Utusan Melayu: Kunjung penghujung (16) – ilustrasi Utusan Kiblat.
Penyusun Teknik dan Penulis Khat Utusan Kiblat yang pertama ialah Ramli Salleh. Tentulah banyak baktinya kepada majalah ini. Judul-judul rencana yang berlainan bentuk khat dalam majalah itu menjadikannya hiburan yang bermakna kepada pembaca, yang tentunya pendukung tulisan Jawi. Sejauh mana peranan penulis khat tidak dapat kugarap tetapi adalah pasti majalah Utusan Kiblat tidak akan mencapai tahap yang memuaskan tanpa kreativiti beliau atau pasukannya.
Dari segi perkartunan, dalam tempoh 1970-1974, kartunis-kartunis yang menyumbang karya-karya kepada Utusan Kiblat ialah Raby, Osman Baru, Tete Zamrud, Yusma, Rossem, Rejabhad dan seorang dua yang lain. Aku pernah mengulas pendek tentang mesej kartun-kartun dalam majalah-majalah bercorak agama suatu ketika dahulu. Ini satu lapangan yang sedang diusahakan tanpa terikat kepada jangka masa tertentu untuk disiapkan. Sekadar melepaskan tanggapan awal, kartun-kartun itu, walaupun ringan dan mudah, menunjukkan potensi mendakwah. Mesejnya jelas, lucu, mengusik mengajar, menyindir sekali gus bertapak di alam nyata.
Sementara itu, Utusan Kiblat juga memuatkan ilustrasi bukan kartun. Sebahagian yang dapat dikesan merupakan ciptaan Sulaiman Juraimi dan Yaakob (Julai 1973, mengisi ruangan-ruangan Kisah dari al-Quran dan Pak Pandir Moden; Ogos 1973, September 1973, Oktober, 1973). Ada juga, satu dua yang ternyata hasil ilustrasi A. Shukur Lin, misalnya dalam Utusan Kiblat, Mac 1973, muka surat 45 menghiasi ruangan Pak Pandir Moden oleh Ishak Haji Muhammad. Ruangan Kisah dari al-Quran juga berilustrasi yang menarik tetapi tidak dapat dipastikan pelukisnya.
Ilustrasi bagi sajak-sajak di bawah ruangan “Ungkapan Suci” menarik, tetapi banyak tidak dapat dikesan ilustratornya. Lihat, misalnya, Utusan Kiblat, Januari 1973, muka surat 27; Februari 1973, muka surat 27; Mac, 1973, muka surat 27; April 1973, muka surat 27; Julai 1973, muka surat 27; Ogos 1973, muka surat 27; September muka surat 13; Oktober, muka surat 27. Pada tahun 1974, sebahagian ilustrasi ruangan ini diketahui karya MEGAT.
No comments:
Post a Comment