Sunday, 27 December 2020

 Siapa salah?

Taklimat itu sepatutnya berlangsung lebih awal, 16 Disember. Ia telah lebih dua bulan tercatat di diari. Minggu lepas, ketika akan meninggalkan rumah untuk menghadirinya, kuterima panggilan telefon, menangguhkan program ke hari ini, Selasa, 22 Disember. Waktunya tetap pada pukul 12 tengah hari.
Klinik Kesihatan itu tidaklah jauh dari rumahku. Kurang daripada 10 minit, aku sudah boleh berada di situ.
Pada jam 11.40 pagi aku sudah tiba memberikan borang temu janji. Menyusuliku, seorang demi seorang orang lain datang membawa borang masing-masing ke bilik yang sama. Kami menunggu di tempat yang disediakan berhampiran bilik.
Lebih sedikit pukul 12 tengah hari, pegawai wanita itu keluar dari biliknya dan menyeru nama-nama kami seorang demi seorang. Semuanya lima orang, dua Melayu , dua India, lelaki dan seorang Cina, wanita. Aku percaya, di kalangan kami, akulah tertua.
Kami duduk berhadapan meja sambil mengekalkan jarak. SOP Covid-19 dipatuhi. Daripada makluman di awal ceramah ternyata semua mereka sudahpun disahkan mengidap penyakit itu . Aku pula belum lagi menjalani rawatan demikian kerana diberi peluang merobah gaya hidup agar terelaklah daripada menerima ubatan yang sama.
Pegawai wanita berketurunan Cina, cantik dan lincah, barangkali berusia 35-40 tahun, telah bersedia. Pada skrin komputer di mejanya terpapar bahan taklimat. Ia kemas dan disediakan secara profesional. Serentak itu beliau menyampaikan bahan-bahan itu dengan lancar dan fasih, menggunakan bahasa Melayu baku.
[Sebagai orang yang berpengalaman lama termasuk mendengar taklimat, kemahiran bahasa Melayunya kutarafkan ‘A’]
Selepas lima enam minit berlangsung, lelaki Melayu sudah mula bertanya. Penceramah tidak keberatan dicelah. Namun terpaksa menekan kekunci melangkau ke beberapa ‘slaid’ yang belum lagi disentuh. Kami tidak kisah sangat oleh 'gangguan' itu. Tambahan pula kelihatan semua yang hadir terpelajar dan tidaklah sangat ‘jahil’ dengan subjek yang dibincangkan.
Tetapi, lelaki Melayu ini menggunakan bahasa lain, bahasa Inggeris. Pegawai itu tetap menggunakan bahasa rasmi ketika menjawab, sungguhpun sudah mulai menggunakan sedikit-sedikit bahasa Inggeris juga, oleh sebab, kukira ‘malu alah’.
Aku pasti semua pesakit sekurang-kurangnya memahami bahasa Melayu. Mereka faham taklimat yang disampaikan, setakat itu, bahkan hingga selesai kemudiannya. Walau bagaimanapun, dalam beberapa pertanyaan yang mereka kemukakan, semuanya menggunakan bahasa Inggeris. Pegawai itu masih tetap mengutamakan bahasa Melayu, sambil mencampurkan dengan bahasa Inggeris secara yang tertib, sehingga sesi bubar.
Memang semakin mendekati penghujung beliau nampaknya tidaklah keberatan memberi penjelasan lanjut dalam bahasa Inggeris. Sebab lebih didesak oleh khalayak.
Inilah laporan saya tentang sikap kita terhadap bahasa. Siapakah di kalangan kita yang kurang berdisiplin atau mengambil mudah dalam berbahasa?
Namun, aku harus mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pegawai yang berkebolehan itu.
Image may contain: text that says "4038 Selasa, 22/12/2020 AM 11:39"
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 9 others
1 share
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment