Luluh bersama 2020
Saya pernah menghantar di laman ini (pada 5 Oktober 2015) tentang pewacanaan mewawaskan bahasa Melayu menjadi bahasa di PBB pada tahun 2020. Pe’like’ hantaran itu tak lebih daripada jumlah jari di tangan, lebih tepat 8 orang. Mereka “friends’ setia, seperti lazimnya.
Menyusuli hantaran itu, merapati hujung tahun 2015, sebagai “comments”, saya menyentuh kandungan majalah Dewan Bahasa, Jilid 4, Mac 2003, yang saya katakan, “memuatkan lebih separuh halamannya tentang pengantarabangsaan bahasa Melayu.”
Pembacaan yang terlalu banyak tentang keupayaan bahasa Melayu ini adalah membabitkan tulisan-tulisan para pendukung bahasa (pakar, pejuang, penulis). Belekan semula pada hari ini (12 Disember 2020) menggerakkan saya untuk menyalin pandangan orang luar terhadap bahasa Melayu, yang disuarakan 16 tahun dahulu.
Pandangan orang luar ini dalam setengah kes sangat mempengaruhi seperti misalnya satu kritikan A. Teeuw ke atas novel Salina, sehingga terlonjak nama dan ketokohan A. Samad Said sebagai sasterawan berkaliber.
Aku fikir lebih elok menyalin tulisan Kim Young Soo, dari Korea Selatan:
“Yang kedua, masyarakat Malaysia belum berhasil menegakkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan mereka, setelah melihat papan iklan di pinggir jalan, menoton televisyen, dan bergaul dengan masyarakat Malaysia setempat yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa, iaitu bumiputera, Cina, dan India. Melalui kesempatan itu, saya bertemu dengan orang Malaysia yang fasih berbahasa Malaysia dan orang Malaysia yang belum (?) fasih berbahasa Malaysia. Hal ini berlaku kerana apabila mereka pulang ke rumah masing-masing, mereka tetap menggunakan bahasa mereka sendiri (bukan bahasa Malaysia lagi) yang diwarisi turun-temurun.
Yang ketiga, kalau tidak salah, kerajaan dan masyarakat Malaysia tetap mengutamakan kepentingan bahasa Inggeris dalam menghadapi era globalisasi dan pengantarabangsaan pada abad ke-21 untuk mengembangkan negara yang mampu melangkah bersama dengan negara maju berdasarkan pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi canggih, terlepas daripada sifat negara agraria selama ini. Namun demikian, menurut pendapat saya, tanpa kemampuan berbahasa Malaysia secara baik dan betul, usaha untuk menguasai bahasa Inggeris akan menjadi sia-sia belaka. Hal ini demikian kerana pelajaran bahasa Inggeris pun semestinya dikembangkan atas dukungan penuh kemampuan bahasa Malaysia.
Yang keempat, menurut kesan peribadi saya, dalam kalangan masyarakat Malaysia, ada gejala yang membezakan golongan elit daripada golongan bukan elit berdasarkan kemampuan berbahasa Inggeris tanpa mempedulikan ciri khas masing-masing.
Kelima, sehingga saat ini, di Korea Selatan, saya belum bertemu dengan orang Malaysia, termasuk pegawai kerajaan, yang berkunjung ke Seoul, yang fasih berbahasa Malaysia. Mereka yang sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahasa Malaysia yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris atau bahasa Inggeris secara keseluruhan. Menurut kebiasaan diplomasi antarabangsa, ketika seseorang ketua negara melakukan kunjungan rasmi ke sesebuah negara, pada umumnya, mereka menggunakan bahasa kebangsaan mereka, meskipun telah menguasai bahasa Inggeris, kerana ketua negara merupakan simbol negara. Selain itu, dalam wawancara siaran kami dengan orang Malaysia selama ini, kami selalu mengalami kesulitan berkomunikasi kerana kebanyakan si lawan bicara orang Malaysia itu tetap mencampurkan bahasa Inggerisnya. Pada masa yang sama, untuk mengurus tugas rasmi kami, kadangkala kami menelefon Kedutaan Malaysia di Seoul. Dalam kesempatan itu pun, kami belum bertemu dengan diplomat Malaysia yang mampu menyelesaikan pembicaraannya dengan menggunakan bahasa Malaysia dari awal sehingga akhir.”
(Lihat, Kim Young Soo, “Warkah dari Seoul” (Agenda Bahasa), Dewan Bahasa, Jilid 4, Mac 2004, muka surat 21-23)
Tetapi pandangan orang luar yang ini terhadap bahasa Melayu dari segi kelemahannya tidak memberi kesan sedikit pun. Tabiat berbahasa orang Malaysia tidak berubah. Apalagi, apabila pada masa itu sudah terlaksana program perlekehan bahasa Melayu oleh kuasa paling berwibawa.
Memanglah pemerian Kim ini tidak pelik atau asing di kalangan kita. Dekad-dekad awal usiaku sudah demikian watak penghuni negara. Dan, ketika di hujung abad ke-20 begitu juga tingkah lakunya. Malah sekarang pun, bulan Disember tahun dua puluh dua puluh, ketika hampir tujuh dekad aku menggelumangi kewujudan isu yang sama, masih seperti sediakala statusnya oleh kelestarian perangai para warga.
Semua itu adalah fakta yang disepakati umum.
Tidak dapat dinafikan, beberapa kejayaan awal telah boleh dikira terkubur atau tiada ertinya lagi oleh penangan berbisa dari luar dan dalam tanpa henti-henti, yang benar-benar melumpuhkan potensi bahasa ini.
Baru-baru ini, aku melintasi kenyataan tentang “Dekad Bahasa Kebangsaan 2020-2030”, bahkan suatu ketika yang baru sahaja berlalu, ada gerakan seakan wawasan pemartabatan yang lebih gadang, TN50, yang bermakna penghujahan tentang kebarangkalian terjadinya semua yang positif di Malaysia, mencakupi juga bahasa Melayu, dalam tempoh 30 tahun, iaitu dalam perjalanan menuju tahun 2050.
Kembali ke luahan dari Seoul itu, ternyata dalam tempoh 16 tahun kebelakangan ini, yang benar-benar telah berubah ialah bahasa Malaysia kembali dikenali bahasa Melayu. Menjangkakan perubahan-perubahan lain sepositif itu menyusul bererti tidak lain selain daripada membelakangi hakikat kelok yang saban tahun kian mengukuhi. Iaitu, berterusan menjunam.
Selama ini sedikit faedah yang diraih melalui pengukuhan bahasa Melayu mengalir ke lapangan kesusasteraan. Tetapi, seperti bidang-bidang lainnya, bidang ini telah tidak juga mampu bertahan dalam kesegaran. Masa depannya akan tetap menjadi kerumunan segelintir pengamal tegar sahaja. Bila-bila masa kini bidang ini tidak dapat lagi dikedepankan sebagai contoh kejayaan sepanjang zaman.
Teringat aku mendengar pandangan seorang ahli panel suatu bicarawara tentang bahasa kebangsaan, baru-baru ini, yang aku sendiri tafsirkan maksudnya, bahawa bahasa tidak bermakna tidak lupus hanya kerana masih dituturkan. Apabila bahasa itu sudah terbantut perkembangannya untuk mendukung semua aspek kehidupan berglobalisasi oleh sebab-sebab yang mendasar maka ia sudah dikira bahasa yang lupus.
Ketika masih penjawat awam aku menyaksikan pelancaran wawasan-wawasan pembangunan negara. Dan, hampir-hampir mencapai lima dekad pelibatan dalam perkhidmatan awam sekarang, secara langsung dan tidak langsung, aku tetap sedar bahawa wawasan yang berakhir pada tahun ini, tahun dua kosong dua kosong, tidak pernah mengisytiharkan untuk mencapai matlamat-matlamat melalui pengukuhan dan pengantarabangsaan bahasa Melayu. Bacalah semula untuk meyakininya.
Aku menganggap akulah salah seorang daripada generasi terakhir yang berkesempatan mengalami tahap-tahap muncul dan lupusnya bahasa ini. Adakah pengalaman ini berharga? Jawapannya nyata, “Sungguh merobek hati lagi meluluhkan jiwa.”
No comments:
Post a Comment