Tuesday, 29 December 2020

 Fragmen Memoir Tak Jadi: Skim Perkhidmatan (4)

Menggubal skim perkhidmatan sektor awam bukan mudah. Ada banyak faktor perlu diteliti. Kita mahu wujudkan skim-skim perkhidmatan yang menjadikan semua ‘pemakai’nya puas hati. Secara khusus mereka ialah semua anggota perkhidmatan awam; dalam kapasiti sebagai individu penjawat awam, kesatuan-kesatuan sekerja atau persatuan-persatuan pegawai dan golongan pentadbir iaitu semua yang bertanggungjawab menguruskan sumber manusia dalam sektor awam.
Namun, istilah skim perkhidmatan itu seharusnya difahami. Ada ruang lingkup yang diliputi. Ada had tampungannya, berlandaskan hakikat keboleksanaan disebabkan jaringan unsur-unsur yang mendukungnya. Ia sebenarnya ‘kesatuan dalam kepelbagaian’ merangkumi aspek-aspek pengurusan sumber manusia. Ia bukan tanggungjawab berasingan bahagian-bahagian. Ia perlu penggerak, penyelarasan yang menjamin kesepaduan niat semua bahagian yang memimpin aspek-aspek atau unsur-unsur yang menggembleng kesatuannya.
Dokumen skim perkhidmatan sudah sedia wujud ketika Inggeris mentadbir Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Isi kandungannya tidak jauh berbeza hinggalah apabila telah merdeka pun perkhidmatan awam negara terus mengamalkannya. Usia dokumen ini melintasi tiga abad – abad ke-19, ke-20 dan ke-21.
Dari semasa ke semasa skim perkhidmatan dibincangkan dan diperjelaskan. Walaupun begitu, sejauh yang dapat aku selidiki, dokumen ini ternyata belum ditafsirkan secara rasmi. Tiada wujud definisi yang diiktiraf. Bahkan istilah dan maknanya dalam Perlembagaan Persekutuan pun dinyatakan berlainan. Dalam Perintah-perintah Am, Pekeliling-pekeliling Perkhidmatan atau Surat-surat Pekeliling Perkhidmatan ia dipakai tanpa menyedari ketiadaan tafsiran ini. Keterlepas pandang terhadapnya menakjubkan juga. Suatu misteri. Sedangkan aku pun sendiri bergelumang dengan segala aspeknya bertahun-tahun. Ia hanya diandaikan sebagai sedia diketahui semua penjawat awam bahkan orang-orang awam pun. Situasi begini tidak wajar berterusan. Definisi yang kemas akan membantu usaha-usaha penggubalan dan pelaksanaannya lebih terarah lagi.
Lalu, draf definisi kulayangrkan kepada peserta seminar. Teks awal sebagai bahan mereka menjanakan alternatif yang lebih baik terpapar di skrin. Kubacakan: “Dokumen yang menerangkan syarat-syarat pelantikan, saraan, latihan, perkhidmatan, dan kemajuan kerjaya sehingga persaraan seseorang dalam perkhidmatan awam.”
Sekurang-kurangnya tergambar skop liputan istilah skim perkhidmatan. Pemerian yang mudah itu sangat bergantung kepada pemahaman terhadap setiap patah istilah-istilah terkandung di dalamnya – pelantikan, saraan, perkhidmatan, latihan, kemajuan kerjaya dan persaraan.
Jadi, dokumen skim perkhidmatan seharusnya menunjukkan hala tuju bakal atau penjawat awam sepanjang tempoh berkhidmat dengan kerajaan. Contohnya, seseorang mesti memiliki kelayakan akademik tertentu jika ingin memohon sebarang pekerjaan awam. Apabila dilantik dia akan menerima gaji permulaan yang munasabah, setara dengan kelayakan akademik, pengalaman dan kemahiran masing-masing. Dan begitulah seterusnya.
No photo description available.
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 8 others
1 share
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment