Wednesday 30 December 2020

 Kembara Borneo 2/2019: Kenalan baru

Pada pukul 12.15 tengah hari aku meninggalkan Golden Lounge menuju ke Pintu Pelepasan A10. Ia agak jauh, kira-kira 150 meter. Dewan menunggunya telah ramai diduduki penumpang tetapi masih dapat aku mencari tempat duduk dengan mudah. Barangkali kurang 10 minit kemudian, pengumuman memanggil masuk penumpang dilaungkan. Ada keutamaan giliran masuk dinyatakan, mengikut nombor-nombor tempat duduk masing-masing. Penumpang dalam kelas bisnes terkecuali mematuhinya. Ini bermakna aku boleh terus masuk ke kabin pesawat tanpa perlu beratur panjang. Selepas menunjukkan pas bording dan MyKad aku dibenarkan ke pesawat melalui aerobridge yang menyambungkannya.
Aku mengambil tempat duduk bernombor 4C iaitu di sebelah 4A yang di tepi tingkap. Hairan juga aku kerana tidak diberikan tempat duduk di sisi tingkap sedangkan aku mencekin awal. Boleh jadi tempat-tempat duduk sisi tingkap itu telah diberikan kepada penumpang-penumpang yang mencekin lebih awal. Aku pula tidak cuba meminta tempat duduk di sisi tingkap ketika di kaunter cekin tadi , memikirkan aku dikira sewajar dilayan begitu. Tempat duduk di sebelahku ternyata diduduki oleh seorang lelaki lain. Dia memasuki kabin sedikit kemudian. Belum apa-apa pun kami telah bersalaman memperkenalkan diri masing-masing.
Pesawat MAS Boeng 737-800 itu mengikut majalah “Going Places” boleh memuatkan 160-166 tempat duduk. Aku kurang pasti jumlah penumpang yang ada tetapi pasti tampungannya melebihi 75 peratus penumpang. Tidak koman dari segi prestasi urus niaga bisnes syarikat penerbangan bukan tambang murah.
Penerbangan MH2614 dari KUL ke BKI berlepas mengikut jadual, pukul 1300. Kami di kelas bisnes diberikan tuala sejuk untuk membersihkan diri – melap tangan atau muka. Minuman pemula membasah tekak juga dihidangkan. Aku memilih jus oren. Padahalnya, di Golden Lounge barusan, minuman telah dinikmati juga!
Ada beberapa aktiviti boleh dilakukan ketika dalam penerbangan. Seseorang boleh memilih untuk membaca, menulis, mengetik komputer, berbual-bual dengan penumpang di sebelah atau memejamkan mata. Penerbangan KLIA-Kota Kinabalu tidak dekat. Ia mengambil masa 2 jam 20 minit. Lebih jauh daripada penerbangan ke Bangkok atau Jakarta. Masa yang ada sewajarnya dimanfaatkan sebijaksananya. Kalau tidak kejemuan boleh menusuk minda. Kebiasaanku dalam penerbangan ialah membaca – akhbar-akhbar atau majalah penerbangan, dalam kes MAS, majalah “Going Places” yang sememangnya disediakan.
Lelaki di sebelahku nyata lebih muda. Dia bertanyakanku sama ada hendak pulang atau pergi ke Kota Kinabalu. Tentulah jawapanku “pergi”. Sedang lelaki ini memberitahu dia tinggal di Banting tetapi mempunyai sebuah rumah di Pintasan, Sabah. Masing-masing teruja bercakap, aku dan dia. Lalu kami menjadi saling ‘mengenali’ dalam tempoh yang singkat. Isterinya orang Sabah. Mereka mempunyai tanah pertanian yang luas, kalau tidak silap ingatanku mencapai 150 ekar. Tanah-tanah itu dibeli dari semasa ke semasa. “Dahulu harganya tidak mahal”, kata, lelaki itu.
“Apakah yang tuan lakukan ke atas tanah berkenaan?”
“Diusahakan. Dengan pelbagai aktiviti pertanian. Saya balik ini pun kerana urusan tanah tersebut. Pada awalnya tanah-tanah itu cuba dikerjakan sendiri. Maksudnya, saya mencari pekerja untuk bertani bagi pihak saya. Semua keperluan disediakan. Pekerja-pekerja akan dibayar gaji mengikut kadarnya. Cara ini tidak mudah dikendalikan. Saya mengubah pendekatan selepas itu. Penduduk tempatan yang berminat diberi hak mengerjakan tanah tersebut dan hasilnya dibahagikan sama banyak, 50-50. Cara ini didapati berbaloi. Kedua-dua pihak menikmati kepuasan oleh impak ‘menang-menang’ yang terhasil.
Para pekerja adalah orang-orang kampung yang daif. Mereka orang tempatan. Saya memikirkan sangat wajar mereka dilibatkan kerana dengan begitu mereka mempunyai punca pendapatan tetap menyara kehidupan berkeluarga seharian. Sudah lama saya mengendalikan tanah-tanah ini. Para pekerja itu gembira dengan aturan yang dibuat. Tanah-tanah itu tidak tinggal terbiar. Saya tidak mempawahkannya kepada orang asing.
Tanah-tanah itu ditanam dengan pelbagai jenis tanaman – sayur-sayuran, tembikai, tanaman herba dan seumpamanya. Terpulang kepada masing-masing. Semuanya telah mengeluarkan hasil beberapa tahun kebelakangan. Sebagai pemilik saya tidak mengalami kerugian. Petani-petani itu mematuhi perjanjian. Mereka mendapat setengah bahagian dan saya pun begitu juga, daripada usaha pertanian itu.
Pengalaman berpuluh tahun di Sabah menjadikan saya lebih sedar memberi sumbangan sukarela. Kita perlu tingkatkan kebajikan untuk orang-orang miskin. Banyak jenis atau cara bantuan boleh dilakukan untuk meringankan kehidupan rakyat. Mereka rata-rata masih sangat daif. Pernah kami mengusahakan bantuan atau sedekah dalam bentuk beberapa ekor lembu. Mereka yang menerima boleh korbankan ternakan itu sempena Aidladha. Kalau masjid atau surau tiada kemudahan air untuk para jemaah berwuduk bantuan mengatasi masalah itu boleh diberikan. Memang banyak boleh dilakukan dan amat wajar melakukannya.
Pada suatu ketika saya menunjukkan kedaifan sebuah masjid kepada seorang kenalan, katanya. Kenalan itu sedia membantu. Wang yang disedekahkan digunakan menyempurnakan kekurangan yang dihadapi. Memang ada orang yang mampu dan pemurah beliau mengesahkan. Kita boleh menghubungi mereka dan mencadangkan bantuan yang sesuai untuk manfaat awam.
Sabah masih banyak kekuranganya. Penduduk sangat ramai yang miskin. Saya tidak berhajat untuk mengutamakan bantuan misalnya ke luar negara – Kemboja, India, Timur Tengah dan lain-lain. Di sini, di Sabah, amal jariah terbuka luas untuk dilakukan. Saya kerap berulang alik dari rumah ke rumah – di Banting dan di Pintasan.
Teman baruku ini memang orang yang senang. Kalau tidak tentulah tidak ia berada di nombor 4A, dengan biaya sendiri! Dia pun mengenali ramai tokoh-tokoh negara. Tidak pula aku menyelidik profilnya. Tidak sopan melakukan, tanggapku. Tetapi dalam ‘galeri’ henfonnya tergambar penglibatan dan ruang lingkup pergaulannya. Dia pernah memiliki motosikal berkuasa tinggi BMW. Ia telah menjelajah negara-negara ASEAN dengan motosikal itu, bersama-sama ahli-ahli persatuan motosikal itu. Zaman bermotosikal besar itu sudah ditinggalkannya.
Aku mencelah juga sedikit profilku sendiri. Aku memberitahu menggilai buku, suka mengembara ke sana-sini, dan di rumah pun mempunyai seorang isteri yang suka berkebun. Ada sayur-sayuran di sekeliling rumah, pelbagai herba untuk keperluan sendiri. Ada pokok dokong, mempelam, rambutan, nangka bahkan kelapa yang sedang berbuah! Ada juga cita-cita membangunkan bangsal menanam cendawan.
Tidak sesia memberitahu beliau. Ada komen jujur dan pakar diberikan spontan dalam kemesran seakan seorang kenalan lama. Ditayangkan kepadaku kelapa matak yang sudah berbuah di tanah miliknya. Pokok itu rendah dan baik untuk ditanam. Cendawan tidak perlu diteruskan. Ia jenis perusahaan bermusim dan tidak mampu bertahan lama. Dia membuat perkiraan dan analisis mudah tetapi meyakinkan. Aku memberitahu beliau pernah melawat Kampung Indah di Banting hampir 30 tahun dahulu. Kata temanku ini, yang tinggal tidak jauh dari kampung itu, cendawan yang pernah kulawati itu sudah berkubur lama!
Di rumahnya di Banting sekarang pun ada pelbagai tanaman sekeliling rumah. Isterinya menanam menggunakan sistem hidroponik. Gambar-gambar dari galeri henfonnya menunjukkan segala-galanya. Aku membayangkan hasrat untuk berkunjung ke rumah beliau di Banting itu. Tentulah isteriku yang bertani cara tradisional akan mendapat ilham setelah melawat sambil belajar di situ. Akan ada penambahbaikan di ‘kebun’ kami. Dia tidak keberatan malah mengalu-alukan niat itu.
Banyak lagi perbualan kami. Tetapi masa itu berlalu cepat. Sambil makan hidangan tengah hari MAS pun kami bercakap. Tentang kawan-kawanku yang pernah menyandang jawatan-jawatan utama di Selangor. Hampir semua dikenali beliau. Bahkan ada yang dia sempat bergambar dengan sebahagian mereka.
Ketika pesawat akan mendarat, dia mempelawaku makan malam di Kota Kinabalu. Aku memberitahu programku selama empat hari di ibu negeri Sabah itu telah diatur rapi dan ketat. Tiada luang masa untuk menyelitkan dengan acara lain. Menjawab pertanyaanku, dia memberitahu akan bermalam semalam dan akan kembali semua ke Semenanjung keesokan harinya.
Teman baruku itu mohon membuat welfi dan terakamlah pertemuan kami dengan sempurna. Beliaulah yang mula-mula keluar dari pesawat menuju ke kaunter pemeriksaan Imigresen. Pada kad bisnes yang diberikan kepadaku tercatat namanya: “Dato' …”. Aku tidak dapat memberikan kad bisnesku sebagai balasan. Memanglah, kerana aku sudah lama bersara, dan sepuluh tahun lebih tua.
Rismayanti Idris, Nor Zatul and 9 others
2 comments
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment