Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 48/2020: Membuku

Kita mengetahui bahawa Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) ditubuhkan pada tahun 1968. Ia wujud demi menyuntik profesionalisme dalam memajukan perbukuan. Pada tahun 1972, Malaysia melancarkan Tahun Buku Antarabangsa dengan tema “Buku Untuk Semua”.
Pada 13 September 1972, Perpustakaan Negara Malaysia menganjurkan forum “Apakah Buku Penting?” sempena Bulan Perpustakaan Negara. (Dewan Masyarakat, Oktober 1972, muka surat 24-29).
Sekarang, tahun 2020, hampir 48 tahun kemudian, persoalan perbukuan tetap ‘hangat’ – dari segi kelangsungan industri dan kebestarian generasi ke generasi.
Saya tertarik menyalin pandangan R.E. Brammah, Pengurus Besar, Oxford University Press, Kuala Lumpur, ahli panel forum; “Sebenarnya, orang yang sekarang menganggap buku lebih penting – orang yang berusaha mengumpulkan buku dan mereka yang begitu kuat membaca adalah begitu sedikit bilangannya. .../ Pada masa akan datang, besar kemungkinannya bahawa hanya satu jenis buku saja yang penting khususnya buku-buku rujukan dan buku-buku yang mengandungi pendapat-pendapat yang tidak boleh disebarkan dalam bentuk lain kecuali melalui percetakan; dan buku-buku seumpama itu hanya penting kepada beberapa orang saja. ..... Adalah terlalu lambat untuk mempertahankan buku – tidak ada ertinya untuk mempertahankannya.”
Kata beliau lagi, “Buku hanya merupakan satu daripada berbagai bentuk perhubungan yang didapati oleh kita dalam tahun tujuh puluhan dan dianggap penting dalam hubungan ini. Buku sudah tentu penting tetapi tidak berharga lagi dibandingkan dengan alat-alat lain yang telah direka dalam tahun-tahun kebelakangan ini untuk menyampaikan fikiran dan menggalakkan pendapat, untuk memberikan keseronokan dan kegembiraan dan bertindak sebagai mesin untuk dapat dipelajari.”
Itu disuarakan hampir setengah abad dulu. Ketika itu pun ternyata hanya segelintir orang yang meminati buku. Dan, masa depan buku sudah diramalkan menuju kemeruduman. Perkembangan dan persaingan pelbagai alternatif kepada buku yang kian nyata telah mengesahkan bahawa pandangan yang berwawasan itu sangat menepati.
Beda Lim, ahli panel yang lain pun memberi bayangan kemungkinan perubahan bakal mendatangi. Beliau, ketika itu Pustakawan Universiti Malaya, menjawab tema forum menyatakan, “Adakah buku penting? Rasa saya pengetahuan itu penting. Tanpa pengetahuan kita semua akan mati. Kualiti hidup kita ditentukan oleh kuantiti pengetahuan. Tetapi sama ada pengetahuan itu akan terus sampai kepada kita melalui perantaraan buku dan majalah seperti kita ketahui, masih diragukan.”
Di perpustakaan sudah banyak bahan-bahan bukan buku digunakan sebagai bahan rujukan pada tahun-tahun awal 1970-an itu. Perkembangan dalam bidang berkenaan di negara-negara maju pun memberi isyarat bahawa buku-buku menghadapi cabaran getir untuk bertahan di tengah-tengah kemunculan alternatif-alternatifnya yang setanding atau lebih canggih itu.
Prof. Madya Asmah Haji Omar, Pensyarah Universiti Malaya, membentang pandangan, “Sungguhpun ... ... buku menghadapi kemungkinan ketinggalan zaman dalam pemberian informasi terakhir, tetapi buku mempunyai kebaikannya. Buku ketinggalan zaman hanya dalam perlumbaan dulu-kemudian dalam pemberian informasi itu, tetapi ini tidaklah bererti bahawa segala sesuatu yang dikemukakan di dalam sesebuah buku itu biasanya ketinggalan zaman.” (muka surat 25)
Seorang lain, Dr. Tan Chee Koon, ketika itu seorang Ahli Parlimen dan juga Pengerusi Senat Universiti Malaya, memberitahu, “Minat saya terhadap buku begitu besar dan adalah lebih penting dari seorang mistress kepada saya, dan isteri saya merungut dan mengatakan bahawa apabila saya sedang membaca sebuah buku yang baik, maka terlupalah yang saya mempunyai isteri.”
Kata beliau lagi, “Buku adalah sumber keseronokan dan membaca buku adalah satu kegemaran yang mesti dipupuk oleh mereka yang masih muda. Tabiat suka membaca ini, apabila sudah diperolehi dan diamalkan, selalunya akan kekal sepanjang hidup”
Sambung beliau, “Guru-guru dan ibu-ibu mestilah menggalakkan anak-anak mereka membaca sebanyak mungkin. Sekiranya mereka dapat mengamalkan tabiat suka membaca, maka mereka bukan saja boleh maju dalam pelajaran tetapi juga akan memperoleh keseronokan daripada membaca.”
Aku suka kata-kata Sir Francis Baem, yang dipetik beliau, “Sebuah buku yang baik merupakan darah kehidupan kepada semangat yang besar”.
Aku sendiri telah menjadi ‘pembaca’ pada usia diakui sangat awal – ketika masih kanak-kanak. Bukan buku-buku sekolah sahaja, bahkan akhbar-akhbar dan majalah-majalah.
Lalu sedikit sebanyak buku-buku yang pernah dibaca dahulu – ketika masih kecil, remaja, dewasa dan tua seusia kini – bertambah-tambah. Ia ternyata di rak-rak melimpahi ruang.
Hari ini aku boleh tidak berpergian ke mana-mana pun. Tidak apa kalau hanya perlu duduk di rumah. Jadual rutin terjadi sendiri. Kegiatan membelek mulai dari pagi, sepenuh masa. Dikelilingi oleh pengarang-pengarang, yang telah ribuan tahun meninggal dunia dan ada pula yang masih segar bugar berkarya.
Mereka tokoh terbilang juga belum ternama. Ada Ibn Khaldun, Ibn Battuta, Syed Naguib, Ahmad Ibrahim, Hamka, Sukarno, Hatta, Tunku Abdul Rahman, Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji, Khoo Kay Kim, Emerson, Kassim Ahmad, ...
Ada juga di kalangan mereka bekas-bekas guru-guruku, teman-teman sekolah, rakan-rakan sejawat. Mereka pun terdiri dari pelbagai bangsa, menulis dalam pelbagai bidang, yang aku suka.
Mereka juga muncul dalam jurnal-jurnal, majalah-majalah, antologi, .... Kami bergaul mesra.
Aku diizinkan bila-bila masa mengikuti James Brooks atau Raffles menjelajah Nusantara, menaiki ‘bahtera’ Raja Kecil Siak ke Johor Riau Lingga, berperang di samping Diponegoro menghalau Belanda, atau kalau mahu pergi jauh melayari Lautan Antartik dari pantai Afrika Barat terus ke Amerika bersama pedagang-pedagang hamba abdi di dunia baru ditemui.
Para cendekiawan itu sentiasa disapa atau dipelawa mencurah ilmu. Aku sentiasa bersedia menimbanya. Tiada pun berasa segan silu. Ada yang kudepani berkuliah sepagi, sehari. Dari perspektif mana pandangan mereka aku sedia menelaahnya. Pada kiraan akhirnya aku mendapat laba daripada keserba-ragaman sumber penjanaan minda.
Yang demikian itu tidak dapat dilakukan atau dialami tanpa buku-buku di sekeliling. Sedia dan setia menunggu kuambil jadi belekan sehari-harian.
Memang ada kos melayan kegemaran. Puluhan tahun, tentulah semacam satu pelaburan. Biarlah ia tiada memberi pulangan kewangan. Itu bukan keutamaan.
Bersendirian dalam persaraan, tiada yang lebih membahagiakan selain berada di kalangan pengarang yang kita jemput hadir di kediaman sendiri sebagai ‘rakan-rakan’ cendekiawan.
Bukulah pilihan hati sambil menuju pangkalan.
No photo description available.
M Jusoff Taib, WanRafar Ishak and 8 others
4 shares
Like
Comment
Share

No comments:

Post a Comment