Wednesday, 30 December 2020

 Kembara Borneo 3/2019: Senja di KK

Kali terakhir aku ke Kota Kinabalu ialah pada tahun 2017, tepatnya pada 15-18 November. Maknanya kedatangan kali ini setelah hampir dua tahun berselang. Suatu selangan yang agak lama. Tentulah ada perubahan dimana-mana terutama dari segi pembangunannya. Di sana nanti akan jelas di mataku.
Aku beratur di kaunter pemeriksaan passport khusus untuk warganegara Malaysia. Di ruangan bersebelahan, ketika itu ramai juga pemegang passport asing sedang beratur di depan kaunter-kaunter dikhaskan. Tentulah mereka pelancung yang baru tiba daripada luar negara – melalui penerbangan langsung. Aku tahu Kota Kinabalu adalah lapangan terbang yang sibuk juga dan mungkin yang kedua selepas KLIA. Banyak penerbangan lain tiba di situ – dari Hong Kong, Filipina, Taiwan, China dan lain-lain.
Di kaunter Imigresen, rakyat asal Semenanjung hanya perlu menunjukkan MyKad sebagai syarat masuk. Ini sudah menyelesakan berbanding suatu ketika dahulu perlu menggunakan passport antarabangsa. Di samping itu, aku pernah menggunakan kad khas penjawat awam ketika bertugas di bawah “Urusan Seri Paduka Baginda”. Secara rasmi kad itu dikenali “Perakuan Pengenalan” (Imm. 93—Pin.1/92). Had tempoh laku kad ini ialah selama 6 bulan dari tarikh dikeluarkan. Kebanyakan kad-kad itu masih kusimpan sebagai koleksi dokumen peribadi.
Sebaik keluar pintu terminal ketibaan, aku dan seorang lagi ahli rombongan disambut oleh pegawai yang bertanggungjawab. Lalu dia membawa kami ke kereta khas yang sedia menunggu berdekatan. Kereta Perdana baru berwarna hitam itu kelihatan eksklusif meluncur meninggalkan lapangan terbang membawa kami ke hotel. Kami duduk di tempat duduk belakang. Pemandu yang membawa kami memberitahu namanya “Roslan” apabila kutanya. Dia membawa kami ke Hotel Promenade yang terletak di pusat bandaraya. Ia tidak jauh dari lapangan terbang. Waktu itu jalanraya menampung lancar semua kenderaan ke semua hala. Tiada kesesakan. Dari terminal ketibaan ke hotel mengambil masa lebih kurang 10 minit. Hotel ini pernah juga kuinapi beberapa kali ketika masih berkhidmat dengan kerajaan Malaysia dahulu. Hotel ini mempaparkan sijil taraf 4 bintangnya pada suatu dinding berhampiran kaunter resepsinya.
Di kalangan rombongan, kami berdua paling awal tiba di hotel. Pihak urus setia belum juga tiba-tiba walaupun hampir setengah jam kami berada menunggu di lounge hotel itu. Seorang lagi ahli rombongan yang tiba kemudian memberitahu urus setia terlewat beredar kerana seorang ahli rombongan tercicir MyKad menjadikan beliau tidak dapat melepasi kaunter Imigresen. Laporan kehilangan MyKad perlu dilakukan di balai polis sebelum urusan kemasukan diuruskan oleh pihak Imigresen.
Seorang pegawai urus setia yang tiba kemudian menguruskan urusan bilik menginap kami di hotel itu. Dalam seketika urusan itu selesai dan kami mendapat kunci bilik masing-masing. Memanglah semua tempahan bilik telah dilakukan lebih awal oleh urus setia lama sebelum itu. Sewajarnya urusan pengambilan kunci bilik hanyalah suatu rutin.
Bilik yang diberikan untukku terletak di Aras 4, berdekatan dengan lobi lif. Ia dikira cukup baik untuk menginap - luas, bersih, dilengkapi semua kemudahan yang biasa, kecuali sejadah. Sebaik berada di dalam bilik, aku terus menselesa diri dan mengambil wuduk. Kudirikan solat jamak Zohor-Asar. Tidak sukar menentukan Kiblat kerana anak panah Kiblat tertampal jelas di silingnya. Salah satu tuala mandi yang disediakan kugunakan sebagai sejadah. Tidak kuminta pihak hotel membekalkannya.
Hari masih terang pada waktu lebih kurang 4.30 petang. Aku sememangnya sudah berniat untuk ke Pasar Filipina meninjau-ninjau suasananya sementara senja berlabuh. Lalu aku turun ke bawah dan terus melangkah menuju destinasi itu. Waktu petang begitu jalanraya utama di hadapan hotel masih aktif dengan kenderaan melaluinya dalam dua arah bertentangan.
Sederetan panjang van dan bas mini pengangkutan awam menunggu penumpang di sepanjang jalan utama itu menghala ke arah yang membelakangi pusat bandaraya. Aku percaya inilah pusat kenderaan awam utama Kota Kinabalu. Pastinya bertaraf sementara. Tentunya pihak berkuasa belum memuktamadkan penyelesaian akhir isu yang sudah lama ini.
Semenjak dahulu inilah mod pengangkutan awam kotaraya. Perkhidmatannya sangat diperlukan oleh rakyat berpendapatan rendah. Aku percaya tanpa perkhidmatan ini Kota Kinabalu akan lumpuh. Pemodenan sistem pengangkutan awam terutama pengenalan LRT atau seumpamanya masih tidak dapat dibayangkan wujud dalam sedekad dua ke hadapan. Kelemahan sistem jalanraya yang nyata sekarang dan impak daripadanya terpaksa dihadapi oleh majoriti pengguna setiap hari. Aku sangat bersimpati.
Aku menapak gigih ke arah Pasar Filipina. Dari Hotel Promenade jaraknya kuanggarkan 150 meter. Orang lain yang berjalan kaki pun tidak kurang ramainya. Kedua-dua hala. Yang menghala ke arah aku datang tidak salah lagi untuk menaiki kenderaan awam yang banyak menunggu itu. Aku juga melihat bas-bas pelancung singgah di tepi jalan menurunkan para pelancung yang boleh jadi dari Taiwan, Hong Kong, China, atau Korea, bahkan Jepun – berdasarkan perawakan dan warna kulit mereka.
Ketika mendekati bangunan pasar, kuperhatikan ramai juga kanak-kanak duduk-duduk meminta sedekah di tepi jalan utama sampai ke pinggir pasar itu. Di depan mereka ada bekas-bekas plastik menadah wang sumbangan para pejalan kaki. Aku juga melihat seorang pelancung yang membeli makanan dan memberikan bungkusan makanan itu kepada sebahagian kanak-kanak peminta.
Ketika aku sampai di pasar itu ramai juga pelancung sedang mengerumuni longgokan buah durian yang dijaja di situ. Melihat longgokan itu ternyata, musim durian sedang marak. Harga-harga yang terpamer berbeza, bergantung kepada jenis-jenis durian itu. Aku kurang pasti kualiti buah-buah itu tetapi tentulah yang bertanda harga mahal untuk sekilo dikira berkualiti berbanding yang lebih rendah tanda harganya.
Berdekatan longgokan durian itu ada beberapa petak gerai kekal di bangunan pasar menjual minuman termasuk air kelapa. Aku biasa minum air kelapa muda di deretan gerai ini pada kunjungan-kunjungan yang awal. Hari ini pun aku masih mahu singgah dan menghirup minuman yang sama. Ketika aku duduk di bangkunya, tiada pelanggan lain minum di situ. Yang ada ialah pelanggan yang membeli air minuman dalam tong atau balang plastik besar yang berbagai jenis perisa itu.
Kelapa muda yang kuminta ditebuk segera oleh penjualnya dan segera diletakkan di hadapanku. Aku mengambil straw dan menghirup air dengan tenang. Sambil itu kuperhatikan juga sekitaran – para penjual yang menjual pelbagai barangan dan para pembeli atau pengunjung yang tidak kurang pula ramainya. Hanya tidak pula kupastikan sama ada para pengunjung itu benar-benar membeli atau sekadar melakukan tinjauan sepertiku.
Sedang aku minum di gerai itu, sekelompok pelancung dibawakan ‘pemandu pelancungnya’ beratur mengambil minuman di situ. Minuman yang diisikan dalam plastik itu dibawa untuk diminum di tempat lain. Aku mendengar pegerai itu menyatakan harganya RM20.00. Sama ada berseloroh atau tidak, pemandu pelancung menyatakan RM30 pun tak mengapa. Dan memang wang kertas RM50 yang diserahkan beliau dikembalikan bakinya sebanyak RM20. Ini di depan mataku. Bertuah pegerai itu, rezekinya murah, terdetik di dalam mindaku. Sedang, gerai-gerai minuman lain yang berhampiran tidak pula kelihatan disinggahi pelanggan!
Aku membayar harga minuman sebiji kelapa muda sebanyak RM4. Berbeza dengan harga sebiji kelapa Pandan iaitu RM5. Kusedarinya ketika sedang menghirup kelapa ‘biasa’ itu. Aku beredar lalu berjalan melintasi lorong-lorong pasar itu. Melihat-lihat ikan-ikan segar, sayur-sayuran, gerai-gerai makanan dan gerai-gerai lain yang memang banyak sepanjang benteng berhadapan dengan Pulau Gaya. Bot-bot nelayan banyak berlabuh. Tentu dari bot-bot itulah kebanyakan ikan-ikan itu diperoleh, aku mengagak. Ada juga kudapati para remaja lelaki menjaja rokok secara bergerak. Mana-mana orang yang melintasi disuanya dagangan itu agar membeli.
Kemudian aku berundur meninggalkan pasar. Aku mengambil laluan sepanjang gigi air – waterfront. Laluan ini sebenarnya didereti restoran-restoran makanan laut, sepanjang hampir 100 meter. Waktu senja begitu ramai pelanggan bersantai makan minum di hampir semua restoran. Kerusi/meja yang disediakan di ruang yang tidak berbumbung hampir penuh diduduki. Kebanyakan mereka seakan para pelancung. Mungkinkah lantaran kos makanan lebih murah?
Di sebelah kanan, di kejauhan mentari senja sedang perlahan menggelosor ke kaki langit. Kelompok awan melindungi pancaran cahaya bahkan bola mentari itu sendiri. Ada juga kuperhatikan di kalangan pelanggan, kupasti dari luar negeri, memasang kamera-video merakamkan peristiwa – mereka makan minum di pinggir laut ketika mentari hampir beredar. Angin yang membelai, bot-bot nelayan yang sedang berlabuh, bot-bot kecil yang meluncur ke beberapa arah, feri yang merapati jeti, Pulau Gaya dan lain-lain yang berdekatan, sesekali kapal terbang yang merendah turun sebelum mendarat di lapangan terbang berdekatan, cahaya lampu yang mula dipasang di ruangan makan restoran, menjadikannya latar belakang yang menarik. Ia suatu gambaran yang wajar diingati.
Aku berjalan sambil memerhati gelagat manusia berlatarkan suasana sekitarnya. Serentak itu mengakui Sabah telah berjaya menarik ramai pelancung atau pengunjung. Tentu banyak sebab disebalik kejayaan ini. Tetapi lebih banyak lagi yang perlu dilakukan supaya bidang pelancongan berkekalan menjana kegiatan ekonomi negeri.
Ketika hampir gelap aku tiba semula di Hotel Promenade. Dalam Whatsapp kumpulan kami, diingatkan makan malam telah diaturkan di sebuah restoran di luar hotel. Aku perlu berada di lobi pada pukul 7.30 malam untuk menaiki kereta yang membawaku ke situ. Pun aku perlu menunaikan solat Jamak Takdim Maghrib-Isyak terlebih dahulu.
Rismayanti Idris, As Abbas and 9 others
1 comment
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment