Wednesday, 30 December 2020

 Utusan Melayu: Kunjung penamat (8)

Malam tadi aku menyelongkar kepustakaanku. Maksudnya untuk mencari naskhah-naskhah terbitan Utusan Melayu yang telah lama sedia ada dalam koleksi. Nanti, dengan maklumat yang ditemui lebih lengkap penulisanku terhadap sumbangan sebenar syarikat itu kepada dan dalam medan pembacaan umum.
Sebagai pengumpul buku-buku termasuk yang berkaitan pembelajaran Bahasa Melayu, banyaklah ia terkumpul dalam koleksi. Walau bagaimanapun, setahuku Utusan tidaklah sehebat penerbit-penerbit besar yang lain menghasilkannya.
Di bawah Buku Pendidikan Utusan, terbit sebuah, Arbak Othman, M.A. (Malaya) Cert. Ed., Bahasa Malaysia Sijil Pelajaran, 1977 (cetakan kedua (Edisi Baru) 1984). Suatu huraian kecil mengiringi judul itu ialah “Suatu teknik memaham dan membina bahasa dan tatabahasa Malaysia”. Profesor Ismail Hussein, yang menulis “Kata Aluan” menyatakan, “…minat keilmuannya [Arbak Othman] itu telah membuahkan sebuah buku panduan pelajar yang amat teliti disusunnya.”
Banyak petikan rencana dalam buku ini. Saya tertarik untuk memetik sedikit rencana Dr. Awang Had Salleh di Seminar Pendidikan, 1976, “Di sekolah-sekolah kita terdapat pelajaran sivik dan agama. Dengan adanya dua matapelajaran ini, kita seolah-olah merasakan bahawa tugas mendidik dari segi kerohanian hanyalah tugas guru-guru sivik dan agama sahaja. Tugas guru-guru lain ialah sekadar mengajar. Ini terjadi kerana tidak ada bahan dan tidak ada orientasi yang memperkukuhkan nilai sivik dan agama yang dijalinkan ke dalam matapelajaran lain.” (muka surat 227)
Sebuah lagi yang dikira baik ialah Chew Hock Thye, Bahasa Malaysia Tinggi, (Siri Buku-buku Sekolah Utusan), (1979, cetakan pertama 1976). Kata Pengantar buku ini ditulis oleh Profesor Ismail Hussein, Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Aku sukakan buku-buku begini kerana penyuntingnya telah memilih pelbagai rencana dari berbagai sumber terutama dari majalah-majalah/akhbar atau buku-buku
terbaik
pernah berada dalam pasaran, seperti kes petikan rencana-rencana dalam buku ini, dipetik daripada Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, dan lain-lain. Penyuntingnya sendiri pun mengarang rencana-rencananya sendiri.
Aku kira rasional penyusunan buku ini menurut Chew Hock Thye wajar diambil perhatian. Katanya dalam “Pendahuluan”, “Sehingga penulisan buku ini diusahakan, ternyata dalam pasaran tidak terdapat sebarang buku Bahasa Malaysia/Melayu peringkat Sijil Tinggi Pelajaran (STP) yang benar-benar dapat memenuhi kehendak latihan dan sukatan peperiksaan bagi pelajar-pelajar Tingkatan Enam khasnya dan pelajar-pelajar lanjutan lain amnya.”
Sebuah buku yang sangat bernilai, terutama ketika penerbitannya ialah Masyarakat Melayu Antara Tradisi Dan Perubahan yang disunting oleh Dr. Zainal Kling. Utusan Publications & Distributors yang ketika itu beralamat di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur menerbitkannya pada tahun 1977, 270 halaman. Buku ini tergolong dalam Siri Buku Pengetahuan Utusan. Semua judul rencana yang terkumpul itu menarik terutama, Mohd. Taib Osman, Ph.D. [Profesor Pengajian Melayu, Universiti Malaya], “Perbomohan: Satu Aspek World-View Dalam Kebudayaan Melayu”; Awang Had Salleh, Ph.D. [Timbalan Naib Canselor, Universiti Malaya], “Institusi Pondok di Malaysia”; Abdul Malek Munip, [Pensyarah, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya], “Perancangan Pentadbiran Kolonial Inggeris: Kesannya Ke Atas Ekonomi Melayu”; dan lain-lain. Kuanggap ini salah sebuah buku yang mengilmukan pembaca pernah diterbitkan oleh Utusan.
Di bawah Siri Bimbingan Peperiksaan SPM/MCE, Utusan menerbitkan Bimbingan Meringkaskan Karangan oleh Zainon Zainalabidin, 1982. Aku terbaca dalam satu rencana yang dipetik daripada Sarina Mac 1979, untuk latihan meringkaskan karangan dalam buku ini, “Kita perbandingkan sahaja kepada penjualan majalah-majalah yang telah popular dengan novel-novel yang baru diterbitkan. Kalau majalah-majalah bulanan itu laku lebih daripada 50,000 naskhah bagi tiap-tiap kali keluaran, tetapi penjualan novel bagi cetakan 5,000 naskhah, untuk menghabiskannya kadang-kadang terpaksa mengambil masa bertahun-tahun. Malahan ada yang tidak pernah habis dijual bagi cetakan pertama sebanyak 5,000 naskhah itu.” (muka surat 23)
Kutemui juga, Hasnah Hj. Ibrahim, Menulis untuk Berkomunikasi, 1982, cetakan pertama, 112 halaman. Dalam “Sekapur Sirih”, Awang Had Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia, menulis, “Hasnah menyentuh perkara-perkara lain lagi, seperti ciri-ciri yang harus ada pada seseorang penulis, sebagai pra-syarat, untuk berkomunikasi. Disentuhnya juga gaya penulisan. Dan, gaya penulisan itu tidak sahaja dibincangkannya, tetapi ditunjukkannya dengan gaya bahasanya sendiri yang digunakannya dalam buku ini. Beliau tidak sahaja memberi fatwa, tetapi menunjukkan contoh gaya bahasanya sendiri yang asli.” “Sekapur Sirih” lain, yang kedua, dalam buku yang sama ditulis oleh Tan Sri Datuk Hj. Hamdan Sheikh Tahir, Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia.
Image may contain: outdoor, text that says "MASYARAKAT MELAYU Antara Tradisi Day Perubahan Disunting oleh Dr. ZAINAL KING UBAER"
La Hami Bin Ahmad, Zulkifli Salleh and 27 others
4 comments
2 shares
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment