Tuesday, 29 December 2020

 Datuk Abd. Jalil Ali

Salah satu naskhah akhbar yang saya masih simpan ialah Sinar Ahad bertarikh 9 Ogos 2020=19 Zulhijjah 1441H, Bil. 23, RM1.50. Sebab utamanya kerana ia mengandungi berita kematian Allahyarham Abd. Jalil Ali. Pelaporan ini hendak kugandingkan dengan beberapa buku beliau dalam koleksiku. Dengan begitu dapatlah mengenali beliau berdasarkan karya-karya dan juga pandangan orang lain terhadap beliau.
Dalam koleksiku, buku-buku karangan beliau ialah Asam Garam Gula & Kopi (2013, cetakan ketujuh, cetakan pertama 2005); Teh Tarik Kurang Manis (2011, cetakan keempat, cetakan pertama 2008); Kopi O Tanpa Gula (2012, cetakan ketiga, cetakan pertama 2009); Cendol Pulut Santan Lebih (2014 cetakan keempat, cetakan pertama 2012); dan Asam Pedas Sirap Bandung (2015). Aku perhatikan beliau juga menulis Dari Menara KL iaitu “koleksi pandangan dan sindiran beliau dan pernah disiarkan dalam ruang kolumnis akhbar Sinar Harian.” Sebuah novel beliau berjudul Emylia Zulaikha.
Kelmarin (29 Disember 2020), ketika duduk menunggu giliran panggilan doktor di Klinik Onkologi, PMUM, aku menggunakan masa membaca – buku dan majalah. Buku memang dibawa dan sentiasa ada dalam beg galas. Sedangkan majalah kuambil dari rak yang ada di ruang Klinik Radiotrapi tidak jauh dari tempat ruang menunggu itu.
Dalam majalah MJI terbitan Karangkraf, Vol. 163, muka surat 146 aku melintasi rencana, Datuk Abd. Jalil Ali, “Manfaatkan Sepenuhnya Peluang Kedua Dari Allah” mengisi ruangan Mata Hati. Kebetulan pula gambar yang menghiasi rencana itu adalah sama dengan yang terpapar di muka depan Sinar Ahad.
Rencana MJI ini menjadi menarik kerana beliau menceritakan pengalaman peribadi sebagai pengidap kencing manis yang sedang menghadapi kemerosotan pandangan mata. Ia perlu dibedah untuk kembali berfungsi seperti sediakala. Paras gulanya yang sangat tinggi (17.8) menjadikan doktor tidak melaksanakan kerana risiko yang jelas.
Beliau tiada pilihan selain menurunkan paras gula itu. “Terasa terseksa ketika ingin mendisiplinkan diri dengan diet.” Dalam masa dua bulan beliau dapat mencapai paras 6.2 sedangkan “[M]enurut doktor tahap selamat untuk pembedahan ialah sekitar 5.0 atau paling tinggi 5.5.”
Bagaimanapun pembedahan itu diteruskan juga. Kemudian, seperti kata-kata beliau, “Langit membiru, awan memutih mengiringi mentari dan bulan, pepohon menghijau dengan bunga-bungaan pelbagai warna. Pendek kata alam yang kelam kini semuanya kelihatan indah berseri.”
Ketika itu beliau berusia 62 tahun. Di pengakhiran rencana, ditulis beliau, “Syukur Allah telah memberi peluang kedua untuk saya melihat serba-serbi kebesaran-Nya. Maka mata yang kembali normal ini akan digunakan untuk melihat benda-benda baik lagi indah, termasuk memerhati dan meneliti huruf dan ayat-ayat al-Quran, Insya-Allah.”
Allahyarham Datuk Abd. Jalil Ali dilahirkan pada 28 Februari 1954. Ini bermakna beliau meninggal dunia ketika berusia 66 tahun 5 bulan 10 hari. Mengikut laporan, kematiannya “akibat penyakit buah pinggang”.
Beliau sempat menikmati semula anugerah mata kali kedua selama lebih kurang 4 tahun. Semoga dalam tempoh peluahan tekad yang menyusuli pembedahan mata itu, hasrat beliau seperti dalam kalimat terakhir dalam rencana yang dipetik di atas telah termakbul.
Satu tanda yang baik, Sinar Ahad melaporkan, “Kalimah ALLAH menjadi perkataan terakhir disebut” beliau, seperti diberitahu balu beliau Datin Sharifah Nooraiya Syed Hassan.
Al-Fatihah.
Image may contain: 1 person, text that says "Media Arus sinar MEMBINAPERSPEKTIF MEMBINA PERSPEKTIF Perdana Paling Diyakini Ahad sinarharian.com.my .com.my NEUTRAL 14 EKAL Shar NEUTRAL Belasungkawa Allahyarham Datuk Abd Jalil Ali AHAD 19 OGOS 2020 19 ZULHIJJAH 1441HI BIL: 23 PP19559/01/2020 (035173) 10,11&12 sinarharian.com.my Sina"
M Jusoff Taib, Rismayanti Idris and 3 others
1 share
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment