Dewan Sastera: Naskhah Jubli
Ketika Dewan Bahasa dan Pustaka mencapai usia 64 tahun, Dewan Sastera pula berumur 50 tahun. Abang sulungnya, Dewan Bahasa kalau masih dalam rupa asal sudah mencapai 63 tahun, seakan lahir menyusuli ibunya. Dewan Masyarakat, telah masuk ke Jilid 58 sekarang.
Saya menyimpan naskhah ‘emas” Dewan Masyarakat, “50 Tahun Perjalanan Emas” (Jilid 51 Bil: 12/2013) sempena mencapai setengah abad. “Nota Editor”nya berjudul “Perjalanan yang Panjang …”. Noor Azam dalam “Catatan Pinggir”, muka surat 64 menjudulkan tulisan beliau serentak bertanya, “Ke Mana DM Setelah 50 Tahun?” Kita yang mendukungnya boleh bernostalgik sambil menilik harapan.
Maka, adalah malang yang terlampau sekiranya kita tidak memiliki satu naskhah berfokus sambutan lima dekad Dewan Sastera. Sejak hadirnya, sastera Melayu itu sangat berupa pewacanaan dalam Dewan Sastera. Ia pendukung utama. Ia mengawami dan lebih mesra khalayak berbanding segelintir lagi yang lain-lain yang jauh tidak seunggulnya.
Dewan Sastera muncul pada Januari 1971 berharga 50 sen. Hassan bin Ahmad, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka menulis dalam Kata Pengantarnya, “Saya berharap … Dewan Sastra akan chuba sedapat-dapatnya menggambarkan nilai2 sastra Melayu moden hari ini dalam bentuk yang dapat dipertanggungjawabkan.”
Keris Mas, selaku Ketua Pengarang, menulis dalam “Dewan Sastera Memasuki Gelanggang”, dipetik sedikit; “… Bersama-sama dengan para sastrawan, seniman, kaum terpelajar dan para intelek kami berchita-chita untuk memberi kenikmatan seni sastra yang bererti kepada seluruh pembacha umumnya dan peminat sastra khususnya.”
Dewan Sastera, Jilid 49, Bil. 07 2019, menjudulkan “Daripada Editor”nya “Dewan Bahasa dan Pustaka 63 Tahun Menjulang Sastera Negara”. Bahkan pada kulit depannya terpampang, “Enam Dekad Menjulang Sastera”.
Tidak ketinggalan, Baha Zain menulis lebih panjang daripada lazimnya tertulis dalam Monolog Kecil, dengan rencana berasingan, “Enam Dekad DBP Mengimbas Kembali Denai Sastera”, muka surat 17-21. Bahkan lebih ‘sastrawi’, Abang Patdeli Abang Muhi, dengan “Dewan Sastera Menyongsong Masa Depan”, muka surat 22-25, memfokusi sumbangan DS.
Tentulah demikian sempena kewujudan institusi DBP itu! Meraikannya. Sedangkan Dewan Sastera belum lagi mencapai usia pesta.
Dan, sekarang naskhah berharga “Penjana Sastera Kreatif” ini terjana menjelma sebagai HADIAH IKHLAS mulai Bil. 10 2019. [???], bukan 50 sen atau terakhir RM6.00. Naskhah-naskhah Jilid 50, Bil. 1,2,3,4,5,6,7 2020 sudah ditatapi.
Saya membilang bulan menunggu naskhah “Perjalanan Emas”nya pula. Mengikut perkiraan ia wajar lahir pada Januari 2020. Dengan harapan mengandungi wacana-wacana yang setara dengan sejarah, sumbangan dan kepanjangan pengedarannya.
Tak apalah kalau sedikit tercicir atau tersasar. Barangkali naskhah itu sedang diperbidan rapi oleh yang ahli lagi bervisi. Semoga Jilid 51, insya-Allah, didahului oleh naskhah emas itu. Walaupun dikira mulai terlampau, Jilid 50 boleh dicetak dalam keluaran-keluaran, (saya lebih suka), Ogos, September, Oktober, November atau Disember.
Ataukah, senaskhah bebas sendiri kerana kemajlisan peristiwanya?
Kita sangat biasa dengan ASAS 50, dan jubli-jubli emas. Semoga tidak terlepas DS 50 selagi masih bernafas.
No comments:
Post a Comment