Sunday, 27 December 2020

Guruku (1) dan gambar lebih setengah abad
Ketika azan Asyar berkumandang dari masjid kampungku berhampiran aku sudah pun berdiri di atas sejadah di rumahku. Solat perlu disegerakan kerana ingin ke hospital melawat isteri di situ. R berada di wad Unit Rawatan Rapi selepas menjalani pembedahan di kepala dua hari yang lepas.
Belum sempat mengiqamah, deringan telefon menyaring. Ketika ditoleh skrinnya ternyata pemanggil tidak masuk dalam senarai sedia ada. Pun ia kujawab.
Pemanggil minta pengesahan sama ada aku bernama aku dan sama ada pernah sebaya dengan adiknya, Rosli Haji Ishak ketika berkhidmat dalam perkhidmatan PTD dahulu. Apabila diyakan, dia pun bertanya sama ada masih ingat beliau sendiri, pemanggil itu, yang memberi namanya sebagai Ahmad Haji Ishak.
Arwah Rosli, dan suara pemanggil itu yang memperkenal diri sebagai abangnya menjadikan aku tidak silap lagi bahawa dia ialah guru darjahku ketika di tingkatan 1 di sekolah menengah pada tahun 1964, 56 tahun dulu.
Tetapi Cikgu Mat pernah kujumpa sekali sekitar 20 tahun dahulu. Ketika berziarah arwah Rosli, beliau pun ada sama dan kami berjumpa semula selepas sekian lama. Tidak pula kuingat apa yang dibualkan di antara kami ketika itu. Dan aku pun tidak ingat juga kisah beliau selepas bertukar daripada Sekolah Tengku Mahmood, di Alor Lintang itu.
Yang menariknya, malam tadi, aku menggeledah album-album lama mencari gambar-gambar awal sebagai pegawai PTD. Puteriku ingin melihat untuk dinilai kesesuaiannya bagi maksud penerbitan sebuah buku mengenai perkhidmatan PTD, yang beliau terlibat mengendalikannya.
Dalam proses itu terjumpalah gambar kelas Tingkatan 1A. Di dalamnya ternampak diriku berdiri di barisan belakang, ketiga dari kiri. Di barisan ini semua murid lelaki seramai 19 orang. Ia disusun teratur rapi kerana murid yang paling rendah berdiri di tepi sebelah kiri dan kanan. Murid-murid yang tinggi berdiri di bahagian tengah.
Pada sebelah kiri, sebelum aku, berdiri Nawi Abdul Rahman dan Yusof Othman. Di sebelah paling kanan, murid paling rendah ialah Aziz Hadi, diikuti Salleh Ahmad dan Mat Zain. Tiga murid paling tinggi di tengah-tengah ialah Yunus, Ismail Abdul Rahman, dan Omar.
Menariknya, (aku perasan) akulah yang paling bergaya, kerana satu-satunya yang berpeluk tubuh, di samping sedikit menyendeng, tidak berdiri tegak seperti yang lain-lain.
Murid-murid yang duduk di barisan depan semuanya perempuan, memakai skirt. Enam orang di kiri dan tujuh orang di sebelah kanan. Mereka mengapit Cikgu Mat, yang duduk di tengah. Aku tidak dapat mengingati semua nama mereka. Antara yang mampu disebut ialah Safiah Yusof, Halimah Kadir, Wan Zainon, Khadijah, Fauziah, Aminah, Mek Som, Zakariah dan Radhiah.
Ternyatalah kelas itu terdiri daripada 32 orang murid semuanya.
Di kalangan 32 murid ini enam, termasukku sudah sedia sekelas semenjak darjah satu hingga darjah enam iaitu ketika di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Nyireh, Besut. Kamilah yang lulus peperiksaan memasuki sekolah menengah pada tahun 1963. Jadi boleh dikira bertuah. Kalau tidak akan tercicir langsung 'keesokannya' terus menjadi nelayan, pesawah dan seumpamanya seperti majoriti yang gagal itu.
Tiga lagi yang juga lulus peperiksaan itu tidak ada dalam gambar. Dua daripada mereka mengikuti kelas peralihan kerana ingin ke sekolah aliran Inggeris yang tersedia di sebuah sekolah menengah di Dungun. Seorang lagi, perempuan, dikatakan tidak ingin menyambung persekolahan menengah kerana difahamkan bakal berkahwin tidak lama lagi!!!
Di kalangan kami dari sekolah rendah yang sama, Salleh Embong memasuki tentera tetapi terkorban diserang hendap oleh gerombolan komunis di Sarawak pada tahun-tahun 1970-an. Pernah sekali aku berjumpa Salleh di Kem Tiga Renjer di Keluang, Johor sebelum beliau ditugaskan di Sarawak. Aziz Hadi mula-mula menjadi guru lepasan maktab dan kemudian melanjutkan pelajaran di universiti dan kemudian bersara sebagai Pengetua sekolah menengah di Setiu. Halimah dan Zainon difahamkan juga berjaya ke maktab perguruan dan bersara dalam bidang itu.
Aku pernah beberapa kali berjumpa dengan Aziz dalam senggang masa yang tidak rapat. Sedangkan Wan Zainun dan Halimah tidak pernah bertemu lagi semenjak berpisah selepas tamat peperiksaan SPM pada tahun 1968.
Dan, sekurang-kurangnya, lima orang (kalau tidak pun lebih) dalam gambar itu sudah berhijrah ke alam barzakh – Salleh Embong, Ismail Rahman, Saufi Omar, Yunus, dan Ismail Awang. Di samping itu beberapa orang lagi diketahui uzur.
Lalu, terkejut gembira aku apabila dihubungi Cikgu Mat. Tidak pula kutanyakan bagaimana dia memperoleh nombor telefonku. Kedengarannya beliau teruja apabila kuberitahu, kisah gambar tingkatan satu itu. Beliau meminta aku mewasapkan kepadanya.
Cikgu Mat kini tinggal di Johor Bahru; bersama-sama anaknya seorang Pakar Radiologi di hospital swasta di sana. Sebelum di situ, selama tiga tahun beliau mengikuti anak tersebut yang bertugas di Hospital Bintulu, Sarawak.
Mendengar suaranya, kukira Cikgu Mat masih sihat. Namun, beliau memberitahu diserang strok dan kini tergolong kurang upaya. Mengambil kira umurnya yang mencecah 81 tahun tidak hairanlah beliau sentiasa mengiringi anaknya itu. Terlintas di kepala, aku pun tinggal berseorangan kini!
Kami berbual agak panjang, hampir 20 minit. Saling bertanya-jawaban. Solat Asyar sedikit tertangguh, menghormati Cikgu Mat dan diuja bertukaran cerita peribadi.
Pun selepas solat nanti aku akan terus ke hospital. Jam baharu 4.40. Waktu lawatan Wad 5UB, Menara Utama, PMUM ialah antara pukul 5 petang hingga 7 malam. Masa lain tidak dibenarkan melawat.
Image may contain: 15 people, child
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 18 others
3 comments
Like
Comment
Share

Comments

  • Alhamdulilah boleh lihat lagi gambar Kita bersama ditahun 1964.tu.
    1
    • Like
    • Reply
    • 12 w
  • Ooo Dato' Ahmad Said pun ada memoir juga; bukan sekadar menulis puisi pentadbiran & kajian akhbar jawi spt ttg. MAIK & Tok Kenali tiga serangkai dll segala macam isu pentadbiran kerajaan (hingga kereta sendiri kena saman parkir .. ); Dato' Ahmad Said boleh join grup KS/ Kembara Sastera kelolaan Hj Mukhtar Mustaffa dll rakan para pensyair pemuisi yg agresif terbitkan karya antologi bersama/ berbayar dgn MoU terbitan berdaftar sah Dgn PNM .. ya, 
    terbaik
     memoir Dato' Ahmad ..
    Image may contain: 1 person, sitting, living room and indoor
    1
    • Like
    • Reply
    • 12 w
  • Semoga Datin cepat sembuh dan dipermudahkan segala rawatan mengenai beliau..Juga diberikan kesabaran dan ketabahan Datò menghadapinya..InsyaAllah
    1
    • Like
    • Reply
    • 12 w
    • Edited

 

No comments:

Post a Comment