Rapuh 8/2019: Perpustakaan Islam MAIK (Pengasuh)
Cadangan untuk bertolak ke Petaling Jaya pagi ini (19 Mac 2019) tidak menjadi. Timbul alternatif menggunakan masa yang terluang untuk meninjau Perpustakaan MAIK. Lebih kurang 10 pagi aku berkereta ke Kompleks Islam Lundang. Dalam 15 minit aku telah sampai dan naik tangga menuju Unit Penerbitan. Aku ingat beberapa tahun dahulu pernah berkunjung di situ tetapi tidak memberi perhatian koleksi yang terkumpul. Ketika itu, maksud khusus hendak mencari majalah Pengasuh bagi melengkapkan koleksi.
Kali ini aku diberitahu petugas di kaunter perpustakaan itu telahpun berpindah ke Kompleks Tahfiz di Panji. Lalu aku ke sana, empat ke lima kilometer ke arah Pengkalan Chepa. Kawasan parkir yang tersedia dalam pagar lengang. Kenderaan para penjawat di kompleks itu hampir semuanya ditempat yang beratap. Hanya empat lima buah sahaja yang terdedah di dataran terbuka, dan pastilah ‘kepanasan’ kalau terjemur lama. Aku meletakkan kereta lantas menuju ke blok yang tertulis “Perpustakaan Islam MAIK”.
Dari pintu ke ruang masuk Perpustakaan aku nampak seorang petugas di kaunter. Aku memberi salam. Dia menjawabnya. Aku kemudian diminta menulis nama penuh dalam buku pelawat yang disediakan. Ruang perpustakaan itu belum lagi tersusun rapi. Masih banyak buku tersusun di atas meja. Petugas itu memberitahu beliau sedang mengendalikan peletakan buku-buku itu ke rak-raknya.
Aku minta izin untuk meninjau sekali lalu semua rak yang telah sedia tersusun dengan buku-buku. Kebanyakan buku adalah dalam bahasa Melayu dan Arab, dan dalam bilangan yang secara perbandingan kurang sedikit, dalam bahasa Inggeris.
Banyak juga buku-buku berupa ‘kitab kuning’, di pelbagai rak yang ada.
Selepas selesai di ruang depan, aku masuk ke ruang yang satu lagi. Ruang yang letaknya lebih ke dalam ini berisikan buku-buku yang sudah tersusun pada rak-raknya. Bagaimanapun, sebahagian belum lagi penuh, terutama pada lapisan-lapisan bawah. Kalau semua buku yang tersusun di atas meja di ruang tadi di pindahkan ke lapisan-lapisan yang kosong itu, rak-rak berkenaan akan menjadi sesuku penuh. Maknanya, masih banyak lagi buku yang boleh ditampungnya. Di ruang ini aku berjumpa jilid-jilid majalah-majalah Dewan Masyarakat, Al Islam, Utusan Kiblat, , Dakwah, dan Mastika tahun-tahun 1960an-1970an. Maknanya, tidak lengkap.
Majalah Pengasuh yang meruntunku untuk datang ke perpustakaan itu tidak pula dijumpai. Aku bertanyakan petugas tadi, lalu dibawanya aku ke ruang lain yang berasingan, bersetentangan dengan ruang-ruang yang telah kujajapi tadi. Di sini pun ada ruang yang setara luasnya dengan ruang-ruang yang kutinjau tadi. Di kedua-dua ruang ini lebih banyak buku belum terpindah ke rak-rak yang ada. Hampir penuh ruang-ruang bahagian depannya dilonggoki buku-buku. Aku nampak seorang petugas duduk di mejanya di tengah-tengah longgokan berkenaan.
Di ruangan inilah berlonggokan jilid-jilid Pengasuh. Dari awal hingga ke mutakhir (?). Petugas, memberitahu pengrakan semua buku akan berterusan dilakukan. Tidak pula kutanyakan jangka selesainya.
Aku mengambil kerusi dan duduk di meja yang dilonggoki jilid-jilid Pengasuh. Ketika itu jam sudah 12.30 tengah hari. Di pintu masuk terpapar waktu urusan Perpustakaan. Ia ditutup pada pukul 5 petang. Maka perlu disusun strategi untuk meraeh faedah maksimum dalam masa yang terluang padaku.
Jilid-jilid Pengasuh itu akan kutinjau secara kronologi, dari jilid terawal dan yang menyusulinya. Sementara itu, aku tidak sangat mengutamakan jilid-jilid yang lebih kebelakangan kerana sebahagiannya sudah ada dalam koleksiku.
Aku membelek dan menandakan bahan-bahan yang diminati di atas sehelai kertas taip. Petugas memberitahu ada kemudahan fotostat dan semua yang diperlukan boleh difotostatkan.
Semua jilid awal yang sempat kutinjau bukanlah naskhah-naskhah asal. Ia adalah naskhah-naskhah fotostat. Sebahagian tercop “Arkib Negara Malaysia”, dan “Perpustakaan Akademi Islam Universiti Malaya”, yang bermakna MAIK sendiri pun mendapatnya daripada jabatan dan institusi berkenaan untuk membuat salinan-salinan sebagai bahan rujukan di perpustakaannya.
Beberapa naskhah, seperti Pengasuh, Tahun Pertama, Bilangan 1, 1918 bertarikh 11 Julai 1918=1 Syawal 1337 ditandakan semua. Ertinya perlu difotostat keseluruhannya. Ini tidaklah aneh. Naskhah ini bersejarah kerana ‘keawalan’nya itu. Aku juga memilih Pengasuh, Tahun Pertama, Bilangan 12, bertarikh 19 Disember 1918 kerana sebahagian besar kandungannya menarik. Bagi naskhah-naskhah yang lain, pemilihan atau tandaan bahan-bahan adalah berdasarkan kecenderungan minatku tertakluk had proses memfotostat yang sempat dilakukan oleh petugas sebelum perpustakaan ditutup.
Demikianlah. Apabila jam sudah pukul 4 petang aku berhenti menanda bahan-bahan yang dikehendaki. Masa sejam kukira mencukupi untuk petugas selesa memprosesnya. Benar-benar kuelakkan dia tertekan menyelesaikannya. Senarai tandaan bahan-bahan itu kuberikan kepada petugas. Bagi mempercepat proses, aku membantu; menyemak bilangan-bilangan majalah, muka-muka suratnya.
Ada sedikit masalah timbul. Pertama, memfoto naskhah-naskhah yang sedia terjilid bukan mudah. Jika tidak berhati-hati hanya sebahagian sahaja terfoto, sedangkan bahagian yang di tengah-tengah mungkin cacat bahkan gagal difoto sama sekali. Kedua, petugas itu sendiri bukan pemfoto ‘profesional’. Dia perlu berhati-hati. Sebenarnya banyak juga halaman-halaman yang perlu difoto berkali-kali. Saiz majalah itu menimbulkan masalah yang bersifat teknikal.
Semua sekali 82 salinan menjadi koleksi terbaruku. Caj untuk sehelai ialah 10 sen. Namun, nilai RM8.20 adalah tidak menjadi persoalan langsung. Tetapi khidmat petugas itu, yang kunilai, penuh berdedikasi dan mesra pelanggan menimbulkan tanggapan baikku terhadapnya. Dari perbualan kami, diketahui petugas itu masih bertaraf ‘sambilan’. Beliau adalah lulusan Syariah dan Pengurusan daripada USIM!
Apabila semuanya selesai, laungan azan telah 20 minit berlalu. Ketika aku ke masjid Maahad Tahfiz itu untuk bersolat Asar, para pelajarnya sedang membuat lingkungan mengelilingi guru-guru. Mereka baharu hendak memulakan penghafalan kitab al-Quran. Kuperhatikan imam solat Zohor tadi pun adalah salah seorang daripada guru-guru yang dilingkungi para pelajar. Dia seorang yang cacat penglihatan. Berhampiran beliau ada sebatang rotan!
No comments:
Post a Comment