Sunday, 27 December 2020

Rapuh 47/2020: Kelazatan ilmu
Dalam halaman buku ini terselit satu keratan akhbar Utusan Melayu bertarikh 5 Februari 1997. Ia mengandungi sebuah rencana tanpa dinyatakan nama penulisnya, berjudul “Ilmu ialah masyarakat”, muka 7 sebagai mengisi ruangan “Pendidikan”. Di muka yang sama terdapat ruangan berjudul “Daripada Rak Buku Agama”. Hari itu, kulit buku Keagungan Ilmu menghiasi ruangan itu. Saya memiliki buku ini. Itulah sebabnya, keratan akhbar itu terselit di dalamnya.
Saya membaca semula rencana itu. Penulisnya menyalin: “Menurut Aristotle, sifat kelazatan manusia, satu-satunya yang tidak dikongsi dengan haiwan lain ialah kelazatan ilmu.”
Sesuailah kini saya perkenalkan buku itu, Franz Rosenthal, Keagungan Ilmu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, cetakan ketiga [cetakan pertama 1992, cetakan kedua 1993], xv, 400 hlm. Terjemahannya dilakukan Syed Muhammad Dawilah Syed Abdullah. Judul teks sumber, Knowledge Triumphant: [The Concept of Knowledge in Medieval Islam (Leiden:] EJ. Brill, 1970).
Pada kulit belakang, separuh halaman diambil untuk memperkenalkan buku ini. Ia sebenarnya cabutan daripada “Pendahuluan” pengarang. Saya suka memetik sedikit, “’Ilm ialah Islam, biarpun sekiranya ada ahli teologi yang ragu-ragu untuk menerima kebenaran teknikal persamaan ini. Kebenaran sebenar perbincangan konsep yang menggalakkan ini terbukti kerana pentingnya dasar ini kepada Islam.”
Rosenthal menulis lagi, “’ilm ialah satu daripada konsep-konsep yang menguasai Islam dan yang telah memberikan peradaban Islam bentuk dan rupa yang istimewa.” (p. xii) Pada tempat lain, “... subjek ‘ilm dalam bentuk kesempurnaannya adalah terlalu luas untuk sebarang usaha yang menyeluruh.” (xii-xiii)
Buku ini ilmiah sifatnya. Memahami perbincangan tidak mudah. Kita perlu membacanya secara berhati-hati untuk meggarap dan maju ke halaman-halaman seterusnya. Itulah sebabnya untuk kali ini saya menumpu kepada sebahagian daripada salah satu bab-babnya yang semuanya 8, selain Pendahuluan dan Penutup.
Bab Empat yang dipilih berjudul “Takrifan Ilmu”.
Rosenthal menjelaskan, “Nama-nama pencipta asal bentuk bahasa Arab bagi takrifan ‘ilm yang diberikan dan tarikh-tarikhnya dalam sejarah, nampaknya tidak dapat ditemui lagi kecuali melalui kepercayaan yang tidak kritikal terhadap tradisi kemudiannya. ... Awal abad kesembilan nampaknya boleh jadi satu tarikh umum yang baik bagi penyudahan tahap pertama takrifan ini dalam sejarah.” (muka surat 52)
“Tidak ada buku panduan yang besar atau kecil tentang teologi spekulatif yang dapat mengelak daripada berbincang tentang takrifan ‘ilm. Melalui peredaran masa, bahan untuk dibincangkan semakin bertambah dan bentuk perbincangan yang berlaku semakin tegang. Dengan kedatangan abad kedua belas dan ketiga belas, perkembangan ini telah sampai ke tahap kemuncaknya. Satu koleksi takrifan ‘ilm yang autoritatif sifatnya dan mampu mencapai tujuan teologi spekulatif telah dibuat oleh al-Amidi (m. 631/1233). Pada halaman pendahuluan bukunya yang dianggap agung, iaitu Abkar al-afkar, al-Amidi telah menulis dan membincangkan takrifan ini dengan panjang lebar. ... Adalah adil untuk dikatakan bahawa at-Tahanawi telah meringkaskan semua idea yang pernah dilahirkan oleh para pemikir Muslim tentang “ilmu”.” (muka surat 52-53)
