Tuesday, 29 December 2020

 Rapuh 4/2019: O.T. Dussek (2) – Perwira Bahasa?

Sebenarnya, berdasarkan terjemahan di atas (Rapuh 3/2019: O.T. Dussek (1), “Pak Pandai” [Onn bin Jaafar], Lembaga Malaya, membayangkan kurang senang/setuju dengan ‘pandangan’ O.T. Dussek menganggap mereka yang belajar di SITC itu sahaja yang terpelajar dalam bahasa Melayu.
Ekorannya, O.T. Dussek menjawab bahawa, ucapan asal beliau adalah dalam bahasa Melayu dan tidaklah bertepatan seperti ringkasannya yang tersiar dalam akhbar Inggeris tersebut yang menjadi sumber terjemahannya Lembaga Malaya.
Berdasarkan penjelasan itu, Lembaga Malaya menyiarkan semula pati-pati ucapan O.T. Dussek, termasuk yang berkaitan dengan pandangan beliau terhadap bahasa Melayu. Saya petik:
“Penutup cakap saya suka mengingatkan kamu berkenaan dengan agama kamu, adat kamu dan bahasa kamu. Selagi kamu kukuh berpegang kepada tiga perkara ini serta kekal taat kepada sultan-sultan kamu, selama itulah kamu akan kukuh di dalam negeri kamu.
Saya fikir kamu tidak mengerti cukup akan kekuatan yang kamu peroleh sebagai suatu kaum daripada tiga perkara ini dan barangkali kamu tidak nampak akan pengaruh bahasa kamu itu dalam hal menyatukan kaum kamu.
Bahasa kamu – bahasa Melayu – itu tidak kurang daripada tujuh puluh juta orang yang menggunakannya merata-rata Alam Melayu dan adalah ia itu suatu kumpulan bahasa yang besar di dalam dunia ini. Jangan kamu lupa itu. Kamu mesti cuba kembang dan kayakan bahasa kamu. Kamu mesti cuba meninggikan mutu bahasa kamu. Jika mutu dan darjah bahasa kamu naik demikianlah mutu bangsa kamu pun akan naik juga.
Jika bahasa Melayu itu tidak mundur dan kurang harganya daripada sekarang maka bolehlah dikatakan kita akan melangkah masuk kepada beberapa perubahan baharu. Kita telah saksikan di kolej ini bahasa Melayu itu bukanlah suatu bahasa yang keras kejang tiadalah boleh dibentur atau dikembangkan. Di dalam Pejabat Karang Mengarang kita dapati Ilmu Jeometri, Ilmu Tanam-tanaman, Ilmu Kesihatan, Undang-undang, Permainan Wayang dan lain-lain boleh diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan memberi faham orang. Dan lagi di dalam pelajaran-pelajaran di darjah kita boleh berpuas hati yang pelajaran Hisab, Tanam-tanaman, Kesihatan dan lain-lain itu bukan lagi semata-mata melancar atau menghafaz perkara yang senang-senang sahaja tetapi ialah memahamkan perkara yang susah-susah sedikit iaitu yang memaksa tiap-tiap seorang penuntut itu berfikir dan memerah otaknya.
Demikian juga di dalam Bahasa Melayu dan Tawarikh: saya lihat pelajaran-pelajaran itu bukan sahaja telah bertambah-tambah tingginya tetapi ia telah membangkitkan juga perasaan kebangsaan di dalam hati murid-murid di sini. Kamu sedar sekarang yang kamu termasuk di dalam perhimpunan suatu bangsa yang ramai dan bahasa kamu pun ialah suatu bahasa yang besar digunakan oleh berjuta-juta orang di dalam dunia ini. Lagi pula kamu ada mempunyai tawarikh, adat resam dan ilmu bahasa kamu sendiri. Buku-buku dan surat-surat khabar Melayu pun telah bertambah banyaknya sekalian ini menunjukkan yang bahasa Melayu itu ada hidup dengan segarnya serta lebih kuat lagi semangatnya daripada dua puluh tahun dahulu.
Apabila kita tilik kepada alamat-alamat ini tidakkah boleh kita katakan bangsa kita ini dalam medan bahasanya telah sampai kepada suatu zaman cemerlang yang akan tertulis di muka tawarikhnya? Dan tidakkah boleh kita berharap-harap akan dapat melihat bahasa Melayu itu terhitung menjadi suatu bahasa terkenal dalam dunia seperti bahasa Cina, Jepun dan Siam.”
(Lihat, Lembaga Malaya, 2 Disember 1935=6 Ramadan 1354, muka 10, 23)
Gambar O.T. Dussek bersumberkan buku, Awang Had Salleh, 1974. “Pelajaran dan Perguruan Melayu di Malaya Zaman British”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama.
Image may contain: 1 person
Zulkifli Salleh, Awang Sariyan Kembara Bahasa and 21 others
7 comments
4 shares
Like
Comment
Share

Comments

  • Syabas!
    Dato' Ahmad Said (langka sudah pemimpin @ pejuang Melayu, orientalis Dan Bukan Melayu persis O. T Dussek)
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Terbaik. Mohon izin berkongsi, Dato'.
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Sesiapa yg pernah buat kajian sejarah Sitc n peraban O.T Dussik dlm pendidikan n latihan guru2 Melayu pada 1946-55 elok terbitkan kajiannya itu,
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Saya memetik apa yang ditulis seorang pengkaji tentang Dussek:
    “Inggeris dengan dasarnya yang bijak juga menggunakan lepasan MPSI sebagai tali penghubung antara masyarakat kampung dan orang Inggeris. Lepasan-lepasannya dilatih dalam berbagai cara yang bertujuan untuk membawa “perubahan” kepada masyarakat kampung. Perubahan ini adalah apa yang difikirkan sesuai oleh Inggeris. Kalaulah Winstedt membawa “zaman baru” kepada pelajaran Melayu O.T Dusseklah yang menjadi tukang yang menyempurnakan cita-cita Inggeris. MPSI telah dijadikan sebuah institusi yang mempunyai tugas yang khas, iaitu sebagai spear-head (perintis) dalam melaksanakan program-program British terhadap rakyat Melayu. Pada masa yang sama MPSI dikendalikan seperti institusi Inggeris yang lain. Sidney yang melawat MPSI dalam tahun 1926, menyatakan “kalau tidaklah kerana pakaian yang cantik dan picturesque sangatlah senang bagi kita (orang Inggeris) berasa kita itu berada di salah sebuah Kolej di England”. O.T. Dussek telah dikatakan pro-Melayu oleh setengah golongan dan dia sendiri pula mengaku bahawa dialah orang yang pertama sekali mengemukakan idea universiti Melayu. Dalam satu wawancara dengan Roff dalam tahun 1960 (sebelum beliau meninggal dunia), Dussek menyatakan MPSI ialah “untuk memberi pelajaran kepada orang-orang kampung dengan cara kampung yang sesuai dan juga bagi menyediakan mereka untuk terus hidup dengan cara yang berguna dan gembira dalam masyarakat kampung”. Kalaulah dalam tahun 1960 – iaitu beberapa tahun selepas merdeka Dussek dapat berkata demikian bolehlah kita bayangkan bagaimana intensifnya dia menjalankan apa yang dilafazkannya itu pada masa dia masih muda dan menjadi Pengetua MPSI dahulu.”
    (Lihat, Ibrahim Saad, 1981. “Pendidikan dan Politik Di Malaysia”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, (cetakan pertama edisi kedua), muka surat 32-33. Ibrahim merujuk buku-buku William Roff (1976), R.J.H. Sidney (1927) dan Abdullah Sanusi Ahmad (1966).
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Tersiar dalam “Lembaga Malaya”, keluaran yang ketiga puluh lapan, 26 Ogos 1935=27 Jamadilawal 1354, surat O.T. Dussek, di muka surat 22. Sebenarnya, ramai guru yang hadir majlis di SITC pada 11 dan 12 Ogos 1935 itu menulis surat kepada O.T. Dussek dan guru-guru di Kolej dan surat yang tersiar ini adalah sebagai balasan O.T. Dussek terhadap semuanya itu. Antara lain O.T. Dussek menulis, “Tiada syak bahawa penarik yang besar sekali kepada kemajuan di kampung-kampung Melayu ialah sekolah-sekolah Melayu dan guru-gurunya dan Kolej ini sebab itu tentulah amat berfaedah dikuatkan dan ditambah-tambah teguhkan perhubungan dan ikatan di antara guru-guru dengan Kolej ini yang boleh disifatkan ialah seolah-olah ibu yang kedua kepada mereka itu sekalian. Dengan jalan berjumpa dan berhimpun seperti yang baharu lepas itu mudah-mudahan dapat dipulihkan perasaan yang telah lalu dan mereka sekalian pulang dengan perasaan dan hemah dan cita-cita yang baharu bagi mendidik anak-anak bangsanya di kampung-kampung itu.”
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Ucapan O.T. Dussek dalam The Straits Times, 23 November 1935 itu ada juga disentuh dalam Kamaruzzaman Abd. Kadir, 1987. Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, muka surat 8, nota kaki 20.
    • Like
    • Reply
    • 51 w
  • yang PELIK nya kenapa PENJAJAH nak orang yang DIJAJAH berilmu dan menjadi bijak pandai. kenapa PENJAJAH nak sangat bagi PENDIDIKAN pada yang DIJAJAH...
    • Like
    • Reply
    • 51 w

No comments:

Post a Comment