Wednesday, 30 December 2020

 Kembara Borneo 1/2019: Ruang Menunggu Keemasan

Program ke Negeri Sabah sudah ditetapkan jauh lebih awal. Sampai tarikhnya, 5 Ogos 2019, ditunaikanlah. Selepas sarapan, lebih kurang 8.00 pagi aku memanggil kereta Grab. Dalam 10 minit tibalah. Ya, sebuah teksi biasa berwarna putih merah. Dalam hatiku, “Eh, teksi pun sudah menjadi kereta Grab”. Dan kereta itulah membawaku ke Stesen LRT Taman Paramount berdekatan. Aku tiba hanya dalam masa tiga empat minit. Aku tidak perlu membeli tiket ke Sentral Kuala Lumpur kerana sedia mempunyai kad warga emas yang masih sah.
LRT yang tiba ramai dengan penumpang. Memang tidak dapat dielakkan kerana pagi-pagi begini semua mereka hendak ke tempat kerja masing-masing. Aku berdiri berpegang pada besi di tengah-tengah gerabak. Bagasiku berhampiran. Kuhimpitkannya dengan betisku ke tiang besi yang sama.
Aku turun di Stesen Sentral Kuala Lumpur dua puluh minit kemudian. Sedikit malang di situ kerana terpaksa membawa bagasiku menuruni tangga. Eskalator yang ada tidak berfungsi. Ia bertaraf ‘disenggara’ walaupun ketika itu tiada seorang pun pekerja berada di situ. Mungkin masih awal!
Aku keluar stesen mengheret bagasi menuju ke kaunter tiket Ekspres ERL, sejarak 70-80 meter dari situ. Akhbar The Sun yang diletakkan di situ kuambil senaskhah. Ketika tiket berharga RM55 itu diterima di kaunter jam sudah pukul 8.45 pagi. Aku lalu turun ke platform di tingkat bawah. Jam 9 pagi ERL tiba. Aku dan para penumpang lain menaikinya. Kami tidaklah ramai. Pengumuman dalam gerabak memberitahu perjalanan ke KLIA akan mengambil masa 28 minit. Selama perjalanan kubeleki The Sun sampai termaklum isu-isu terkini. Penumpang-penumpang dengan urusan masing-masing.
Apabila tiba di Stesen KLIA, aku keluar menuju ke tingkat pelepasan dengan bersantai, menggunakan eskalator, bukan lif. Dari setingkat ke setingkat sampai ke tingkat 5. Masa masih lumayan memihakiku. Aku tidak perlu tergesa-gesa. Penerbangan ke Kota Kinabalu terjadual pada pukul 1300 tengah hari. Pun aku ke kaunter cekin dan tidak bermasalah mendaftar masuk seawal itu. Pada pas menaiki pesawat tercatat, “Please proceed to our Golden Lounge”. Tentulah istimewa juga kerana tidak semua pas bording ada catatan berkenaan.
Sebaik selesai meronda seketika, melihat-lihat keadaan penumpang beratur di kaunter-kaunter penerbangan masing-masing, aku menuju ke pintu masuk penerbangan dalam negeri. Dengan pas bording dan MyKad aku melepasi petugas keselamatan, membawa bagasi ke mesin imbas. Semua arahan keselamatan dipatuhi termasuk menanggalkan tali pinggang. Nasib baik tidak pula perlu menanggalkan sepatu! Semuanya teratur dan aku menuruni eskalator ke tingkat pelepasan penerbangan.
Aku singgah meninjau-ninjau kedai buku berhampiran kaki eskalator tanpa berhajat untuk membeli. Ternampak buku-buku LAT dan juga E. Yu yang menghasilkan buku-buku kartun tentang Tun Mahathir, dalam dua versi, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Hampir semua buku itu memang pun ada dalam koleksi peribadi.
Di sepanjang jalan ke Golden Lounge, dekorasi dan peragaan barangan di petak-petak niaga sudah jelas berubah. Kelihatan lebih mewah lagi eksklusif. Hanya, tidak pula kelihatan para pelanggan singgah menanyakan atau meninjau-ninjau dagangan! Pembantu niaga setia menunggu, sedia melemparkan senyum dengan mata mempelawa. Aku tidak pun membuang masa di situ bahkan terus melangkah santai ke depan.
Ketika memasuki Golden Lounge aku menyerahkan pas bording. Petugas di kaunter mengimbas pas itu dan kemudian menyerahkan semula kepadaku. Tidak ramai pun penumpang lain ketika itu. Masih banyak kerusi yang kosong. Mereka yang ada nampaknya memilih tempat duduk masing-masing. Walaupun tempat itu boleh menampung penumpang-penumpang lain, mereka yang datang kemudian masih memilih tempat yang eksklusif, berasingan atau berjauhan di sudut atau ruang yang lain. Setiap mereka ingin bersendirian. Tidak mahu diganggu.
Sambil menarik bagasi aku mengambil tempat duduk yang paling ke dalam yang menghadap terminal pelepasan antarabangsa yang kelihatan terasing jauh di depan. Bagasi kuletakkan di situ. Henfon kucajkan pada outlet yang tersedia. Hanya seorang sahaja penumpang lain di situ. Dia mengambil tempat duduk di tepi dinding cermin membelakangi pintu masuk. Ruang itu boleh menampung ramai lagi, tetapi kami berdua sahaja yang ada, berjauhan antara satu sama lain.
Walaupun pun tidaklah lapar, aku ke tempat peragaan makanan dan minuman di tengah-tengah ruangan lounge itu. Nafsu makan kugalakkan. Padahalnya aku telah bersarapan di rumah tadi. Dengan cekatan aku menyiapkan sepiring nasi lemak dan segelas coffeechino lalu membawanya ke tempat duduk pilihan tadi. Tidak pula aku perlu gelojoh menikmati ‘sarapan kedua’ itu. Sambil makan, kupandang pesawat-pesawat yang mendarat, berlepas atau parkir. Dari situ aku boleh juga melihat para pekerja menyediakan keperluan pesawat-pesawat sebelum berlepas – bahan api, katering dan lain-lain.
Sambil itu, apabila selesai bersarapan, aku membaca akhbar-akhbar yang ada, satu demi satu. Akhbar-akhbar yang tersedia ialah The Star, New Strait Times, BH, Utusan Malaysia, The Sun, dan akhbar-akhbar berbahasa Cina. Yang agak menarik ialah rencana dalam Utusan Malaysia, ditulis oleh Abang Sallehuddin Abang Shokeran, “DBP: Api dari suatu zaman”, muka 18-19. Ia adalah reaksi Ketua Pengarah itu terhadap sebuah tulisan oleh seorang profesor bernama Mohd. Tajuddin Rasdi menyentuh kedudukan institusi kebahasaan itu. Aku menyemat ke ingatan hasrat Abang Sallehuddin “untuk memperkukuh kecemerlangan sedia ada…. beriltizam untuk melakar wawasan baharu yang lebih segar dan dinamik….meskipun … terpaksa mengharungi persekitaran luaran yang sentiasa berubah.”
Masa masih banyak terluang. Semua tajuk utama akhbar-akhbar telah dibaca. Dalam ruang yang lapang selesa diiringi kesenyapan yang tidak menekan itu aku masih boleh pula menumpukan kepada media sosial di tangan. Bila-bila masa aku boleh bangun mengambil kuih-muih dan minuman jus pula. Hak itu termasuk dalam harga tiket yang MAS tetapkan dan telah dibayar penuh. Aku tidak perlu membayar caj tambahan dari poket sendiri. Aku boleh melayan selera sepuas-puasnya. Sejak lama telah kualami layanan sebegini. Sehingga sekarang, walaupun dengan pengurangan kekerapannya sahaja. Pun ia wajar disyukuri. Ya, hakikatnya, rezeki sentiasa tidak berkeputusan walaupun aku dalam alam persaraan!
M Jusoff Taib, Rismayanti Idris and 17 others
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment