Rapuh 50/2020: Karya pewaris
Hari ini saya melintasi esei berjudul “Kolumnis” dalam Lembaran Mastera, keluaran ke-40, Julai 2014, muka surat 4-5. Keluaran ini sisipan Dewan Sastera, Jilid 44, Bil. 7 [Julai] 2014.
Penulis “Kolumnis” bernama Mahbub Junaedi. Beliau dilahirkan pada 27 Julai 1933. Tulisan ini asalnya terbit pada 17 Julai 1988 dalam Kompas. Maknanya ketika itu Bapak Mahbub berusia 55 tahun. Beliau meninggal dunia 7 tahun kemudian, pada 1 Oktober 1995, iaitu suku abad dahulu, hari ini. Kalau Allahyarham Pak Mahbub masih hidup beliau kini berusia 87 tahun.
Esei “Kolumnis” beliau kini telah berusia 32 tahun. Dari tulisan itu, tidak sampai sejengkal pun panjangnya, nampak kepada saya dia penulis yang pandai berlucu tapi sekali gus menyengat hebat.
Dalam profil ringkas di hujung esei, ada pemerian, “Walaupun penulisan beliau berbentuk lucu dan kreatif, namun ia mampu membangkitkan persoalan dalam kalangan pembacanya.” Kita yakin kenyataan ini benar tanpa terpaksa mencari karya-karyanya yang lain untuk mengkaji, kerana “Kolumnis” bersinar menjadi bukti.
Tahulah saya, berdasarkan tulisan Pak Mahbub, dalam UUD termaktub sesuatu yang unik kalau dibandingkan dengan perkara-perkara Perlembagaan Persekutuan. Yang berkaitan di sini ialah pasal-pasal 27 dan 34 UUD.
Kedua-dua pasal ini saya salin semula. Yang awal, “Tiap warga negara berhak atas pekerjaan dan penghidupan yang layak bagi kemanusiaan”. Yang menggelikan serentak sinis, bagaimana seorang penganggur mengisi borang keterangan diri dalam KTP [kartu tanda penduduk] misalnya butiran “pekerjaan”?
Kata Pak Mahbub, seseorang penganggur “selain demi harga diri dan demi jangan dicurigai, juga mereka menghindar dari mengaku penganggur itu karena merasa kurang enak kepada pemerintah, takut dianggap menyindir. ... seakan-akan pemerintah sudah tidak mampu menyediakan pekerjaan yang layak?” padahal dijamin pasal itu.
Pada pasal satu lagi tercatat, “Fakir miskin dan anak-anak terlantar dipelihara oleh negara”. Maka, bagaimana seorang pengemis, misalnya, mengisi KTP? Menzahirkan keadaan diri sebenarnyakah? Hakikatnya pengemis itu “bergelombang-gelombang” dan “ada kotamadya yang mengancam akan merazia dan menangkap pengemis.” Tentulah demikian bertentangan sekali dengan Pancasila “bila orang diperbolehkan sekaya-kayanya, tapi para fakir miskin malahan diuber-uber?”.
[Saya mengaku merujuk kamus untuk mengerti beberapa perkataan yang bukan dalam kosa kata sendiri]
(Ternyata, bukan senang menjadi pemerintah atau pemikul amanah. Apa yang termaktub dalam perlembagaan seharusnya menjadi tanggungjawab merealisasikannya selama mandat atau tempoh yang ditentukan berkuat kuasa. Namun, saya percaya Malaysia tidak memaktubkan perbekalan sedemikian dalam perlembagaan. Jadi, isu lain pulalah berbangkit)
Bahawa tulisan yang bererti tidak semestinya panjang berela-ela. Tidak perlu berbab-bab atau berjilid-jilid pun. Asalkan yang terhasil berisi dan memanfaatkan sudah memadai.
Tentulah usaha berterusan menulis yang berfaedah lebih diingini. Dengan begitu lebih banyak persoalan boleh diketengahkan; dari semasa ke semasa selagi kita masih mampu berkarya.
Sebenarnya karya kita pun menjadi pewaris, apabila kita tiada lagi, seperti juga suami, isteri, anak-anak kita. Pewaris ialah sesuatu yang hidup sampai dunia habis. Ia mewakili kita secara yang paling terpercayai.
Semestinyalah setiap tulisan juga memberi faedah pembaca. Sebab itu tulisan itu harus ‘berjenis’ iaitu ada nilai, berharga, bukan asal ada sahaja.
No comments:
Post a Comment