Bahasa di angkasa
Malam tadi aku memerhati forum bahasa di TV Alhijrah, “60 Minit Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka”. Sambil itu aku melihatnya juga melalui laman fb TV Alhijrah. Di fb, program sejam itu, nampaknya hanya mampu menarik 38 penonton seantero dunia Melayu. (Angka ini bertambah menjadi 121 apabila aku lawati semula lamannya pagi ini). Seramai 4.8K pula yang menonton siaran langsung melalui kaca TV masing-masing di rumah.
Sebagai satu program kebahasaan yang agam penampilan dua personaliti yang terlibat dalam pengendalian kebahasaan Melayu selaku ahli panel tidak seharusnya mengecewakan. Siapakah yang lebih berwibawa membicarakan kedudukan bahasa Melayu mutakhir selain daripada Ketua Pengarah DBP sendiri? Bukankah jawatan ini pernah disandang oleh arwah-arwah Tuan Syed Nasir bin Ismail dan Dato' Hassan Ahmad sekadar menyebut dua tokoh yang paling ternama belum ada tolok bandingannya.
Seorang lagi panelis, berupa sosok pendukung dan pejuang bahasa kebangsaan semasa nombor satu negara, Profesor Dato' Dr. Teo Kok Seong, sarjana malar tegar yang tidak pernah berundur dan bisu daripada menyuarakan pandangan bijaksana. [Sayang sekali segelintir yang membaca dan sejiwa dengan beliau].
Aku tidak sangat hendak mengulas apa yang diperkatakan mereka. Kerana semuanya telah sentiasa didengar dan dibaca melalui ribuan judul rencana dalam majalah-majalah keluaran DBP, jurnal-jurnal atau akhbar-akhbar dalam koleksi peribadi yang mencakupi puluhan tahun tempohnya.
Pun, sekadar contoh, hujahan Profesor Teo, mengenai keperluan mencipta legasi baru menggantikan legasi bahari tentang keupayaan bahasa Melayu; kecenderungan atau tabiat tidak cakna mengekalkan jati diri bahasa dengan berleluasa menerima, mencipta dan menggunakan perkataan-perkataan bersumberkan bahasa-bahasa lain sedangkan ia sedia ada bahasa Melayu tulennya; amalan kebahasaan kebangsaan di kalangan penutur jauh daripada misali; ketidakfasehan atau ketidaktahuan berbahasa Melayu oleh warganegara dan banyak lagi. Tertangkap pula bidasan beliau tentang kekecewaan orang asing untuk mempraktikkan bahasa Melayu di Malaysia, sekaligus menuntut retorik penduniaan bahasa Melayu dinilai semula tangga keutamaannya, sementara waktu. Kufahami beliau mengusulkan tumpuan sewajarnya ke arah mendepani serbaneka realiti kelangsungan bahasa di pekarangan negara.
Sebagai penonton aku sedih sungguh kerana melalui laman fb TV Alhijrah itu bicara ini tidak di ‘like’ orang. (Bukankah kita diberitahu seramai 300 juta lebih penutur bahasa kebangsaan ini di Alam Melayu?) Aku perhatikan 17 “comments” tercatat, termasuk dua daripadaku sendiri. Ulasan-ulasanku itu sebenarnya sekadar menjolok, kerana ketika dihantar panelis belum/tidak menyentuhnya, oleh keterbatasan masa perbincangan.
Untuk kenangan, aku salinkan ulasan-ulasan tersebut: “Isu seperti, 'korang', 'dia orang'. Kenapa tidak diajar penutur asli menggunakan bahasa baku?”; dan “ Selamat malam, adakah pelan tindakan untuk gunakan istilah-istilah yang telah banyak diciptakan?”
Sebenarnya, kalau program itu membuka peluang untuk penonton bertanya melalui telepon ada beberapa isu lain mahu kuketengahkan. Terutama, apakah tindakan seharusnya ke atas penjenayah bahasa? Tentu, Dr. Teo boleh mentafsirkan perkataan “penjenayah” itu. Tak mengapalah kalau pandangan bernas beliau yang berbuku-buku selama ini tidak dihiraukan, asalkan tafsiran beliau terhadap perkataan yang kukemukakan ini boleh menjadi berita utama biar sehari pun.
Sekarang kita berada dalam “Dekad Bahasa Kebangsaan”. Semoga apabila habis sedasawarsa (istilah yang sudah lama diperkenalkan) kita tidak lagi menjadi penonton kerana semuanya telah puas hati dengan kedudukan semasanya. Harap-harap tidak berbelasungkawa.
Mungkin ada yang terlepas pandang hebahan acara. Silalah lawati laman TV berkenaan agar terjana semangat lebih berjati diri.
(Nota: Gambar hiasan halaman sebahagian daripada kulit depan Pelita Bahasa, Jilid 28, Jun 2016).
No comments:
Post a Comment