Utusan Melayu: Kunjung penamat (1)
Aku masih boleh mengaku terlibat dengan Utusan Melayu sejak zaman kanak-kanak lagi. Pada hujung tahun-tahun 1950an dan awal tahun-tahun 1960an. Ketika itu di kampungku, hanya dua orang sahaja pembaca akhbar Utusan Melayu iaitu ayahku sendiri, Said, dan imam masjid di kampung itu, Pak Ngah Yasin, pak sepupuku. Mereka, ayahku dan pak sepupuku itu, berkongsi melanggani akhbar berkenaan.
Yang lebih lazim, ayahlah yang membawa balik akhbar yang dibeli dari kedai akhbar Cikgu Sheikh Ibrahim, di Kampung Raja. Apabila ayah sudah selesai membacanya, seakan menjadi rutin harianku menghantar akhbar itu untuk Pak Ngah Yasin pula membacanya. Jarak rumahku dengan rumah Pak Ngah kira-kira 500 meter. Rumahku berhampiran pantai manakala rumah Pak Ngah Yasin berhampiran masjid, sedikit ke darat.
Ketika itu, aku ingat sudah boleh membaca (termasuk tulisan Jawi) agak awal. Jadi, akhbar Utusan Melayu menjadi antara bahan-bahan bacaan terawalku, selain majalah-majalah agama dan lain-lain yang sememangnya dibeli oleh ayahku, serta terdapat juga beraneka bahan bacaan lain-lain lagi di rumah Pak Ngah Yasin. Tidak peliklah, rumah Pak Ngah menjadi ‘perpustakaan’ku. Apatah lagi beliau dan Mak Ngah Kalsom, isteri pak ngah, adalah guru-guru Quranku.
Pengalaman inilah yang menjadi salah satu penyebab sampai sekarang aku menjadi pembeli, pengumpul, pembelek dan pembaca bahan-bahan bacaan. Sepenuh rumahku, buku-buku tersimpan menjadi teman tua kini.
Sekarang, ini Utusan Melayu sudah pun padam riwayatnya. Sungguh tragis. Namun, di stor mendiang syarikat itu masih tertinggal ratusan ribu buku dan majalah yang tidak terjual ataukah tidak laku? Aku tidak mahu membiarkan sejarah perhubungan yang lama dengan Utusan terputus tanpa bergaya dan berperistiwa. Tidak boleh dibiarkan kematian itu dialpai begitu sahaja. Buku-buku itu masih wajar ditinjau, dan sebahagian judulnya tidak rugi diperoleh untuk menambah koleksi peribadi.
Hari ini (28 November 2019) aku memandu Kelisa ke stor simpanan buku-buku berkenaan. Empat jam aku luangkan waktu. Hampir setiap inci stor itu aku tapaki dan setroli berjaya kukaup. Panjang bil harga kuukur mencapai 2 kaki 8 inci. Buku-buku itu telah dihargakan antara RM1,2,3,4,5,6,8,10 dan termahal RM20 (harga asal RM160).
Aku perlu balik sedikit awal oleh tuntutan urusan lain pada 2 petang.
Kaitanku dengan Utusan Melayu tinggal beberapa ketika yang singkat lagi. Besok aku akan pergi lagi. Buku-buku bakal jadi tumpuan ialah buku-buku mewah, yang berat diangkat, besar saiz dan mewah pencetakannya. Tidak mahu aku melepaskan buku-buku itu. Ah! berapalah sangat harganya kalau sebuah RM10 sahaja.
Kelisa tidak pun perlu membayar parkir. Medan yang tersedia amat lapang. Tidak banyak kereta lain. Bukanpun ramai orang Melayu yang berkunjung. Hanya aku dan beberapa orang penggiler buku yang lain.
No comments:
Post a Comment