Sunday, 27 December 2020

 Bahasa cula

Salah satu ruangan yang sangat saya hargai dalam Dewan Masyarakat ialah “Baca dan Fikir”, yang sehalaman dan berhuruf saiz besar. Ia sebuah ruangan yang tentunya mengajak para pembaca mencerna petikan bernas oleh pengucap-pengucap petikan-petikan pendek yang dimuatkan, biasanya oleh tiga orang individu atau tokoh. Saya anggap, ruangan mampu memantul pembaca menjana pemikiran sendiri mereka pula dalam aspek-aspek yang berkaitan.
Pendekatan memetik pandangan atau buah fikiran bijaksana para pemikir yang ‘berani’ dan kritis ini sebenarnya telah saya pergunakan juga dalam banyak hantaran saya di laman fb. Suatu ketika saya memperkenalkan ruangan “Ensiklopedia Sedutan Ehwal Bahasa”, sampai mencapai bilangan 19 dalam sirinya. Banyak pula, hantaran lain dalam bidang yang sama dan bidang-bidang lain dilakukan dalam hampir sedekad kebelakangan.
Hanya saya kurang pasti, berapa ramai orang yang membaca dan mengembangkan janaan daripada inti pati ujaran-ujaran itu di kalangan khalayak yang lebih ramai. Sewajarnya inti pati itu menerbitkan gandaan berlipatan. Bukan, ‘mutiara terpendam’ yang dilepas pandang. Lalu, jadilah ia sekadar perenggan-perenggan mengisi ruangan saban bulan.
Terhadap inisiatif saya itu, ternyata, sambutannya teramat hambar. Ia tidak diendahkan. Hanya segelintir ‘friends’ fb yang menyerlahkan ‘suka’ mereka. Saya harap “Baca dan Fikir” Dewan Masyarakat tidak menerima malang yang sama.
Hari ini saya ingin mengisytiharkan diriku sebagai pengutip inti pati pemikiran penulis lain yang bertebaran yang ditemui dalam bahan-bahan bacaan hasil belekan harian saya sejak puluhan tahun. Ya, benar. Puluhan tahun. Kegiatan ini bakal berterusan, insya-Allah.
Pembacaan saya sejauh yang meliputi majalah-majalah terbitan DBP menjadikan saya percaya semuanya berkualiti, dari segi isi (pelbagai bidang dan para penulis), dan, apalagi dengan kecanggihan teknologi, penambahbaikan kualiti merebak ke aspek teknikalan penerbitan atau pencetakan juga.
Pada kali ini saya, tergerak hati untuk menyentuh secebis yang mengenai bahasa, iaitu bahasa Melayu. Tiada seorang pun di kalangan penulis yang ramai itu (bertokoh atau tidak) boleh diketepikan kebangsaannya apabila meluahkan kekecewaan terhadap penyahan berleluasa maruah bahasa itu. Boleh diakui mereka berjiwa kebangsaan tulen.
Pada 29 April 2013 saya pernah menghantar: “Pada Ogos 1961, rencana “Semangat Bulan Bahasa Kebangsaan” ini tersiar sebagai Rencana Pengarang, majalah Dewan Bahasa. Kemudian, 26 tahun kemudian, pada Disember 1987, majalah Dewan Budaya pula menyiarkannya semula. Rencana ini bermula dengan kalimat: “Terlalu banyak masalah yang timbul di sekitar bahasa kebangsaan kita hari ini. Dan masalah-masalah itu berkembang, bertambah-tambah dan beranak-anak dari hari ke hari.”
Selepas lapan perenggan lain, perenggan penutupnya berbunyi, “Semangat Bulan Bahasa Kebangsaan ini mestilah semangat yang terbit dari kesedaran dan kejujuran terhadap cita-cita Perlembagaan Negara.”
Bandingkan pemerian itu dengan situasi hari ini, padahal ia suatu lompang masa melangkaui 57 tahun.
(lihat, “Semangat Bulan Bahasa Kebangsaan”, (Umum), Dewan Budaya, Disember 1987, muka surat 18-19. Asalnya, Rencana Pengarang, Dewan Bahasa, Bilangan 8 – Ogos 1961).”
[Nota: Empat ‘friend’ suka]
Gerakan Cintailah Bahasa Kita dilancarkan pada 11 Disember 1987.
Terlalu banyak dalam senaraiku petikan-petikan yang lain seiras dengannya. Tapi, saya melompat kijang untuk lebih semasa dengan memilih uar-uaran penulis prolifik majalah-majalah Dewan, Zulkifli Salleh. Saya pernah mengusik secara bersantai dan ringkas tulisan beliau tentang pendirian kebahasaannya, (misalnya pada hantaran bertarikh 26 Mac 2016).
Namun, hari ini saya menyentuh pandangan Zul yang lebih kemudian, lebih mutakhir. Sempena menyambut 63 tahun DBP, Zul menulis, “DBP dan Pembinaan Negara” (Pemikiran), Dewan Masyarakat, Julai 2019, muka surat 45-48. Kata beliau, ketika menyambut jubli emas DBP pada 22 Jun 2006, ditulis beliau sebuah rencana dalam Mural Dewan: Seni Awam sebagai Lambang Pembangunan Bangsa (2006). Saya melihat rencana itu termuat di muka surat 65-72.
Begitu pun, dalam tulisan yang akhir ini, Zul memetik semula sedikit tulisan berkenaan sebagai mengantarkan input yang lebih baharu. Beliau menyusur galur pengalaman DBP selama kewujudannya.
Setelah DBP mencapai usia 63 tahun, Zul menulis, “DBP seakan-akan lebih menampakkan dirinya sebagai institusi kerajaan; sedangkan kedudukannya sebagai badan perjuangan semakin goyah dan sebagai institusi ilmu dan intelektual semakin kabur. DBP seakan-akan kehilangan kekuatan tiga serangkai itu.”
Seorang tokoh lain yang ingin disentuh pendiriannya ialah A. Kadir Jasin. Mengenai proses pemerosotan bahasa Melayu telah beberapa kali ditulis beliau. Dalam bibliografi peribadi susunan saya tersenarai: A. Kadir Jasin, “Other Thots”, New Sunday Times, 21 Januari 2001. Nota: Ada ulasan Awang Sariyan, “Mitos Bahasa” (Reaksi), Dewan Budaya, Mac 2001, muka surat 8-9 terhadap pandangan tersebut); A. Kadir Jasin, “Bangsa Tanpa Jiwa” (A. Kadir Jasin Bercerita), Dewan Masyarakat, Jilid 53, Oktober 2015, muka surat 30-31; A. Kadir Jasin, “Kenangan Bulan Bahasa Kebangsaan” (A. Kadir Jasin Bercerita), Dewan Masyarakat, Jilid 56, Bil. 8/2018, muka surat 50-51; A. Kadir Jasin, “Bahaya Bahasa Melayu Semakin Layu” (A. Kadir Jasin Bercerita), Dewan Masyarakat, Jilid 56, Bil. 10/2018, muka surat 50-51.
Satu lagi, yang terbaharu, A. Kadir Jasin, “Bahasa Semakin Tidak Menjiwai Bangsa” (AKJ Bercerita), Dewan Masyarakat, Bil. 9/2019, muka surat 30-31.
Tulis Kadir, “Sejak itu banyak kemajuan dicapai. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dalam bidang utama kehidupan, seperti pendidikan, pentadbiran, perundangan dan kehakiman. Begitu pun, kejayaan perjuangan yang lama itu nampaknya sedang diruntuhkan dengan pantas dan meluas oleh salah guna teknologi komunikasi oleh pengguna bahasa Melayu. Hal inilah yang mencetuskan satu siri perbualan dan perbahasan hangat dengan beberapa kumpulan anak muda, khususnya yang bergiat dalam arena politik dan cergas dalam media sosial.
Saya perhatikan ledakan maklumat akibat perkembangan pesat teknologi komunikasi yang tidak membantu perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Sebaliknya, apa-apa yang sedang berlaku dengan pantas dan meluas ialah kelayuan dan mungkin juga permulaan kepada kematian bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjiwai bangsa.
Bahasa Melayu semakin tidak berjiwa dan tidak bermaruah akibat sifat biadab, cetek akal dan tohor ilmu dalam kalangan penggunanya. Bahasa Melayu pantas menjadi bahasa pengantar bagi penyebaran fitnah, pembohongan dan maki hamun dalam media sosial.
Hatta penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi oleh media arus perdana, pentadbir dan ahli politik pun semakin hari semakin hambar dan berkecamuk akibat penyaduran sesuka hati istilah daripada bahasa Indonesia, Inggeris dan Arab.
Kalau aliran ini dibiarkan dan penguasaannya tidak diperkukuh semula, kemungkinan bahasa Melayu kembali menjadi bahasa pasar adalah amat besar. Sekarang pun kita tidak boleh lagi berbangga dengan statusnya sebagai jiwa bangsa.”
Saya sangat menyedari kerterbatasan dan kewibawaan DBP mendukung berterusan aspek-aspek keintelektualan dan perjuangan yang dinyatakan oleh Zul di awal itu. (Banyak yang boleh ditulis mengenai aspek-aspek ini).
Pun, saya bersedia mengakhiri hantaran ini dengan menyalin pandangan Zul, “Walau apa-apa pun cabaran mendatang dan seberat mana sekalipun halangan menimpa, perlu diingat bahawa kapal dibina untuk belayar. Lebih baik karam di laut luas daripada dibiarkan tersadai di pelabuhan, dipukul ombak, akhirnya reput dan musnah.” (Lihat, Zulkifli Salleh, “DBP dan Pembinaan Negara”, muka surat 48).
Selagi memikul amanah janganlah sekadar mengiringinya menyudahkan usia kerjaya.
Image may contain: ‎one or more people, ‎text that says "‎9 BUDAYA DAN SASTERA PEMERKASAAN BAHASA, vii. Pengantarabangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) viii. Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020 KLBACA! 9 PEMERKASAAN BAHASA, BUDAYA DAN SASTERA i. Program Sasterawan Negara di Universiti Mengangkat kedudukan Sasterawan Negara ii. Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030) Lebih daripada 36,000 kegiatan telah dirancang seluruh negara untuk tahun ini Ⅲ. Semakan semula Dasar Bahasa Kebangsaan iv. Semakan Dasar Buku Negara Menggubal Dasar Sastera Kebangsaan Kempen Pemartabatan Bahasa Melayu 231.3000 Pendigitalan Penerbitan DBP اوا துنத نதm Malaysia benambung‎"‎‎
You, Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 13 others
5 comments
Like
Comment
Share

Comments

  • Ya, saya akan sentiasa membaca & memuji 
    terbaik
     setiap posting Dato' Ahmad Said .. berkaitan kajian mendalam secara akademik dan utk bacaan umum Masyarakat istimewa lagi majalah akhbar beraksara jawi (dan menunggu sejauh mana Dato' Ahmad Said "mengkaji K. Bali" dlm konteks penulis Cina+Siam Peranakan Kelantan? Tkasih
    1
    • Like
    • Reply
    • 7 w
  • Jarang kita dapat membaca sesuatu ramalan benar-benar berlaku atau tidak apabila tiba masanya, terutama apabila melibatkan ramalan yang panjang tempohnya. Ambillah contoh Wawasan 2020, yang meliputi jangka masa 30 tahun. Kita tidak dapat menggarap apa sebenarnya telah dicapai berbanding apa yang diwawaskan ketika penggubalan dan pelancarannya dahulu. Hari ini, kita hanyut oleh kesibukan mutakhir atau semasa apabila tempoh wawasan itu berakhir. Lazimnya, pada awal perbincangan (iaitu pada tahun-tahun awal pelancarannya pada tahun 1990 dahulu) lebih banyak yang mengunjur atau membayangkan kemungkinan kejayaan berbanding kegagalannya, walaupun dengan berlapik syarat-syarat tertentu. Tentu ada sebab-sebab menarik di sebalik kecenderungan lebih positif berbanding negatif itu!
