Tuesday, 29 December 2020

Kembara Thailand (3): Ladang durian Segenting Kra
Selepas beberapa kilometer meninggalkan Hat Yai, kami memasuki lebuhraya menuju Bangkok, yang jauh di utara. Cuaca baik. Kami pun berhawa dingin dalam kereta. Untuk perjalanan jauh aku kira cuaca ini ideal. Kita akan dapat melihat semuanya yang ada di kiri kanan jalan. Di kejauhan pun kita boleh lihat – gunung-ganang dan hutan.
Pada amnya lebuhraya ini adalah lurus dengan dua lorong sebelah. Antara kedua-dua haluan yang bertentangan itu pada tempat-tempatnya dipisahkan oleh penghadang berupa tanah penampan yang di tanam dengan pokok-pokok besar. Pada tempat-tempatnya tanah yang memisahkan lorong-lorong lebuhraya saling bertentangan itu seakan parit besar. Sekiranya berlaku kemalangan, kenderaan yang terlibat, dalam kes paling ekstrim pun tidak dijangka akan melintas atau terbabas ke hala yang bertentangan. Pokok-pokok besar dan parit-parit besar akan menyekat berlaku demikian. Inilah analisis dan logikku berpendirian tersebut.
Peta negara Thailand terutama di kawasan Segenting Kra dan ke selatan telah sangat biasa denganku. Semenjak belajar Geografi atau semenjak pandai membaca peta, ditambah pula mempelajari sejarah Thailand dan Tanah Melayu menjadikan kawasan ‘semenanjung’ yang bermula dari Segenting Kra itu menarik perhatian. Ia menjadi lebih menarik lagi apabila telah dewasa, tercetus idea oleh Thailand untuk membina Terusan Kra. Sungguhpun idea ini bukanlah baru, tetapi disebabkan pada hakikatnya belum menjadi kenyataan dapatlah dikatakan wawasan berkenaan tidak mati. Tetap dalam perhatian. Aku pernah terbaca kerajaan Thailand tidak menganggap pembinaan terusan itu sebagai prioriti. Tentulah banyak sebab di sebalik pendirian itu – alam sekitar, keselamatan, kos, boleh jadi juga diplomatik. Aku meninggalkan idea itu pada status begitu sambil menunggu perkembangannya – sampai benar-benar terumus muktamad dari segi kewujudan atau sebaliknya pada masa depan.
Namun, dalam perjalanan ini aku tetap tertarik untuk mengenal dan melihat sendiri Segenting Kra. Ezri telah diberitahu hasratku ini. Lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, kami singgah di satu R&R untuk mengisi petrol di PTT Stesyen. Ezri memberitahu PTT adalah syarikat yang paling banyak dan menguasai bidang perusahaan minyak dan gas di Thailand.
Harga petrol dikatakan jauh lebih mahal berbanding di Malaysia. Ia tidak seragam di serata tempat. Dikatakan di Bangkok lebih murah berbanding di wilayah-wilayah lain. Itulah sebabnya ada percubaan untuk menyeludup masuk petrol dari Malaysia. Pelbagai cara dan ubahsuaian dilakukan ke atas kenderaan bagi maksud itu oleh mereka yang terbabit.
R&R yang kami singgah ini ada banyak kemudahan untuk membeli makanan, minuman dan juga kemudahan bilik air. Aku menggunakan bilik air di sini dan didapati ada disediakan ‘kolah’ di sebelah lubang tandas cangkung. Ada juga gayung plastik disediakan. Bagi orang Islam/Melayu kemudahan begini tidaklah pelik sangat. Tidak janggal menggunakannya. Hanya, kuperhatikan air dalam kolah itu kurang jernih!!!
Ezri membeli kopi panas dari kafe di situ. Kami minum dalam kereta dan Ezri mulai memandu. Setelah lebih kurang 15 minit beredar kami melalui gerai-gerai sementara di tepi jalanraya. Mereka menjual air kelapa muda dan juga jeli kelapa. Semuanya mengiklankan tawaran istimewa, “4 100 Baht”. Aku mengandaikan air atau kelapa muda itu di jual dengan harga tersebut. Jika demikian tentulah tersangat murah mengikut ukuran Malaysia. Lalu kami singgah di satu gerai. Seorang gadis (?) kampung yang menjualnya. Rupa-rupanya, “4 100 Baht” itu ialah jeli kelapa yang sememangnya telah diproses dan dipakejkan dalam tempurung kelapa mini dengan secara yang profesional – dibungkus dalam plastik dengan kemas. Tetap aku anggap murah harga produk itu. Kami membelinya lalu terus di makan di situ – dua kuhabiskan, satu untuk Ezri dan satu untuk R. Tempurung yang telah kami kosongkan diserahkan kepada gadis penjual itu untuk dibakulsampahkan. Sebelum bertolak semula, Ezri bertanyakan gadis itu arah ke Segenting Kra. Dia hanya menyatakan masih di hadapan.
Ada dua masjid di hadapan yang sesuai untuk disinggahi, kata Ezri. Yang lebih dekat mungkin mengambil masa 10-15 minit dan sebuah lagi memakan perjalanan lebih kurang sejam. Kami bersetuju untuk singgah di masjid yang lebih jauh di hadapan kerana waktu ketika itu masih awal untuk bersolat jamak takdim. Kami tiba di Masjid At Tauheed, Lang Suan Road, Surat Thani pada lebih kurang pukul 4.45 (?) petang. Untuk ke situ Ezri membuat pusingan U sejauh lebih kurang 200 meter. Masjid itu sedikit ke dalam, 70 meter daripada jalanraya tetapi jelas kelihatan. Ketika itu ada sebuah kereta MPV singgah sama. Aku menselesakan diri dan mengambil wuduk di bilk air berasingan, di belakang bangunan utama masjid. Ada empat bilik tandas. Tempat mengambil wuduk dikira baik, sungguhpun tidaklah terlalu bersih.
Ketika masuk ke dewan solat lima orang sedang bersolat berjemaah. Suara imam tidaklah nyaring tetapi dalam kerendahan suara itu kudapati bacaan solatnya
mantap
. Tentulah mereka itu juga musafir seperti kami. Aku dan Ezri menyertainya, bersolat jamak. Di dinding masjid tergantung waktu-waktu solat – Zuhur masuk pada pukul 12.40 tengah hari, Asar 4.00 petang, Maghrib 6.35 petang, Isyak 7.50 malam. Mereka lebih dahulu selesai bersolat. Kami meneruskan bersolat beberapa rakaat lagi sebelum memberi salam.
Semua lelaki musafir itu berkumpul di bahagian beratap tak berdinding di bahagian belakang masjid. Tentulah bahagian ini dikira ‘dewan serbaguna’ masjid. Ia sebenarnya sebahagian daripada bangunan yang terletak bilik air tadi. Ada kerusi meja disediakan bagi kemudahan musafir duduk-duduk dan makan bekalan yang dibawa. Ada dua atau tiga perempuan bersama-sama kumpulan itu. Mereka menyedia dan membahagi-bahagikan pinggan nasi ‘berlauk’ untuk makan tengah hari kumpulan.
Ketika melihat kami keluar dari masjid mereka memanggil kami untuk menyertai mereka sama-sama makan. Kami mendekati tetapi menolak sopan. Kelihatan seakan ada ‘budu’ dan ikan rebus menjadi sebahagian lauk-pauk mereka.
Mereka orang Islam Thai. Tidak pasti pula sama ada mereka sehaluan atau bertentangan arah destinasi dari kami. Kereta MPV tadi kenderaan mereka. Kami memberitahu datang dari Malaysia. Ezri bertanyakan mereka jalan ke Segenting Kra. Aku perhatikan mereka pun kurang arif dengan lokasinya. Hanya diisyaratkan arahnya secara yang kurang meyakinkan. Kami kemudian beredar meninggalkan masjid itu.
Ezri menggunakan GPS untuk ke Segenting Kra. Jalan yang diikuti menyimpang ke kiri daripada lebuhraya tersebut. Waktu ketika itu lebih kurang 3.15 (?) petang. Jalan yang kami lalui baik tetapi tidak banyak trafik diselisihi. Ada kampung dilalui tetapi rumah-rumah kediaman tidaklah banyak. Dari dalam kereta ternampak banjaran bukit yang panjang berbentuk unik dan misterius. Kalau hendak dibuat filem lokasi ini boleh dipertimbangkan. Semakin dekat ke destinasi, lebih jarang kenderaan ditemui.
Kawasan yang berbukit itu ternyata menjadi kawasan tanaman durian. Aku dapati buah-buahnya bergantungan di dahan-dahan. Kebanyakan saiznya lebih besar sedikit daripada bola takraw. Dahan-dahan durian itu di ikat dengan tali yang disambung ke batang utama. Tentulah tujuannya untuk mengelakkan dahan-dahan itu serkah apabila buah-buahnya yang lebat itu membesar, matang dan menjadi lebih berat.
GPS mengarahkan kami bergerak ke depan. Ezri mematuhi, membelok, menaiki dan menuruni bukit, memasuki jalan tanah ke tengah dusun-dusun. Rumah-rumah kediaman tetap ada di ‘pedalaman’ itu tetapi sudah jarang-jarang benar. Akhirnya kami memikirkan telah tersilap jalan, walaupun GPS terus menunjukkan arahan hala tuju destinasi yang seakan sangat dekat benar. Risau terlajak jauh ke dalam pada kawasan yang salah dan merbahaya, kami memutuskan untuk berundur. Kalaulah kereta kami mengalami kerosakan, tidak dapat dibayangkan kesukaran yang bakal menimpa di ‘rimba’ itu. Kami berpatah balik mengikuti jalan yang sama dan kembali semula memasuki lebuhraya untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh.
Ezri meneliti semula peta dan ternyata jalan yang betul ialah jalan lain, terkeutara sedikit lokasi masuknya.. Kami sepatutnya mengambil jalan menuju ke Ranong dan di pertengahan jalan itulah terletak Segenting Kra, kalau hendak dicapai melalui jalanraya. Laluan itu sudah berhampiran sempadan Myanmar. Kawasan yang telah kami ‘terokai’ tadi adalah bahagian lain Segenting Kra yang masih ‘dara’. Barangkali 40-50 minit juga kami berkereta di Segenting Kra. Hari telah semakin senja.
Rismayanti Idris, Nor Zatul and 13 others
Like
Comment
Share

 

No comments:

Post a Comment