Kembara Thailand (4): Destinasi Bangkok.
Bentuk pembangunan di sepanjang lebuhraya yang dilalui boleh dikatakan tidak banyak berbeza di kiri kanannya. Pemandangan berubah-ubah tetapi demikian adalah tipikal. Ada pekan-pekan dilalui, ada kilang-kilang di sebelah menyebelah, ada bangunan-bangunan awam, ada kuil-kuil, perkampungan, ladang-ladang getah, perbukitan dan belukar atau hutan di kejauhan. Betullah kata Ezri, tiada bezanya dengan suasana di Malaysia, apabila kutanyakan ketika beliau balik berkereta bersendirian beberapa hari sebelum Hari Raya tempoh hari.
Aku pun bertanggapan begitu, berdasarkan pengalaman keluar melancung di Thailand 4-5 tahun dahulu. Ketika itu aku dan R menaiki teksi dari hotel di Bangkok untuk melihat pasar terapung di luar Bangkok. Perjalanan itu mengambil masa lebih kurang sejam. Untuk sampai di destinasi, kami melintasi kawasan luar bandar. Maka wajah perkampungan terserlah. Ada aktiviti pertanian – sawah padi yang luas, kuil-kuil Buddha, kolam-kolam perikanan atau ternakan air tawar yang lain, perkedaian dan industri kecil yang menyokong kehidupan penduduknya. Kehijauan alam, sumbangan tanam-tanaman atau tumbuh-tumbuhan yang seakan serupa di negara sendiri menimbulkan rasa keakraban – bahawa bumi ini dijadikan Allah SWT untuk di kongsi oleh pelbagai jenis manusia. Masing-masinglah mengimarahinya, mengikut budaya sendiri-sendiri.
Kami tiba di R&R Chumphon lebih kurang 4.45 petang. Ezri membuat pusingan U yang tidak jauh untuk tiba. Kawasan ini nampak terjaga baik dan kemudahan untuk orang Islam lengkap. Ada restoran halal lagi bersih dan ada surau yang cantik. Bilik airnya terjaga dan selesa. Landskapnya pun menarik. Ketika kami berhenti di depan restoran itu ada sekeluarga sedang makan-makan di sebuah meja. Mereka sebentar kemudian berkereta beredar meneruskan perjalanan.
Kalau tidak silap ada lima gerai di premis itu. Masing-masing menawarkan makanan yang berlainan – nasi ayam, jenisan sup, bubur nasi, dan lain-lain. Salah satu gerai mengkhususi minuman. Untuk mudah dan ringkas kami semua memilih kuetiau sup. Ketika pergi menempah minuman terpandang bahan-bahan Malaysia ditawarkan, bergantungan seakan sekali gus menghiasinya – kopi jantan, susu kambing, kopi Aik Cheong dan lain-lain. Namun, aku memesan Coffeechino, dan R memilih Limau Ais.
Kami duduk di meja berhampiran gerai sup. Sebentar kemudian pesanan kami dihidangkan. Minuman yang dipesan menyusul kemudian. Kuetiau sup itu kami makan. Ramuan lain tersedia di atas meja – cili jeruk dan kicap. Kami bebas melakukan ubahsuaian mengikut selera sendiri. Kuah sup itu ada ‘kik’nya, boleh jadi juga kerana ubahsuaian kami yang menepati. Bahan-bahan yang dimasukkan terutama bebola ikan dan ketulan/keratan dagingnya mengenakkan makanan. Hanya sedikit dikesali kuetiau itu kukira amat sedikit, beberapa lapisan saja. Ia menjadi sempurna kalau sebanyak itu ditambah ke dalam mangkuk yang dibekalkan kepada kami itu. Aku memberikan wang 1000 Baht kepada R untuk membayar makanan kami. Lalu aku ke bilik air Surau di sebelah. Tidak pula kupastikan harga sebenar dengan R. Tetapi aku percaya harganya tidak mahal. Tentu ada bakinya.
Ketika akan beredar, beberapa buah kereta pelancung lain baru tiba di depan premis makan itu. Ada juga yang bermotosikal. Sebenarnya berhadapan premis itu ada satu bangunan lain yang besar. Aku percaya di situ gerai-gerai utamanya dikumpulkan. Malangnya aku sendiri tidak pergi meninjaunya. Kami singgah bergambar di beberapa lokasi menarik di situ untuk kenangan. Ezrilah menjadi fotografernya. Kemudian kami bergerak. Selepas membuat pusingan U di tempat berdekatan, kami meneruskan perjalanan. Jam ketika itu pukul 5.10 petang. Setelah beberapa ketika, kami melintasi patung gergasi seekor burung, di sebelah kiri dibina di bahu lebuhraya. Struktur berwarna emas ini adalah tanda masuk ke arah sebuah kuil di Chumphon.
Chumphon ke Bangkok sejauh 465 kilometer. Kalau diambil 6 jam untuk ke destinasi itu maka waktu tiba di Bangkok ialah 11.15 malam atau selepas itu, jika ada sesuatu yang di luar jangkaan. Sebenarnya tidaklah didapati perbezaan yang jelas pembangunan dari satu tempat ke tempat yang lain, semakin kami beransur ke utara. Semakin mendekati pekan ketumpatan bangunannya menjadi lebih tepu. Ini sudah lazim di mana-mana pun. Aku tidak dapat menghafal nama-nama tempat yang dilalui. Berdasarkan peta, dapatlah disebutkan beberapa di antaranya – Prachuap Khiri Khan, Phetchaburi dan beberapa lagi sebelum memasuki Bangkok.
Pemanduan kenderaan-kenderaan yang berbagai-bagai di lebuhraya boleh dikatakan teratur. Ezri berpendapat sikap para pemandu di jalanraya Thailand lebih kurang disiplinnya berbanding pemandu-pemandu di Malaysia. Pandangan ini betul, tetapi tidaklah kukira jauh berbeza. Hanya barangkali pemandu-pemandu kenderaan berat lebih tidak mengendahkan kerana kerap juga berada di lorong laju tanpa mudah beralih ke lorong sebelah kiri. Kenderaan seperti kereta harus mengambil lorong kiri jika hendak memotong dengan segera. Kecuali aspek ini, kukira standard atau profesionalisme pemandu antara kedua-dua negara boleh disebut, “dua kali lima sahaja”. Aku tidak pula dapat mengasaskan pemerhatian ini terhadap disiplin pemanduan selain daripada di lebuhraya.
Apabila senja berubah malam tiada apa lagi peninjauan terhadap suasana sekitaran kiri kanan lebuhraya boleh dilakukan. Hanya sebagai ‘co-driver’ aku hanya senyap-senyap memperhatikan stail pemanduan Ezri. Tidak pula didapati ia memandunya secara berbahaya. Memanglah pada tempat-tempatnya pemecutan dilakukan dan pada tempat-tempat lain berubah perlahan mengikut kewajaran suasana. Yang harus disedari, beliau seorang sahaja yang memandu. Berterusan dan melibatkan jarak yang amat jauh. Selaku seorang pemandu yang berpengalaman, aku sendiri berasa pemanduan di lebuhraya itu tidaklah sangat tercabar – dari segi tahap kesabaran atau ketertiban memandu. Sebab utamanya kerana lebuhraya itu secara keseluruhan kukira lurus dan sehala. Sepanjang-panjang perjalanan tidak pula perlu berselisih dengan kenderaan bertentangan haluan seperti biasanya berlaku di jalanraya biasa dua hala. Ambillah contoh perjalanan balik kampung dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan sebaliknya. Di jalanraya dua hala begini kecekapan dan tumpuan yang lebih diperlukan berbanding pemanduan di lebuhraya sepenuhnya yang berupa pergerakan sehala.
Dalam perjalanan pada waktu malam, pada tempat-tempatnya kami ditimpa hujan. Walaupun tidaklah lebat sangat, sedikit sebanyak memperlahankan kelajuan kenderaan. Satu perkara yang kuperhatikan juga, beberapa kali kami bergerak perlahan kerana ada sekatan jalanraya dilakukan oleh polis. Semakin mendekati bandar atau Bangkok semakin kerap mengalaminya. Barangkali ini salah satu kaedah kawalan keselamatan yang diguna pakai oleh pasukan itu. Jadi tidak dapat dielakkanlah kereta daripada dipandu perlahan. Bagaimanapun tidaklah hendak kukatakan pendekatan polis itu sampai mengakibatkan kesesakan atau kelewatan sampai ke destinasi.
Pemanduan dan lebuhraya menjadi rancak apabila kami telah semakin mendekati Bangkok. Sememangnyalah kerana kenderaan masih banyak di jalanraya dan malam belum lagi lanjut. Lebuhraya semakin lebar dan simpang siuran arah perlu diperhatikan agar tidak terlajak keluar haluan. Namun, GPS yang digunakan berfungsi dengan sempurna. Ezri menguasai sistem itu. Perjalanan kami terjamin menuju destinasi muktamad. Ketika telah memasuki Bangkok, kami melalui satu jambatan panjang merentasi Sungai Chao Phraya. Ezri memberitahu jambatan ini bernama Jambatan Rama IX sempena Raja Bhumibol Adulyadej yang memakai gelaran tersebut. Ada beberapa lagi jambatan cantik merentasi sungai yang lebar itu. Aku boleh nampak sebahagiannya di kejauhan.
Malam yang telah lama menjelang masih menampakkan serinya melalui kilauan cahaya kota dari jambatan yang tinggi itu. Memang Bangkok sebuah kota yang kian mega.
Perjalanan yang panjang sejauh 1,459 kilometer - Sadao - Bangkok (983 kilometer) dan Kuala Lumpur -Bukit Kayu Hitam (476 kilometer) berakhir apabila kami sampai di tempat penginapan di Sathorn Garden, South Sathon Road, Bangkok. Syukurlah, semuanya berjalan lancar dan kami tiba dengan selamatnya.
No comments:
Post a Comment