Rapuh 5/2019: Datuk Onn dengan tulisan Jawi
Seorang penulis yang menggelarkan diri “Rebung” menulis dalam “Pengasuh”, 27 Februari 1936 mempertahankan tulisan Jawi dalam surat-surat khabar dan majalah-majalah berbahasa Melayu. Tabib Pak Belalang, menambah, dalam Pengasuh, 5 Mac, [1936] “menang juga pihak yang sukakan huruf Arab.”
Onn bin Jaafar, Pengarang Lembaga Malaya, mereaksi:
“Aku hendak mencari satu ikhtiar yang menjadi berguna kepada bangsa Melayu yang boleh mendatangkan faedah yang besar yang meninggikan mutu dan menyenangkan lain-lain bangsa yang hendak menggunakan bahasa Melayu. Jika dibiarkan bahasa Melayu dengan kaedah bagaimana yang ada sekarang ini tentulah tertinggal seperti yang ada ini tidak lebih dan tidak kurang. Juga tidak lebih dan tidak kurang ini maknanya tidak maju sebab tertinggal macam tunggul.
Hairan sekali aku memikirkan hal orang-orang yang menjadi pelayan Pengasuh dan boy itu tidak berkehendak menolong membantu supaya dapat beredar daripada gelap mencari terang dunia. Alam tempat yang kita duduk berhimpun ini ada beredar setiap masa.
Wahai Pengasuh mengapa engkau tiada berhajat mengedarkan aku kepada majlis yang lebih besar dan yang lebih ramai. Apakah tujuan maksud engkau hendak sentiasa berkekalan bagaimana kaedah yang ada sekarang ini? Apakah keuntungan apa kelebihan yang besar yang boleh terbit dengan hal keadaan yang ada ini sahaja dengan tiada berubah-ubah?
Aku menumpang bertanya jika orang-orang Melayu memakai pakaian cara Barat adakah disifatkan dia menjadi hina? Adakah menjadi hina dan bukan orang Melayu sebab memakai pakaian Barat? Jika tidak begitu sekiranya pakaian boleh bertukar oleh sebab banyak juga Raja-raja Melayu itu memakai pakaian Barat. Mengapa huruf Barat tiada boleh dipakai supaya boleh memajukan bahasa Melayu dan menjadi berguna kepada orang-orang Melayu dan lain-lain bangsa-bangsa yang menggunakan bahasa Melayu jika sesuatu benda itu laku dalam negeri kita sahaja digunakan oleh bangsa kita sahaja menjadi barang itu tiada laku banyak tidak boleh dapat untung besar. Jika boleh laku kepada segala bangsa itu baharulah boleh dikatakan untung besar.
Pada fikiran aku dan banyak juga orang-orang pendita yang masyhur telah memberi fikirannya mengatakan jika bahasa Melayu itu ditulis dengan huruf Latin maka bahasa Melayu akan tumbuh lebih-lebih subur lagi dan tentu akan digunakan lebih banyak lagi oleh orang-orang yang diam di dalam negeri-negeri dalam Semenanjung ini.
Bahasa Melayu itu asalnya ditulis dengan Sanskrit kemudian apakala raja-raja Melayu sudah masuk Islam di Melaka dan di Sumatera maka huruf-huruf Sanskrit itu tidak dipakai lagi kerana orang-orang Melayu memakai huruf-huruf Arab ditambah dengan huruf-huruf memakai titik tiga supaya mencukupkan bunyi-bunyi perkataan bahasa Melayu ialah seperti yang telah diperbuat oleh bangsa Parsi dan Hindi apakala mereka itu masuk Islam.
Akan tetapi hai sekalian orang Melayu jangan engkau semua bersalah faham. Bahasa itu satu fasal. Huruf satu fasal tentang agama lain fasal tiada sama. Tiap-tiap satu itu berlain sekali. Bahasa Melayu memakai huruf Latin tidak boleh rosak kerana boleh ditambah pada huruf-huruf Latin dengan berbagai-bagai kaedah supaya dapat membunyikan perkataan Melayu dengan betul yang demikian itu tidak dilarang oleh agama kerana tiada ditentukan dalam agama Islam apa huruf yang mesti dipakai.
Pada zaman dahulu Al-Quran itu asalnya ditulis dengan huruf Ibrani dan huruf Suryani kemudian beberapa tahun di belakang baharu orang Arab di negeri Kufah membuat huruf-huruf Arab seperti huruf yang ada sekarang ini. Huruf Kufah yang asal itu tiada memakai titik dan banyak huruf-huruf yang serupa menjadi sukar benar membaca tulisan yang semacam itu.
Kelebihan huruf-huruf Arab yang baharu itu molek rupanya akan tetapi tidak boleh dapat dipelajari dengan mudah oleh sebab huruf-huruf itu bertukar rupanya apakala digunakan di hadapan perkataan di tengah perkataan atau di hujung perkataan . Inilah yang menjadikan susah dan bingong orang-orang bangsa lain yang hendak belajar membaca atau menulis huruf Arab.”
(Lihat, “Perleteran Pak Pandai”, Lembaga Malaya, keluaran yang keenam puluh enam, 9 Mac 1936=15 Zulhijah 1354, muka 3-4. Pandangan ini diperkuatkan lagi dalam “Perleteran Pak Pandai”, Lembaga Malaya, keluaran yang keenam puluh tujuh , 16 Mac 1936=22 Zulhijah 1354, muka 3).
(Sumber gambar: New Straits Times, February 22, 2006)
No comments:
Post a Comment