Dalam bab ini juga perkataan “pengetahuan” telah diberi pengertian atau penjelasan dalam beberapa kelompok: A, B, C, D, E, F, G, H, I, J, K, dan L. Setiap kelompok ada kriteria pengelompokannya. Di bawah setiap kelompok itu pula tersenarai banyak pengertiannya. Secara lebih tepat “pengetahuan” bagi setiap kelompok itu mengandungi: A sebanyak 15 tafsiran; B sebanyak 11; C sebanyak 14; D sebanyak 12; E sebanyak 20; F sebanyak 8; G sebanyak 9; H sebanyak 2; I sebanyak 3; J sebanyak 3; K sebanyak satu; dan L sebanyak 9 tafsiran. Kalau dikirakan semuanya berjumlah 107 tafsiran.
Saya salin 5 pengertian, dipilih secara arbitrari:
A4, “Pengetahuan ialah sesuatu yang melaluinya orang yang mengetahui tahu tentang objek yang diketahui”;
B8, “Pengetahuan satu benda ialah pengetahuan tentang sebab kewujudannya”.
C6, “Pengetahuan ialah pencapaian (tahsil) dengan hati tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan apa yang ada pada dirinya sama ada perkara ini tidak wujud atau wujud”.
D9, “Pengetahuan ialah kebolehan (tamyiz) suatu konsep dalam jiwa yang tidak dibiarkan terbuka kepada kemungkinannya yang berlawanan.”
K1, “Pengetahuan ialah satu sifat (sifah) yang melaluinya kejahilan, keraguan dan sangkaan dibuang daripada diri orang yang hidup”.
Kalau mahu mengetahui 102 lagi pengertiannya bacalah muka surat 56-68.
Pada perenggan-perenggan yang direntasi kita sebenarnya mengikuti perbincangan yang kompleksiti subjek boleh kita sedari dengan mudah berdasarkan kalimat-kalimat yang dibentuk oleh pengarang.
Saya petik satu, “Pengetahuan menjadikan takrifan tidak diperlukan lagi kerana apa jua yang mengenali sesuatu benda mampu mengenali perihal kesedaran terhadap benda tersebut tanpa bukti dan spekulasi yang logik. Pengetahuan bahawa seseorang itu mengetahui akan sesuatu benda merupakan intisari sifat (ittisaf) tentang pengetahuan yang dimilikinya. Sekarang pengetahuan tentang suatu proses sifat yang lengkap (ittisaf amr tamm) menuntut kepada pengetahuan setiap daripada dua perkara, iaitu, objek (mawsuf) dan sifat (sifah). Sekiranya pengetahuan tentang realiti pengetahuan diperoleh, tidak masuk akal untuk mengandaikan bahawa pengetahuan kita terhadap sesuatu perkara itu dapat diketahui tanpa hujah spekulasi dan deduksi. Oleh sebab ia tidak sedemikian, telah terbukti bahawa pengetahuan tentang realiti pengetahuan tidak memerlukan perolehan.” (muka surat 54)
Di atas, saya menyalin sedikit sahaja contoh perbincangan tentang “pengetahuan”. Ia ternyata tidak mudah difahami tanpa kita sendiri berpengetahuan.
Namun, saya memetik tulisan perencana tanpa nama dalam Utusan Melayu di awal tadi, yang juga memetik kata-kata seorang tokoh lain, Abu Hilal al-Asykari, tokoh sastera dan filologi, “Sejak kami mengetahui tentang kelazatan ilmu, tiada kemanisan mahupun kesedapan lain yang dapat menyenangkan kami lagi.”
Tiada pun maklumat tentang Rosenthal dalam teks terjemahan ini. Daripada Wikipedia saya mengetahui Franz Rosenthal keturunan Yahudi dilahirkan di Jerman, mengajar di University of Pennsylvania dan kemudian di University of Yale. Beliau orang pertama menterjemah karya Ibn Khaldun, Muqaddimah ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 1958, lengkap 3 jilid. Beliau meninggal dunia ketika berusia hampir 88 tahun (2003).
Image may contain: text that says "KEAGUNGAN I L M U FRANZ ROSENTHAL Penterjemah Syed Muhammad Dawilah Syed Abdullah"
Zulkifli Salleh, WanRafar Ishak and 13 others
2 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Astagfirullah. Alhamdulillah .. tq Dato' Ahmad Said dgn kuliah Ilmu di universiti FB .. " Tak sia-sia, kau membacanya," seru Sang Angin ..
    1
    • Like
    • Reply
    • 27 w

 

No comments:

Post a Comment