Beraya dengan sasterawan (1): Meuaruar karya
Ketika menerima jemputan, aku sebenarnya agak berbelah-bahagi untuk hadir Majlis Sambutan Hari Raya Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1 Julai 2019. Namun pada pagi-pagi hari itu, kecenderunganku ke arah menghadirinya. Oleh kerana dinyatakan dalam kad jemputan, supaya berpakaian kebangsaan maka aku menggosoknya di awal pagi. Ini sebagai persediaan sekiranya aku memutuskan untuk hadir. Pakaian itu boleh langsung dipakai tanpa sebarang kelengahan lagi.
Aku betolak dengan Kelisa pada jam 11.30 pagi. Lebuhraya Persekutuan diharungi lancar. Aku melalui Jalan Kampung Atap dan terkejut mendapati bukit yang kehijauan selama ini di sebelah kanan jalan telah mengalami kerja-kerja tanah. Kawasan ini sudah tidak hijau lagi. Ia berpagar kerana tentulah sedang dibangunkan dengan projek bota.
Kelisa diletakkan di tempat pelawat di aras B3, Bangunan Menara DBP. Caj parkir masih RM3. Dari situ aku menaiki lif ke tingkat G dan kemudian menapak ke Balai Budaya Tun Syed Nasir, tempat majlis diadakan. Sudah ramai staf DBP, hampir semuanya perempuan, menuju ke arah yang sama ketika itu.
Di kalangan penyambut tetamu masih ada seorang dua yang mengenaliku. Mereka mengalu-alukan sambil mempamerkan senyum lebar. Ketua Pengarah dan pegawai-pegawai lain yang berdiri di pintu masuk Balai Budaya pun menghulurkan tangan bersalam denganku. Seorang petugas diminta mengiringiku ke dalam balai.
Sebaik memasuki balai, aku bersalam dengan Pengerusi Lembaga Pengelola dan juga SN Dato' Baha Zain yang duduk semeja dengan beliau.
Meja yang ditunjukkan untukku duduk sudah ada beberapa tetamu khas yang lain termasuk SN Dato' Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Seketika kemudian kulihat SN Datuk A. Samad Said dipintu masuk utama. Beliau kemudian diiringi ke mejaku, mengambil kerusi di sebelah kananku. Dato' Firdaus Abdullah dan Dato' Rahman Shaari menyertai kami seketika kemudian. Sebentar kemudian doa dibacakan!
Makanan dan juadah raya sudahpun tersedia di atas meja. Ada sate, lemang, rendang, daging kambing bakar, nasi himpit dan beberapa lagi. Ada minuman air bandung, air mineral juga teh tarik. Meja itu padat dengan bekas hidangan makanan/juadah, dan pinggan, mangkuk, piring, cawan dan garfu. Kami beramai-ramai menjamu selera. Beralih dari satu jenis ke jenis-jenis makanan, dari satu juadah ke juadah-juadah yang lain.
Pak Samad kelihatan sihat. Menjawab pertanyaanku, beliau memberitahu kini telah berusia 88 tahun. Dalam usia itu, kuperhatikan makanan terhidang di meja boleh dinikmati sempurna. Beliau tidak berpantang makan. Sambil itu, aku ucapkan tahniah kepada beliau sempena pemberian elaun SN RM5000 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Persembahan muzik dan nyanyian yang mengaum di ruangan menjadikan kami perlu bercakap dengan sedikit kuat dan saling mendekatkan telinga. Yang nyata Pak Samad tetap mampu berbual aktif.
Di luar jangkaan, Pak Samad bertanyaku, umur lazim seseorang mulai menjadi pelupa. Aku tidak tahu jawapannya, tetapi memberi telahan, apabila memasuki usia 80-an. Beliau pun tidak memberikan pendapatnya. Hanya dikatakan, kalau seseorang membaca, menulis dia tidak mudah diserang gejala itu. Minda yang sentiasa berfikir tidak mudah menjadi lupa. Aku tidak menafikan. Pengalaman membaca dan menulis selepas lebih sedekad bersara membuktikan kita akan sentiasa awas dalam setiap tindak-tanduk kita. Pak Samad memberitahu dia menyimpan diari melangkaui 20 tahun. Kalau menulis, diari itu dirujuknya untuk menjamin ketepatan faktanya.
Pak Samad bertanyaku sama ada ada menulis buku atau seumpamanya. Aku memberitahu telah menghasilkan empat buah buku, tiga daripadanya berbentuk kumpulan sajak. Hanya kuluahkan kekesalan kerana karya-karyaku itu tidak pun disedari wujudnya. Penerbitnya, tidak pun meuaruarkan. Sedangkan, aku menghujah, bahawa semua puisi itu bertemakan perkhidmatan awam – tentang integriti, kecemerlangan berkhidmat, tatatertib, motivasi dan lain-lain. Aku percaya, kataku kepada Pak Samad, tiada orang lain pernah menulis puisi sebanyak itu memfokus tema yang sama. Kalau ada puisi-puisi sedemikian dicipta, hanyalah satu dua buah sahaja.
Aku tidaklah menjolok pandangan beliau tentang kaedah mengatasi nasib yang kualami itu. Namun, dia spontan berpendapat seseorang tidak perlu malu memperkenalkan karya-karya sendiri. Jangan anggap usaha demikian bermaksud menonjolkan diri. Tindakan itu pada hakikatnya bertujuan memberitahu khalayak bahawa karya-karya kita itu hadir dipersada genrenya.
Ketika kuberitahu Pak Samad, buku-buku berkenaan diterbitkan oleh INTAN, beliau spontan melantun usul, agar pegawai-pegawai kerajaan yang datang berkursus di INTAN didedahkan dengan penulisan seumpama itu. Karya-karya atau puisi-puisi yang bertema sepadan dengan perkhidmatan awam itu boleh dibicarakan di kalangan para peserta atau pelatih-pelatihnya. Barangkali, tidak sampai demikian radikal seharusnya dilakukan, terlintas di mindaku. Sedikit penyesuaian terhadap syor ini boleh jadi munasabah diterokai. Namun, aku berpendapat kalau penerbit tidak menjalankan peranan membina melakukan promosi, aku, penulisnya sendiri, wajar memikirkan pandangan Pak Samad itu – mengambil inisiatif memperkenalkan karya-karya itu secara yang wajar.
Pak Samad ternyata selebriti berskala mega. Seringkali ada orang lain datang ke meja kami itu dan meminta izin bergambar dengan beliau. Aku yang duduk disisinya, teruja kerana menumpang kepopularan beliau sehingga menjadi sebahagian daripada ‘personaliti’ tidak dikenali dalam gambar-gambar berkenaan.
Selesai menjamu selera Pak Samad memohon untuk beredar. Kami berjabat tangan. Aku pun mengambil kesempatan itu untuk sama-sama meninggalkan majlis. Aku bersalam dengan tokoh-tokoh lain di meja itu dan beberapa meja yang lain berhampiran.
Selepas meninggalkan Balai Budaya aku mengambil kesempatan meninjau-ninjau Kedai Buku Dewan Bahasa dan Pustaka di Bangunan Menaranya. Lebih kurang pukul 2 petang aku memandu Kelisa balik ke Kampung Tunku melalui Lebuhraya Persekutuan. Perjalanannya lancar. Dalam kira-kira setengah jam aku sudah tiba di rumahku.
No comments:
Post a Comment