Tuesday, 29 December 2020

Berjalan kaki di Kota Bharu (3): TIC
Resit pembayaranku di Kedai Jaffar Rawas itu mencatatkan jam 11.09:15 AM. Aku beredar meninggalkan premis itu menuju ke arah Jalan Sultan Ibrahim. Pernah suatu masa aku melawat Muzium Negeri Kelantan dan juga Perbadanan Muzium Negeri Kelantan yang terletak di Jalan Hospital, yang bersambung dengannya. Di tempat disebut kedua itu aku singgah membeli jurnal Warisan Kelantan XXXVI dan XXXVII, sebagai melengkapkan koleksi peribadi. Resit rasmi pembelian yang kurujuki mencatatkan tarikh “17/03/19” bernilai RM36.00.
Hari ini aku hanya ingin meneruskan langkah-langkahku ke Bazar Tok Guru. Tapi di pangkal jalan utama ini juga terletak Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (Kelantan Tourism Information Centre). Pejabat ini sentiasa dilintasi ketika berkereta tetapi tidak pula pernah dikunjungi. Ketika melintasinya hari ini, aku berhenti di depan pintunya, memperhati secara terperinci – waktu beroperasi, rekabentuk pejabat dari luar, paparan maklumat yang terpampang di papan pameran. Ia menarikku untuk mendalami. Aku menolak pintunya lantas berada di dalamnya. Seorang petugas yang kelihatan kesunyian terkejut dengan kehadiranku. Namun ia bangkit dari sofa di dinding pejabat itu, mengalu-ngalukan setelah kunyatakan hasrat untuk meninjau-ninjau pameran dan maklumat yang ada di situ.
Kelewahan waktu menjadikan aku tidak ingin beredar segera. Kuteliti ekshibit-ekshibit yang ada – antaranya model perahu nelayan berwarna-warni, gong, gendang rebana, wau, patung-patung wayang kulit dan lain-lain. Kurakamkan gambar-gambar bahan-bahan yang menarik minat peribadi dan kuambil bahan-bahan maklumat tentang pelancongan di Kelantan yang sememangnya diberikan percuma. Petugas itu malah memberiku peta Kota Bharu yang mengandungi maklumat tempat-tempat menarik memandu para pelancung.
Percakapan santai yang menyusuli dengan petugas itu menarik perhatian. Aku meminta izin duduk di sofa yang ada, sambil bertanyakan pelbagai hal termasuk pengalaman peribadi beliau. Kami akhirnya memperkenalkan diri masing-masing. Petugas ini berusia sebayaku. Dia pernah belajar lima tahun di Melbourne, Australia, dibiayai “papa/mama” dan sangat mengenal negara tersebut. Beliau juga pernah belajar di England dalam bidang kemuziuman.
Lama juga beliau bertugas di Kuala Lumpur. Akhirnya kembali ke Kelantan untuk hidup lebih tenang dari kehiruk-pikukan bandaraya. Kini beliau berkhidmat secara kontrak di situ. Katanya, sangatlah menjemukan berseorangan di rumah, tambahan pula membekukan minda. Dengan ‘bekerja’ kejemuan itu dapatlah dilegakan.
Pada awalnya beliau lebih mudah bercerita tentang destinasi pelancongan – dan ternyata beliau sangat luas mengembara, hampir keseluruhan pelusuk dunia – Eropah, Asia/Timur Tengah, Australia dan lain-lain. Kalau sesekali aku menyampuk atau mencelah, menyatakan juga pernah berkunjung ke tempat-tempat ternama dunia, dia pun malah lebih dahulu pernah berada di tempat-tempat itu, bahkan lebih banyak lagi daripada yang mampu kunyatakan. Dia malah menyatakan akan melancong ke luar negeri tidak lama lagi.
Ketika aku memberitahunya, baharu kembali dari makan angin di Bangkok, beliau memberitahu, bapa saudaranya, Tan Sri Jeneral Abdul Hamid Bidin pernah menyandang Duta Besar di sana, Dari risikanku ternyata beliau mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Kelantan. Dia membahasakan “ambo’ sepanjang perbualan kami.
Pada akhirnya kami lebih mengenali antara satu sama lain. Waktu makan tengah hari sudah mendekati. Tidak elok lagi berlamaan di situ kerana petugas itu tentu ada urusannya. Ketika akan beredar kami berwelfi bersama-sama. Beliau menulis nama beliau, Engku Syed Roselan Al-Idrus, serta nombor telefonnya, lalu menyerahkan kepadaku. Satu risalah kecil berjudul “Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra Rantau Panjang” yang diterbitkan oleh TIC Kelantan diberikan sendiri kepadaku. Engku memberitahu keterangan dalam bahasa Inggeris yang tercatat dalam risalah adalah hasil sumbangan beliau sendiri. Ada kepuasan terserlah di wajah beliau dari pernyataan tersebut. Aku teringat pernah juga singgah merakamkan kehadiran di Masjid Beijing itu pada tahun 6 November 2016.
Aku melangkah keluar meninggalkan pejabat TIC. Hajat ke Bazar Tok Guru diteruskan.
Image may contain: 2 people, including Ahmad Said
La Hami Bin Ahmad, M Jusoff Taib and 28 others
6 comments
Like
Comment
Share

Comments

 

No comments:

Post a Comment