Cakna
Bagaimana hendak memperkenalkan karya kepada khalayak? Saya percaya tidak lain dengan melakukan promosi. Pada era dulu-dulu saya terfikir penerbitlah harus memikul tanggungjawab itu. Jika dilakukan dengan bijak buku atau karya berkenaan berupaya menyerlah. Jika sebaliknya, natijahnya pasti. Ia seakan tidak pernah ada.
Itulah sebabnya, buku Cakna ini lantas tidak dikenali.
Hakikatnya, pada 22 Mei 2009, Cakna dan tiga lagi kumpulan puisi saya iaitu Potret Q, Suara Minda dan Bara Hati yang terbit pada tahun-tahun 2008 dan 2009 telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dalam suatu acara gemilang yang berlangsung sempena “Malam Gema Puisi Jubli Intan (JPA 75 Tahun) di Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya, 8.30 malam. Pada majlis itu, INTAN telah juga mengadakan jualan buku-buku tersebut. Saya mendapat faham ada di kalangan pegawai yang hadir malam itu membelinya. Namun, tidak pula saya tahu berapa naskhah yang laku.
Selepas itu buku-buku itu tidak diketahui prestasi jualannya. Walau bagaimanapun, untuk suatu tempoh yang agak ‘lama’ Cakna terpapar di papan pameran INTAN, Bukit Kiara berhampiran dengan Auditoriumnya. Itulah ‘promosi’ yang saya ingat dilakukan oleh penerbit. Papan Paparan itu dikira strategik letaknya. Termasuk tempat lalu-lalang utama.
Pada suatu ketika (6 Januari 2017), saya pernah terserempak dengan risalah promosi INTAN tentang penerbitannya (Katalog: Buku Terbitan INTAN). Ternampak juga buku Cakna dalam risalah berkenaan. Sedangkan, kumpulan-kumpulan puisi itu tidak diuar-uarkan. Sejauh itulah saya ketahui INTAN dengan promosinya.
Beberapa naskhah Cakna pernah saya lihat tersusun di rak Kedai Buku INTAN, Bukit Kiara bahkan di Pekanbuku Universiti Malaya. Tetapi saya kira tidak mendapat sambutan pembeli langsung. Jumlah naskhah Cakna yang terpapar di situ tetap tidak berkurangan. (Saya memang pengunjung kedai buku yang tegar). Saya menganggap ia tidak laku!
Dan saya sendiri tidak pula dijemput untuk bercakap sepatah-dua kata mengenai karya tersebut kepada mana-mana penjawat awam terutama di INTAN sendiri. Apalah sangat yang boleh dilakukan oleh seorang pesara?
Banyak tahun telah berlalu. Saya tidak lagi memberi perhatian kepada nasib pemasaran buku ini. Tambahan pula ia hanyalah sebuah koleksi tulisan ‘ringan’ dalam majalah-majalah jabatan. Ertinya kandungannya bukan serius dan rasmi. Tanpanya pun perkhidmatan awam berterusan bergerak pada temponya.
Namun, ketika dua kali menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka lama selepas Cakna diterbitkan, saya kebetulan duduk bersebelahan dengan Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said. Ketika berbual-bual ringan menantikan majlis berkenaan bermula saya pernah memberitahu tokoh itu beberapa tulisan (atau buku) yang saya usahakan. Sambil mengeluh dan kesal saya menyatakan nasib buku-buku itu kerana tidak langsung disedari orang kewujudannya. Saya memberitahu beliau ketiadaan promosi oleh penerbit.
Reaksi spontan beliau sungguh memberangsangkan. Beliau mencadangkan saya sendiri mempromosikan. Kata beliau, “Sesuatu karya perlu dipromosi.” Ketika saya menyatakan, rasa malu melakukan sendiri, beliau menasihati agar tidak bersikap begitu. “Kita tidak harus malu melakukan”, ujar beliau.
Seperkara yang sangat berharga disebut oleh A. Samad Said, terutama sewaktu kebersamaan kami pada kali kedua, ialah menjadikan karya-karya kreatif atau yang bercorak autobiografi sebagai bahan atau modul latihan penjawat awam.
Tidak dapat saya nafikan kebijaksanaan idea ini, khususnya kalau mengambil atau menjadikan Cakna sebagai ‘teks’nya. Tentulah pandangan ini selaras pula dengan Kata-kata Pengantar Pengarah INTAN dalam Cakna, sedikit dipetik, “tentunya dapat menjadi sumber inspirasi yang berguna kepada penjawat awam dalam memenuhi harapan dan menghadapi cabaran masa kini.”
Interval atau selangan bersama-sama dengan A. Samad Said itu mungkin dua tahun di antara yang pertama dengan yang kedua. Dan, bualan awal kami tidak banyak berbeza setiap kalinya. Mesej, ‘tidak harus malu mempromosikan karya-karya sendiri’ itu tetap terumus, sebagai intipati pertemuan.
Pun Cakna, dan tiga lagi kumpulan puisi saya itu kekal dengan nasibnya. Tiada dikenali oleh penjawat awam. Jauh, jauh sekalilah di kalangan orang lain!
Cakna sudah berusia 11 tahun. Naskhah-naskhah sagu hati untuk saya telah habis saya bahagi-bahagi kepada beberapa tokoh dan teman-teman. Ia benar-benar buku ‘rare’ kini. Saya percaya INTAN, Bukit Kiara tentu boleh membantu sekiranya ada individu meminatinya.
Terkini, apabila Hal Mahera, memilih Cakna untuk memulakan riviu buku-buku yang dibaca beliau, saya akui terkejut. Seharusnya dirakam penghargaan atas usaha itu. Malah, saya sangat terharu kerana beberapa kalimat beliau yang sangat mengena untuk mencungkil rasional penulisan Cakna itu.
Saya petik kata-kata Era, “Sebenarnya sambil mengamati tulisan beliau, yang bagi saya sarat dengan makna, yang berlapis lapis maksud mesejnya, mengingatkan saya dalam konteks seorang pemimpin, ada perkara yang boleh ditegur secara terbuka, ada juga yang perlu kiasannya. Barangkali kiasan dan pantulan, tidak ramai yang mampu melakukannya. Dan karya kreatif juga sumber untuk modul latihan, dan suntikan semangat supaya lebih ramai pemimpin dilahirkan untuk masa hadapan.”
Dibaca atau tidak saya akan terus cakna meneliti dan menulis persoalan yang telah membentuk peribadi saya selama ini.
No comments:
Post a Comment