pemerhatian saya, usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu banyak tertumpu seperti "memadamkan kebakaran" atau mengawal tangkis kerosakan ("damage control") berbanding dengan aspek pembangunan ("developmental").
Zulkifli Salleh banyak menyentuh isu-isu kebahasaan. Sebahagian (tulisan bagi tempoh 2010-2015) telah pun terkumpul dalam buku beliau, Bahasa dan Isu-isu Sosiobudaya, DBP, 2019, 256 halaman, RM22.
Pun, dalam Bibliografiku, saya tetap menyenaraikan rencana-rencana beliau yang lain ditulis dalam tahun 2016 sehingga sekarang.
No comments:
Post a Comment