Merata-riti mencari
Utusan Malaysia (Penyebar Fikiran Rakyat) (saiz besar), Utusan Malaysia (Pemangkin Fikiran Rakyat) (saiz besar), Utusan Malaysia (Minda Rakyat) (64 muka, saiz tabloid), Mingguan Malaysia (Cetusan Hati Nurani Rakyat) (40 muka, saiz besar), Mingguan Malaysia (Minda Rakyat) (80 muka, saiz tabloid) telah terhenti beredar pada 9 Oktober 2019. Serentak itu, dikatakan 200 orang wartawannya hilang pekerjaan. Lebih ramai lagi karyawannya ditimpa malang.
Dalam satu berita dalam StarBizWeek, 10 November 2018, saya mendapat faham pada penghujung Jun 2018, kerugian terkumpul Utusan Melayu (M) Berhad berjumlah RM74.01 juta. Berbanding dengan satu berita dilaporkan akhbar yang sama bertarikh 1 Mac 2017, kerugian pada Tahun Kewangan 2016 berjumlah RM69.4 juta. Saya juga menyimpan keratan akhbar StarBiz, 16 November 2018, yang melaporkan sebidang tanah milik UM(M)B seluas 4,715 sq m, dijual dengan RM18 juta. Tanah ini diperolehi pada 20 Disember 1979 dengan harga RM81,191.
Bagaimanapun, akhbar ini terbit semula sebagai Utusan Malaysia (Pemikiran Baharu) saiz tabloid, pada Isnin, 20 Julai 2020=28 Zulkaedah 1441, 48 muka, RM2. Sementara itu, Mingguan Malaysia (Pemikiran Baharu) saiz tabloid, Bil. 1 Tahun ke-57 muncul menyusuli bertarikh Ahad, 6 Julai 2020=5 Zulhijah 1441, 48 muka. Tidak banyak sangat perbezaan wajahnya dengan edisi yang terhenti itu.
Berbanding dengan edisi awal yang dicetak dan diterbitkan oleh Utusan Melayu (M) Berhad, edisi baharu dicetak oleh Print Towers Sdn. Bhd. (dahulunya Berita Harian Sdn. Bhd.) dan diterbitkan oleh Media Mulia Sdn. Bhd.
Tetapi, ia tidak mudah diperolehi di mana-mana. Tidak semudah memperoleh misalnya The Star atau Sinar Harian. Hari ini saya ke sana-sini, akhirnya gagal membeli Utusan Malaysia lalu terpaksa mengambil Kosmo! (Suara Kontemporari), Bil. 18, Tahun 15, 48 muka. Barangkali kalau digagahi diri ke satu lagi kedai, sedikit jauh dari situ, saya boleh memperolehnya. Kerana, saya perhatikan di situ biasanya ada satu naskhah ‘tersedia’. Ia terus habis apabila saya membelinya.
Saya kurang pasti ‘kelakuan’ akhbar ‘baharu’ ini. Adakah kesukaran memperoleh, seperti yang saya alami membuktikan ia mendapat dukungan pembaca yang mengeluh oleh Kecundangan-19 itu?
Hasrat saya yang sebenar cuba mengumpul akhbar-akhbar edisi baharu itu selengkapnya untuk sebulan Hendaklah saya perhatikan lengok dan rentaknya selama tempoh ini. Sama ada, ia benar-benar mematuhi slogan ‘Pemikiran Baharu’ tersebut! Ariflah kelak menilai kemungkinan atau kelangsungannya
Dalam pada itu saya hari ini melintasi tulisan Chamil Wariya pada November 2019. Dipetik sedikit,
“Malah akhbar seperti Utusan Malaysia yang pernah dimiliki oleh sebuah parti politik yang mendakwa dirinya dianggotai oleh 3.5 juta orang ahli, juga gagal mendapatkan pelanggan setia yang tinggi, bukan sahaja untuk edisi digitalnya, tetapi juga untuk edisi cetaknya.
Kalaulah 100 ribu orang ahli parti berkenaan bertindak menjadi pelanggan setia edisi digital Utusan Malaysia pada harga langganan RM100 atau kira-kira RM8.33 sen sebulan, akhbar itu berupaya memperoleh pendapatan tahunan sebanyak RM10 juta menerusi portal beritanya sahaja. Kalau bayaran langganan dinaikkan kepada RM200 setahun, pendapatan tahunan bertambah menjadi RM20 juta.
Kalaulah jumlah yang sama melanggan edisi cetak Utusan Malaysia, maka edaran akhbar tersebut tentulah tidak merudum di bawah paras 50 000 naskhah sehari pada waktu ini, menyebabkan syarikat itu berhadapan dengan masalah kewangan yang kronik sehingga tidak dapat menampung kos operasi hariannya. Dengan tidak melanggan akhbar bercetak dan edisi digital Utusan Malaysia yang mendukung perjuangan parti untuk bangsa Melayu, ahli-ahlinya seolah-olah tidak menghargai etos kewartawanan yang menjadi pegangan akhbar tersebut.”
(Lihat, Kaedah Paywall: Berkesan atau Tidak?” (Koridor Minda), Dewan Masyarakat, Bil. 11 [November], 2019, muka surat 54-56).
(Untuk mengetahui pihak berkuasa menerbitkan semula akhbar itu bacalah, Chamil Wariya, “Ditutup Gara-gara Tikus Membaiki Labu?” (Koridor Minda), Dewan Masyarakat, Bil. 12 [Disember], 2019, muka surat 54-56.)
Dalam suasana dahulu Utusan Malaysia bertahan 52 tahun. Semoga periode yang serba canggih sekarang boleh diharunginya untuk setengah abad lagi!
No comments:
Post a Comment