Utusan Melayu: Kunjung penamat (12) – Mengenang tokoh
Saya memetik dan menyusun bahan-bahan dalam buku tulisan Zainuddin Maidin seperti berikut:
“Ramai yang telah berjanji untuk membeli saham Utusan Melayu tetapi akhirnya mengelak daripada Yusof malah telah berpesan kepada isteri-isteri mereka supaya jika Yusof datang, beritahu mereka tidak ada di rumah.” (muka surat 19)
Akhirnya, Yusof Ishak menitiskan air mata di depan Daud Mohamed Shah dan Ambo’ Sooloh Omar setelah gagal mengumpul modal yang diperlukan sebanyak $8,500 lagi, sedangkan masa terluang hanya tiga hari sahaja. Mereka, “berikhtiar dan esoknya mereka memberikan $8,500 ‘kerana kenangkan awak, Yusof’.” (muka surat 20)
“Beliau [Yusof Ishak] sendiri yang menguruskan pengambilan kerani, pengatur huruf dan print setters, dan juga wartawan dengan mensyaratkan mereka mestilah terdiri daripada Melayu jati kerana beliau mahu akhbar Utusan Melayu benar-benar didukung oleh Melayu jati sahaja.” (muka surat 21)
Pembaca doa majlis pelancaran Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 ialah Tuan Haji Abas Taha, Kadi Besar Singapura. (muka surat 21)
Ishak Haji Muhammad menyertai Utusan Melayu daripada Warta Malaya dan menjadi pengarang sementara Abdul Rahim Kajai, yang dijanjikan jawatan pengarang oleh Yusof, menyertainya pada Ogos 1939. (Nota hujung 30, muka surat 26. Sambil itu saya merujuk juga, Abdul Latiff Abu Bakar, 1984. Abdul Rahim Kajai Wartawan dan Sasterawan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)
Dalam Memoir A. Samad Ismail di Singapura, muka surat 100, tertulis, “Menurut Pak Manan Haji Ali, seorang direktor Utusan Melayu, pada mulanya Kajai agak ragu-ragu terhadap kemampuan Utusan untuk bertahan menyaingi Warta Malaya. “Aku terpaksa berulang-alik menemui Kajai, beberapa kali memujuknya … tapi akhirnya aku dapat menyakinkan Kajai untuk menyertai Utusan.” kata Pak Manan kepada saya.”
Tentang Ishak Haji Muhammad, Samad menulis, “Ishak keluar daripada Utusan bukanlah kerana jawatannya diambil alih oleh Kajai. Setahu saya dia keluar kerana keretakan hubungannya dengan Yusof Ishak.”)
“Sebelum Utusan Melayu berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur, Yusof merasakan satu peluang keemasan telah tiba bagi surat khabarnya, Utusan Melayu, digunakan untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan kebaikan negara menurut sistem demokrasi.” (muka surat 3)
“Ketika dalam perang dan ketika dalam cabaran getir lainnya, Yusof tetap mengimbangi antara kehendak idealisme dan komersialisme serta percaya bahawa kekuatan kewangan yang akan memastikan survival dan kejayaan sesebuah agenda besar.” (muka surat XI)
Zainuddin Maidin merujuk tulisan A. Samad Ismail yang berpendapat, “Kelahiran Utusan Melayu adalah salah satu kejayaan Kesatuan Melayu Singapura yang paling besar, satu detik penting dalam sejarah kebangkitan bangsa Melayu, tidak sahaja di Singapura tetapi juga di Malaya.”
“Yusof diketahui sebagai seorang yang antisastera dan menganggap bahan sastera tidak boleh menjual akhbar dan hal ini menyebabkan beliau tidak disenangi oleh golongan sasterawan dalam Utusan yang mendapat sokongan daripada Timbalan Pengarang, A. Samad Ismail.” (muka surat 3).
“Yusof yang dalam keadaan apa pun lebih mengutamakan survival Utusan Melayu daripada kepentingan politik akhirnya menjadi mangsa kepada suatu keadaan yang tidak lagi dapat dikawalnya.” (muka surat 3).
“UMNO mengugut Yusof manakala orang kiri menjalankan rampasan kuasa. Akhirnya Yusof meletakkan jawatan.” (muka surat 4)
“Pemergiannya daripada Utusan Melayu pada tahun 1959 selepas kira-kira setahun ibu pejabat Utusan berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpur adalah keruntuhan benteng pertahanan Utusan Melayu daripada tekanan luar dan dalam…” (muka surat 3)
“Yusof Ishak pula menjadi Presiden Singapura yang pertama kerana dedikasi kerja, kejujuran dan pengorbanannya di Utusan Melayu yang menjadi penilaian besar dan pengiktirafan rakannya, Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew.” (muka surat XII)
Kata A. Samad Ismail dalam Memoirnya, “Yusof tinggi dan tegap, hidungnya seperti paruh burung kakak tua, rambutnya pendek, tetapi tampan. Dia lebih senang berbahasa Inggeris, dan bila bercakap Melayu, loghat Peraknya tebal sekali. Agak aneh juga waktu itu saya dapati Yusof tidak boleh menulis Jawi, bahkan tidak mampu menulis dalam bahasa Melayu. Dia lebih lancar menulis dalam bahasa Inggeris. Pada masa-masa tertentu, dia bertindak sebagai pemberita juga. Di sinilah tarikan saya kepadanya, kerana berita-beritanya akan saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Lebih daripada itu, agaknya dia memberi perhatian istimewa kepada saya kerana kedudukan saya sebagai anak kandung Kesatuan Melayu. Dari darjah lima sekolah Inggeris hingga saya lulus, buku-buku teks saya dibiayai oleh Kesatuan Melayu. Kemasukan saya di Utusan pun dengan restu pemimpin-pemimpin Kesatuan Melayu terutamanya Pak Manan Mohd Ali yang serentak menjadi Pengarah Urusan.” (muka surat 102)
Rujukan: Zainuddin Maidin, 2013. Di Depan Api Di Belakang Duri Kisah Sejarah Utusan Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd; A. Samad Ismail, 1993. Memoir A. Samad Ismail di Singapura. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia).
No comments:
Post a Comment