Fragmen Memoir Tak Jadi: Skim Perkhidmatan (6)
Sebenarnya perbekalan-perbekalan sedia ada telah kuanggap baik bahkan progresif. Kalaulah yang demikian itu meliputi kesemua skim perkhidmatan maka ia telah mencapai tahap ideal. Tentulah bersebab di sebalik tidak semua skim perkhidmatan digubal serupa. Pasti wujud rasional di sebalik perbezaannya.
Ambillah satu contoh, iaitu perbekalan “Kelayakan Masuk Pelbagai (KMP)”. Perbekalan ini bermaksud, bahawa sesuatu perkhidmatan itu membuka peluang yang sama kepada calon-calon yang berkelayakan akademik lebih rendah, atau lebih tinggi memohon jawatan-jawatan yang diiklankan. Ini bermakna, sekiranya calon ini memiliki ijazah pertama (sarjana muda) sahaja, atau sarjana muda dan sarjana ataupun sarjana muda, sarjana dan PhD, ia layak dipertimbangkan dan sekiranya terpilih dia akan ditawarkan gaji permulaan berlainan mengikut nilai taraf yang telah sedia ditentukan bagi peringkat-peringkat kelayakan tersebut.
Sebagai contoh, calon berijazah sarjana muda akan ditawarkan gaji permulaan pada titik 1 dalam skala gaji, yang berkelayakan sarjana pada titik empat dan PhD bermula pada titik 6. Lazimnya setiap skim perkhidmatan memperuntuk perbekalan nilai pengalaman berkaitan untuk memberi imbuhan tambahan. Ini bermakna sekiranya calon berijazah sarjana muda dan telah mempunyai pengalaman bekerja yang diiktiraf untuk menjawat jawatan yang dipohonnya, gaji permulaan yang bakal ditawarkan akan lebih tinggi, bukan lagi pada titik satu dalam skala gaji yang digunakan! Demikianlah seterusnya.
Pemerian di atas tentu sesuai dipakai untuk jawatan-jawatan dalam peringkat bertaraf tinggi. Pengetahuan, kemahiran atau pengalaman menjadi faktor-faktor yang utama melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab yang dihuraikan dalam penghuraian kerja skim perkhidmatan berkenaan.
Perbekalan KMP tidak sesuai dimasukkan dalam skim perkhidmatan peringkat rendah. Ambillah, skim perkhidmatan Pembantu Umum. Calon untuk berkhidmat perlu memiliki kelulusan Penilaian Menengah Rendah atau setaraf.
Berdasarkan deskripsi tugas-tugasnya, pemegang Sijil Pelajaran Malaysia pun tidak dianggap banyak membantu peningkatan tugas-tugas berkenaan. Hakikatnya, ramai juga di kalangan mereka memiliki kelulusan tersebut. Namun, dalam keadaan begini, perbekalan menawarkan gaji permulaan yang berbeza bagi calon-calon yang berbeza kelayakan akademik tidak dianggap bijak kerana sumbangan hakiki kepada pelaksanaan tugasannya tidak ketara atau signifikan. Ertinya, insentif menawarkan gaji permulaan yang berlainan, jika diberikan, telah mengabaikan faktor penambahbaikan yang sebenar-benarnya boleh diperolehi melalui pemakaian strategi atau pendekatan KMP ini.
No comments:
Post a Comment