Rapuh 12/2019: Tahun Menyambut Usia 100 Tahun Majalah Pengasuh?
Aku pernah menulis dalam laman fbku yang lebih awal (pada 25 Disember 2017) bahawa adalah tidak benar Pengasuh sudah terbit selama 100 tahun.
Beberapa penulis menyatakan, lalu mempengaruhi persepsi umum, bahawa tempoh seratus tahun itu didakwa tercapai pada Julai 2018. Memanglah naskhah sulung Pengasuh terbit pada 11 Julai 1918 yang bermakna pada Julai 2018, mengikut turutan tahunan, ‘seakan’ meliputi tempoh 100 tahun. Tetapi fakta-fakta dalam sejarah penerbitan itu tidak boleh diabaikan sebelum seseorang merumuskan ‘fakta’ sepenting umur dan sejarah penerbitan majalah Pengasuh ini.
Fakta yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa Pengasuh pernah terhenti terbit lima kali sepanjang tempoh yang didakwa mencapai seabad itu.
Aku telah membaca tulisan-tulisan tokoh-tokoh yang rapat malah terlibat secara langsung mengendalikan majalah ini. Ternyata penerbitan Pengasuh terhenti kali pertama selepas terbit naskhah Bilangan 642, 20 Syawal 1356=23 Disember 1937. Ini adalah naskhah terakhir sebelum Perang Dunia Kedua. Mulai Januari 1938 hingga 12 Jun 1946, Pengasuh tidak terbit. Ini bermakna terhenti 101 bulan.
Terbitan sulung Pengasuh selepas Perang Dunia Kedua bernombor siri “Bilangan 1 Tahun 22”. Kenyataan “Tahun 22” itu dikira sebagai susulan kepada “Tahun 21” yang sudah terhenti selama 101 bulan atau 8 tahun empat bulan lebih itu. Tetapi keluaran-keluaran kebelakangan, misalnya, tahun-tahun 1992 (bahkan yang lebih awal) hingga 2019, sudah tidak lagi menggunakan “Tahun” sebagai siri. Yang digunakan hanyalah nombor “Bilangan” sahaja (Pengasuh mutakhir Bilangan 664, Mei-Jun 2019) sedangkan jika siri “Tahun” digunakan Pengasuh mutakhir itu sewajarnya menjadi Bilangan 664, Tahun 101, Mei-Jun 2019!, mengikut rasional persirian tahun yang ditafsirkan oleh Pengasuh.
Kali kedua, Pengasuh terhenti terbit bagi Februari 1963 hingga September 1964 (20 bulan). Kali ketiga, ia terhenti terbit mulai Disember 1965 hingga Januari 1967 (14 bulan). Apabila terbit semula dengan turutan nombor siri Bilangan 351, Syawal 1386 – Februari 1967, Pengarang Pengasuh (Abdul Ghani Azmi Idris, antara lain menulis: “Lama nian Pengasuh tidak mengunjungi para pembaca dan sekarang setelah sekian lama beristirehat ia muncul kembali dengan beberapa perubahan dan pembaharuan walaupun dalam keadaan yang masih serba sederhana dan banyak kekurangan./... Usaha-usaha ke arah penyempurnaan dan pembaharuan akan dilakukan dari semasa ke semasa sehingga nilai dan mutu majalah ini akan terjamin, baik dari segi isi maupun dari segi tekniknya./Tidak lain tujuan kami dengan penerbitan kembali majalah ini kecuali untuk menyambung khidmat yang telah dirintis dan dijalankan olehnya sejak puluhan tahun yang lalu, sejajar dengan tujuan dan matlamat yang dituju oleh Majlis Agama Islam, iaitu: Untuk berabdi kepada Agama, Bangsa dan Nusa yang tercinta.”
Kali keempat, terhenti selama 39 bulan, mulai November 1971 hingga Januari 1975. Kali kelima, yang terakhir terhenti, ialah mulai Januari 2012 hingga November 2012, (11 bulan). Kesemua tempoh itu berjumlah 185 bulan (bersamaan 15 tahun 4 bulan).
Tempoh terhenti terbit lebih daripada 15 tahun seharusnya ‘mencacatkan’ perakuan umur Pengasuh yang dikatakan 100 tahun itu. Tempoh Pengasuh ‘hilang’ daripada masyarakat pembaca itu sekali gus menolak kesahihan dakwaan bahawa Pengasuh telah mencapai 100 tahun. Sewajarnya, hakikat aktiviti penerbitan sebenar majalah diambil kira. Tentulah dengan pendirian ini usia genap 100 tahun penerbitan majalah Pengasuh bukan 2018. Ia sebaliknya sekitar 2033 atau 2034.
No comments:
Post a Comment