Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 49/2020: Mengelak kejelekan

“Teryata pembangunan ekonomi [di bawah penjajahan British] merupakan faktor yang telah melahirkan sebuah masyarakat baru yang begitu kompleks. …
Apabila negara ini mencapai kemerdekaan masalah-masalah yang mendesak memanglah akibat proses sejarah yang memakan masa lebih kurang dua abad, iaitu mulai daripada masa pihak British mulai menguasai Selat Melaka.
Hanya melalui sejarah sahajalah proses itu dapat difahami. Oleh sebab itulah sejarah Malaysia wajib dipelajari… Social engineering akan membawa akibat yang agak negatif jika sekiranya hakikat sejarah diabaikan.”
(lihat, Prof. Khoo Kay Kim, Universiti Malaya, “Peranan Sejarah Dalam Pembangunan Negara”, (Penulis Tamu), Mastika, Jun 1986, muka surat 15-16).
Saya memiliki, Zainal Abidin bin Abdul Wahid, “Sejarah Malaysia Pentafsiran dan Penulisan”, (Penerbit UKM, 2011 [1991]. Ini ialah Syarahan Perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia disampaikan pada 22 Januari 1991.
Ketika itu, beliau menyatakan: “Perkembangan penulisan sejarah sekarang ini agak memuaskan khususnya di peringkat universiti. ... ... Penulisan buku sejarah di peringkat sekolah hendaklah diberi perhatian yang berat kerana di situlah sikap warganegara Malaysia biasanya dibentuk. Lazimnya pengetahuan tentang sejarah Tanah Air akan mendorong kepada kefahaman, kalau tidakpun perpaduan. Langkah-langkah yang lebih bertanggungjawab perlu diambil jika Sejarah dikehendaki memainkan peranannya sebagai pencari kebenaran, pembentuk sikap yang kritis, pemupuk semangat kebangsaan dan pencipta keperibadian kebangsaan Malaysia, ...” (muka surat 7).
(Beliau menyebutkan pada nota hujung 47, muka surat 33, lapan buah buku sejarah (yang asalnya merupakan latihan-latihan ilmiah (Tahun IV, Universiti Kebangsaan Malaysia yang dapat diterbitkan pada pada peringkat awal selaras usaha menampung kekurangan penulisan pensejarahan negara dalam bahasa Melayu: Nabir bin Haji Abdullah, Maahad Il Ihya Assyariff Gunung Semanggol 1934-1959; Ghazali bin Mayudin, Johor Semasa Pendudukan Jepun 1942-1945; Zulkipli bin Mahmud, Warta Malaya: Penyambung Lidah Bangsa Melayu 1930-1941; Sabri Haji Said, Madrasah Al-Ulum Al-Syariah Perak 1937-1977: Satu Kajian Pendidikan Islam (DBP, 1983); Md. Salleh Md. Gaus, Politik Melayu Pulau Pinang 1945-1957; Timah Hamzah, Pemberontakan Tani 1928 di Terengganu (DBP, 1981); Osman Mamat, Dharurat di Terengganu 1948-1960: Beberapa Aspek Ekonomi dan Sosial (DBP, 1981); Mohd. Ali Kamaruddin, Sejarah Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, 1981)).
Dalam rencana Baha Zain, “Melayu yang Hodoh” (Monolog Kecil), Dewan Sastera, Ogos 2007, muka surat 4-5, beliau memetik dua kali tulisan Frank Swettenham di hujung abad ke-19, tentang orang Melayu. Tergambar betapa teramat lekehnya orang Melayu itu.
Baha Zain berpendapat, “Imej hodoh yang dilukis oleh Swettenham terhadap Melayu pada zaman pemerintahan Inggeris dahulu adalah satu persepsi yang tidak perlu dihujahkan panjang lebar meskipun menyakitkan hati. Apa yang patut dilakukan ialah: bangsa Melayu harus menulis kembali sejarahnya sendiri dengan keinsafan yang mendalam, dan dan dengan fikiran kritis terhadap masyarakat dan pemimpin sebangsanya. Kalau kita leka dengan segala macam pesta, festival, program hiburan, seminar, kongres, dan tidak kritis-kreatif terhadap tindak tanduk masyarakat dan pemimpin sendiri, salahkah andainya bangsa lain terus-terusan memandang remeh terhadap Melayu?” (Tulisan ini telah dikumpulkan menjadi salah satu kumpulan esei Baha Zain, Monolog Kecil Tahun-tahun Gelora, DBP, 2013. Ia termuat di muka surat 115-119).
Saya meneliti kajian pensejarahan negara hingga mutakhir. Pada tiga tahun lebih yang lepas (22 Oktober 2016) saya hadir forum sejarah di Universiti Malaya tetapi ternyata seakan belum lagi terdapat muafakat tentang naratif pensejarahan negara. Dalam pada itu buku-buku dan penulisan sejarah telah banyak ditulis dan perkara-perkara yang terabai suatu ketika dahulu telah banyak diterokai dan sudah menjadi pengetahuan umum.
Risalah tentang “Jabatan Sejarah” Universiti Malaya ada saya simpan senaskhah. Daripada enam objektifnya yang tersenarai saya ingin menyalin yang keenam, “membolehkan graduan sejarah mengambil iktibar daripada peristiwa sejarah dan menjadi asas perkiraan dalam menghadapi permasalahan semasa.” Demikian diandaikan juga menjadi objektif ‘pensejarahan’ institusi-institusi yang lain.
Menulis pada tahun 2020 sekarang, saya belum boleh merumuskan bahawa sudah terbentuk “keperibadian kebangsaan Malaysia” di kalangan para warganegara. Atau, masihkah kita, memetik kata-kata Baha Zain hampir 13 tahun dahulu, “tidak akan berani bercakap tentang kebenaran dan menghujah kehidupan di hadapan matanya;” atau belum upaya ber“fikiran kritis terhadap masyarakat dan pemimpin sebangsanya ...”?
Kita sudah mengisytihark Rukun Negara 50 tahun sekarang. Dokumen ini sangat penting bahkan seakan sebahagian daripada Perlembagaan Negara dari segi falsafah dan matlamatnya. Tetapi pencapaiannya mendatar atau penghayatan di kalangan rakyat nampaknya masih diragui.
Tulisan Swettenham yang disebut Baha Zain di atas itu sebenarnya telah termaktub 124 tahun dahulu. Meskipun jauh baharu syarahan (Allahyarham) Profesor Zainal Abidin itu pula disampaikan tiga dekad silam.
Atau, adakah kaedah yang lebih baik memperluas pemahaman dan kefahaman sejarah Malaysia supaya meliputi lebih ramai warganegara? Agar, kita wujud tidak jelek lagi.
Image may contain: stripes
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 17 others
5 comments
2 shares
Like
Comment
Share

Comments

    • Like
    • Reply
    • 24 w
  • Pandangan Frank Swettenham yang ‘kontroversial’ itu sebenarnya menjadi fokus seorang penulis. Beliau telah merumuskan rencananya dengan, “Orang Melayu pada hari ini berpeluang menyoal sejauh manakah adil dan relevannya huraian Swettenham itu bagi diri mereka; dan apakah ciri yang bernilai yang mesti dipertahankan dan disemaikan serta ciri yang mana pula perlu disingkirkan. Keupayaan melihat “diri sendiri” seperti mana orang lain melihat kita, meskipun kita mungkin berasa persepsi mereka tidak benar, boleh menjadi sesuatu yang tidak ternilai bagi perwatakan seseorang individu atau sesebuah masyarakat.” Bacalah, Zubaidah Ibrahim-Bell, “Pandangan Swettenham tentang orang Melayu” (50 Tahun Malaysiaku Gemilang), Dewan Sastera, Oktober 2007, muka surat 93-98.
    2
    • Like
    • Reply
    • 24 w
  • “Sehingga kini, belum nampak munculnya sebuah konsepsi sejarah kebangsaan Malaysia. Belum lagi kelihatan lahirnya sebuah konsep falsafah sejarah nasional. Hal ini mungkin kerana sebagai sebuah negara, Malaysia masih terkial-kial mencari identitinya sebagai sebuah nasion. Ertinya, masalah besar kita ialah masalah politik yang masih belum berjaya mentakrifkan national character (karakter kebangsaan) bangsa Malaysia. Historiografi yang muncul lebih bersifat terpecah-pecah mengikut sejarah masing-masing kumpulan etnik dan demi melihat kepentingan etnik masing-masing. Apakah sejarah nasional itu akan bertolak daripada suatu historiografi yang berasaskan historiografi Melayu pun tidak pernah dibincangkan. Konsep historiografi Melayu itu sendiri memerlukan kajian yang lebih teliti. Persoalan yang dihadapi oleh masyarakat sejarawan Malaysia kini adalah untuk mencari titik pertemuan antara sejarah kolonial dengan sejarah tempatan dan mensintesiskan kedua-duanya. Persoalan wujudnya sejarah etnik yang sempit dan terpisah-pisah juga harus ditangani: Apakah kriteria yang harus digunakan untuk menulis satu naratif daripada sejarah yang beraneka ragam itu? Bolehkah kita mewujudkan sebuah sejarah yang bersifat Malaysia-sentrik?” (Lihat, Ahmad Adam, 2016. Antara Sejarah dan Mitos, Petaling Jaya: SIRD, h. 27-28)
    1
    • Like
    • Reply
    • 23 w
    • Boleh tak kita katakan ini memberi impak kepada jati diri Melayu Datuk.
      1
      • Like
      • Reply
      • 23 w
  • Dalam aspek kebudayaan pun kita telah berbincang lama bahkan pada awal 1970-an telah merumuskan apakah itu Kebudayaan Kebangsaan. Kini, setengah abad kemudian, rumusan itu sudah dilupakan lalu PRU14 menunjukkan impak lantaran keterbiaran itu. Bergerak masa, tetap politik mencorakkan kemungkinan-kemungkinan. Dan politik kita sedang terbelah dua seakan tiada pemuktamadnya yang berwibawa. Realiti ini mempengaruhi pemerkasaan identiti. Penjatian diri yang hanya meliputi sebahagian yang tidak dikira mewakili majoriti mutlak tidak bermakna, selagi sebahagian lain yang sama peratusannya tidak bersedia mengakui fakta-fakta sejarah yang membentuk negara. Dari teropongan saya, perkembangan yang akan datang dari segi politik, bakal menghakis penjatian diri di kalangan rakyat sekali gus menjauhkan dari pencapaian matlamat yang termaktub. Seiringannya, isu perkauman berterusan terhegeh-hegeh di titian.
    • Like
    • Reply
    • 23 w
    • Edited

No comments:

Post a Comment