Lambang Merdeka (Malaya Merdeka, 1955)
“Kita berasa sedih dan terharu, kerana di antara bermacam-macam lagu yang dinyanyikan, semenjak dari lagu-lagu Melayu, membawa kepada lagu myoto okaino, peninggalan mendiang pemerintah Jepun, sampai pula kepada lagu Perancis, Sepanyol, Arab, dan sekali-sekali diselangi pula oleh drebar koc ini dengan lagu-lagu mambo, kita belum dapat lagi mendengar lagu kebangsaan Melayu, dinyanyikan oleh penuntutnya di luar negeri. Inilah satu kekurangan yang amat besar bagi kami di luar negeri, kerana lagu kebangsaan itu, adalah suara dari jiwa rakyatnya.
Alangkah baiknya supaya cerdik pandai bangsa Melayu, menciptakan lagu ini dengan segera. Supaya penuntut di luar negeri tidak lagi meraba-raba ke sana ke mari mencari lagu-lagu yang berbau Malaya, untuk dinyanyikan di dalam keramaian penuntut-penuntut Melayu, atau di dalam aneka warna gabungan penuntut Afro-Asia. Sebahagian besar penuntut-penuntut Melayu di Great Britain ini sangat besar perhatian mereka terhadap perjuangan bangsanya di tanah air. Tetapi amat sayang mereka belum dapat lagi menunjukkan kepada bangsa asing bahawa bangsanya, bukanlah bangsa yang berjiwa beku, tapi adalah juga ada satu bangsa yang ingin hidup setaraf dengan bangsa-bangsa yang merdeka di dunia ini. Ini akan dapat dinyatakan dengan lagu kebangsaan, kerana lagu itulah lambang dari perjuangan rakyatnya.”
(Lihat, Aisyah Aziz, London, “Hari Raya Di London”, “Malaya Merdeka”, Bilangan 25 Tahun Pertama, 23 Jun 1955, muka 14).
No comments:
Post a Comment