    Dalam konteks ‘perkembangan’ bahasa Melayu, hari ini saya melintasi kata-kata ini: “Sudah pasti pada tahun 2020 kelak, bahasa Melayu akan disisihkan dalam bidang sains dan teknologi. Pada tahun 2020 juga nanti, di dalam rak buku-buku bahasa Melayu, tidak ada barisan buku sains dan matematik (keadaan yang sama dialami dalam perpustakaan Melayu sejak 1400 tahun yang lalu). Kepustakaan Melayu tentang sains dan matematik hanya sempat tumbuh pada tahun 1963 dan pupus pada tahun 1996. Pejuang bahasa dan sastera yang selama ini cemburu pada DBP kerana terlalu “berkasih” kepada penerbitan buku teks dan buku ilmu pengetahuan, turut merasa kecewa apabila buku-buku IPT tidak terbit lagi.” (lihat, H.M. Jajuli, “Adakah Orang Melayu akan Maju 17 Tahun Lagi?” (Kalam Permata), Dewan Budaya, April 2003, muka surat 48-49).
    Ia suatu ramalan yang mengena dinukil 17 tahun dahulu.
    • Like
    • Reply
    • 7 w
  • “Kalau tiada usaha serius, saya yakin bahasa Melayu akan terus tenggelam di dalam bahasa lain seperti Inggeris yang semakin dominan. Mungkin tidak sampai 50 tahun bahasa ini akan hilang “kekuasaannya” di negara ini.” Kata Profesor Madya Dr. Victor Po… 
    See more
    • Like
    • Reply
    • 6 w
  • Satu kesimpulan rencana yang sangat menarik kulintasi hari ini, begini tertulis, “Pada abad ke-21, banyak bahasa minoriti akan hilang dari dunia ini. Bilangan 25 juta orang penutur bahasa Melayu Malaysia pun mungkin dihanyutkan dan ditenggelamkan oleh arus pengglobalan bahasa Inggeris atau cabaran daripada bahasa utama dunia yang lain, terutama bahasa Cina. Maka, usaha pemerkasaan bahasa yang serius dan semangat cinta akan bahasa kebangsaan oleh masyarakat Malaysia bakal menentukan nasib bahasa itu. Bahasa Melayu Malaysia harus bernilai ekonomi. Bahasa Melayu Malaysia harus menjadi wahana ilmu sesuai dengan perkembangan zaman. Bahasa itu tidak akan maju hanya setakat dipuja dan disanjung lewat emosi kesukuan yang membakar semangat semata-mata.” (muka surat 11). (Lihat, Lim Kim Hui dan Har Wai Mun, “Daripada Dialek kepada Bahasa Global” (Agenda Bahasa), Dewan Bahasa, Jilid 5, Disember 2005, muka surat 6-11).
    • Like
    • Reply
    • 1 w
  • .”Agak jelas bahawa selama ini perkara yang kurang ialah komitmen padu di samping usaha terancang dan serentak dalam sektor-sektor lain yang sama penting. Hal ini perlu bagi mengisi dan melengkapkan prasarana Perlembagaan dan perundangan yang sedia ada. Kekurangan ini perlu disedari kerana jika tidak, mungkin ritual kosong ini akan berulang kembali pada masa-masa yang akan datang. Bahasa Melayu akan terus menjadi isu politik yang menyebabkan sesiapa sahaja yang memperjuangkannya dilihat sebagai golongan nasionalis melampau.” (h. 9)(Lihat, 37. Abdul Aziz Bari, “Menangani Masalah Bahasa Kebangsaan Melalui Pemahaman Perlembagaan” (Agenda Bahasa), Dewan Bahasa, Jilid 6, Oktober 2006, muka surat 6-9)
    • Like
    • Reply
    • 1 w

No comments:

Post a Comment