I.XII.MCMLI – I.XII.MMXX
Bukanlah kelazimanku menyambut ulang tahun hari kelahiran dengan pulut kuning dan geger-riuh. Namun, setiap kali menjelang ia diingati sendiri. Benar-benar sendiri. Cara kampung seperti ghalibnya di kalangan rakyat jelata.
Begitu pun, sekarang apabila anak-anak sudah dewasa dan berkeluarga, mereka tetap cakna dan mengucapkan selamat sempena kedatangannya.
Putera sulung menghantar WhatsApp, pukul 05.14 pagi: “Assalamualaikum, ayah. Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran, moga-moga ayah dipanjangkan umur, dipermurah rezeki, dan dipermudah segala urusan hendaknya oleh Allah Subhanahu wataala, insya-Allah. Wassalam. MiE, Ain, dan Aqief.”
Hanya begitulah selama ini. Itulah tradisinya, kalau hendak dikatakan tradisi. Tiada selainnya.
Tetapi, ada satu kisah manis ingin diceritera. Ketika masih berkerjaya, jabatanku mengadakan Malam JPA, acara tahunan paling gah, gilang-gemilang. Ketika itu aku menjadi Presiden Kelab JPA, yang menganjurkan majlis. Malam itu jatuh pada 1 Disember. Tetamu kehormat utama ialah YAB Perdana Menteri.
Selepas acara makan malam banyaklah persembahan untuk hiburan hadirin. Yang sangat mengejutkan ialah pemotongan kek hari jadi. Ia dimaksudkan khusus untuk aku dan seorang lagi Timbalan Ketua Pengarah yang kebetulan mempunyai tarikh lahir yang sama. Ini satu kebetulan yang unik dalam jabatan.
Sebenarnya, sungguhpun menjawat Presiden, aku tidaklah terlibat mengatur dan menentukan acara-acaranya. Ternyata Jawatankuasa Penganjur prihatin dan memang hendak memberi kejutan sehingga kami diberitahu di saat hampir-hampir acara berlangsung. Aku dan rakan sejawatan itu dijemput tampil di hadapan pentas untuk menyempurnakannya. Tentulah ia mengharukan kerana kami diapit oleh Perdana Menteri (Pak Lah) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sendiri, VVIP serta ribuan staf dan keluarga.
Itulah satu-satu sambutan ulang tahunku dalam hampir tujuh dekad. Betapa hebat!
Aku memang sentiasa sedar tarikh kelahiranku dalam Certificate Register Beranak (Certificate of Registration of Birth) No. 210651 dwibahasa berhuruf Jawi/Rumi yang tercatat ialah pada 1 Disember 1951, 5 pagi. Laporan kelahiran dibuat di Police Station Kg. Raja pada pukul 2.35 pm, 1.12.51. Ini hari Sabtu. Mengikut butiran dalam sijil “Orang yang kasi report” ialah ayahku sendiri. Ada tandatangan beliau di atas sijil itu.
Kalau dikirakan, 1 Disember 1951 ialah hari yang ke-335 dalam tahun itu. Manakala hari Sabtu itu pula yang ke 48 dalam tahun berkenaan. Layaran internet menghasilkan kenyataan bahawa, penduduk Terengganu pada tahun 1951 berjumlah 236,300 (91.5% Melayu) . Pada tarikh yang sama 266,800 – 311,000 bayi dilahirkan di seluruh pelusuk dunia.
Ketika itu Sultan Terengganu ialah Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Menteri Besar ialah Che Kamaruddin bin Haji Idris, M.C.S; British Adviser ialah Mr. R.J.F. Curtis, M.C.S. Presiden Amerika Syarikat ialah Harry S. Truman (Demokrat) dan PM British ialah Sir Winston Churchill (Konservatif).
Aku ingat-ingat lupa, kata-kata Mak, bahawa dia melahirkanku pada waktu Subuh, hari Jumaat. Ini bermakna 30 November 1951. Bagaimanapun, tarikh yang rasmi itu kusemak kemudian bersamaan 1 atau Rabiulawal 1371, Sabtu dalam tahun Hijrah. Jadi ulang tahun kelahiran hijrah itu telah berlalu 1 (Ahad) atau 2 (Isnin) Rabiulawal 1442 iaitu bersamaan 18 atau 19 Oktober 2020. Ini bermakna, menggunakan tahun Masehi, dalam tahun ini aku seolah-olah muda lebih kurang 40 hari. Hakikatnya, orang lebih teringatkan tarikh Masehi. Ketika bersara pun tarikh Masehi yang diambil kira iaitu 30 November 2007=20 Zulkaedah 1428, tarikh terakhir mengetik kad perakam waktu.
Maka jika tarikh Masehi ini sebagai penentunya bermakna sudah 13 tahun aku bersara wajib. Ketika itu, tertakluk peraturan yang berkuat kuasa iaitu apabila mencapai usia 56 tahun. Sekarang usia hijriahku sudah 71 tahun 1 ½ bulan.
Aku pernah mencari-cari peristiwa penting berlaku pada tarikh kelahiran itu. Sekurang-kurangnya tahulah aku suasana dunia semasa. Tidak mudah mendapatkan maklumat yang tepat.
Bagaimana pun aku pasti, ketika itu musim tengkujuh. Laut China Selatan tentulah sangat bergelora, angin timur laut tentulah berderu-deru meliuk-liuk-lintukkan pokok-pokok kelapa yang memenuhi seluruh kampungku. Hujan tentulah sedang turun dengan mencurah-curah seperti lazimnya pada musim itu. Para nelayan tidak ke laut. Masing-masing memerap di rumah. Menganggur lama.
Pada peringkat lain aku ada terbaca catatanku dalam bibliografi yang sedang kususun. Kupetik: “Pada hari ini (14 April 2020) saya membelek J.M. Gullick, Malaya. Pada hlm. 105 terbaca, “A British Colonial Secretary arriving in Malaya at the end of 1951 declared that ‘law and order must be restored before there is further political progress.’ (The Times, 1 Disember, 1951). This declaration was met with protests and was retracted almost immediately. Yet it was clear to all that under any regime the appalling burden of the Emergency campaign would weigh Malaya down.” Memanglah, ketika itu ancaman PKM, tuntutan kemerdekaan dan lain-lain sedang berlaku.”
Alam persaraan selama 13 telah dilalui dengan lancar dan selesa. Ada beberapa sebab terjadi demikian. Pertama sekali, aku ingin menyebut, sebab kesihatan. Bersyukurlah nikmat ini telah melimpahi datang menjadikan sebab-sebab lain menumpang tuahnya. Oleh sebab inilah, terbuka peluang aku berpergian ke mana-mana tempat yang disukai. Aku boleh memandu kereta balik kampung, ke utara, ke selatan, ke pantai, ke bukit, ke Pasar Payang, ke Pasar Siti Khadijah, ke Pasar Chowrasta. Pendek kata ke semua ceruk rantau di Semenanjung Tanah Melayu. Sesekali, meluncur juga ke luar negara bersama-sama isteri, dibiayai sendiri atau dibantu putera-puteri.
Dalam pada itu, kerana kesihatan juga, aku boleh singgah makan-makan di mana-mana – makan pulut pagi di Wakaf Che Yeh, laksam di RTC Tunjong, nasi dagang di Padang Luas, serbaneka makanan kegemaran di tanah tumpah darah Kampung Air Tawar, Laksa Kedah di Alor Setar, nasi kandar di Tanjung, cendol pulut di lebuh raya menuju Changlun, makanan laut di Tanjung Lumpur, ikan celup tepung di Tok Jembal. Dan banyak lagi. Tiada tergendala menjamu selera. Kalau tidak pun terus berselesaan di Petaling Jaya. Melakukan apa sahaja yang aku suka.
Kedua, kegemaran peribadi sebagai pengumpul buku tidak merugikan. Banyak juga wang dibelanjakan bagi menampung ketaksuban ini. Penuh ruangan rumah dengan buku, majalah dan bahan-bahan bacaan lain. Koleksi puluhan tahun menjadikan aku ‘bekerja’ sepenuh masa membelek halaman-halamannya. Boleh juga dikatakan ‘menghadiri majlis ilmu’.
Selama tempoh ini, malangnya belum pun terbit sebuah buku sebagai membuktikan komitmen teramat ini. Tetapi, ketiadaan karya tidaklah sampai mengecewakan. Catatan-catatan dalam ‘fail-fail’ sentiasa bertambah dan dikemas kini bergantung kepada belekan harian. Ratusan ‘fail’ telah berisi maklumat mentah, belum dicanai menjadi ‘temuan’ berfaedah. Bagaimana pun, mengalami dan melihat perkembangan dari sehari ke sehari sentiasa melegakan.
Tiada janji untuk menyiapkan ‘projek’ pada suatu ketika tertentu. Maka, tiada desakan untuk tergesa-gesa. Namun, ia berterusan dengan kelajuan yang tidak pernah perlahan. Ia meluncur ‘steady’. Ia menemani pernafasan sambil menanti yang pasti.
Ketiga, aku masih bernasib baik. Dalam persaraan pun, masih diimbuhi habuan bersandar prestasi ketika berkhidmat. Hampir empat tahun sebaik bersara, tugasan sepenuh masa masih diberikan. Dengan itu aku masih boleh berbakti, mengelilingi semua negeri bahkan juga bertugas rasmi di luar negara. Tentulah ada keistimewaan yang diberikan. Boleh ke sana-sini -- ‘bergaya’ dan ‘percuma’. Disambut dan di kedepankan dalam majlis-majlis tertentu. Pendek kata seakan masih berkhidmat seperti mereka yang muda-muda. Kemudian, sampai kini pun, masih terlibat lagi, kerana dilantik sebagai pengerusi satu komiti. Bolehlah aku meneruskan bakti kepada negara walaupun tidak setiap hari.
Sekian lama melibatkan diri dalam fb tidaklah jadi selebriti. “friend” setia lazimnya terkira oleh jari di tangan. Dan sekali-sekala boleh dibilang sampai ke jari kaki. Mereka ini kuhormati. Mereka peribadi mantap yang berfikiran terbuka dan berbudi. Hasil-hasil fikir mereka di laman fb atau melalui karya-karya mereka yang ditemui dalam koleksiku pun membuktikan mereka bukan sembarangan personaliti.
Setahun lagi telah berlalu. Pemerianku tidak membayangkan sedikit pun pembaziran bergiat seperti yang sentiasa dilakukan ini. Tiada azam lain dihajati kecuali meneruskan seperti yang telah sedia dijalani. Hanya, semoga ‘fail-fail’ yang ratusan jumlah ini akan cukup berisi untuk aku melangkah ke fasa lain. Semoga, kemudian aku pergi dengan meninggalkan warisan mampu merakam keperibadianku sendiri selama menghuni di bumi.
Dengan rendah hati dihulurkan ucapan terima kasih yang tidak sepertinya kepada semua teman yang mendoakan kepanjangan umur, kemurahan rezeki, dan keberkatanku menjalani kehidupan ini.
No comments:
Post a Comment