Rapuh 46/2020: Mendamba Zuhru Al-Islam
Tibalah kini buku, Dr. Ahmad Amin, Dhuha Al-Islam, Jilid III, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, cetakan pertama, xiii, 398 halaman, $12.50. Teks sumbernya ialah cetakan keempat terbitan Lajnat At Taalif Wat Tarjamah Wan Nashri, Al Qahirah. Tiga orang terlibat menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu iaitu Othman Haji Khalid, Ismail Ariffin dan Mohd Marzuki bin Haji Shafie.
Saya tidak perlu menyentuh Kata Pengantarnya kerana ia sama sahaja seperti dalam Jilid I dan Jilid II. Bagaimanapun, saya tertarik dengan “Pendahuluan” ditulis pengarang bertarikh 29 Oktober 1936, menjelaskan pendirian beliau dalam membincangkan sesuatu adalah tidak “memadai dengan menerangkan pendapat setiap golongan tanpa mengkritik dan menganalisanya” lalu membiarkan kepada pembaca mengambil pendirian sendiri. Beliau berpegang pendekatan “mengkritik, menentang dan menyokongnya”. Ahmad mengakui pendekatan beliau adalah seperti yang diamalkan oleh Ibnu Hazmi pengarang Al-Fasl Fi al-Milal Wa al-Nihal.(muka surat vii)
Dhuha Al-Islam Jilid III ini mengandungi empat bab. Tetapi mendahuluinya satu judul tanpa diberi Bab “Akidah-akidah dan Mazhab-mazhab Islam dalam Zaman Abbasiyah Pertama ”, (muka surat 1-22). Bab Pertama berjudul “Muktazilah”; Bab Kedua, “Golongan Syiah”; Bab Ketiga , “Golongan Murjiah”; dan Bab Keempat, “Aliran Khawarij”.
Dalam kata-kata Ahmad Amin sendiri, “... saya mengkaji golongan-golongan agama yang terdapat dalam peringkat pertama pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah, seperti golongan-golongan Muktazilah, Syiah, Murjiah dan Khawarij. Saya telah membentangkan segi-segi agama, politik dan sastera bagi setiap golongan tersebut.” (muka surat vii)
Sebenarnya dalam Bab Ketujuh buku Fajar Al-Islam, golongan-golongan ini telahpun disentuh, (muka surat 345-416). Dengan membaca bab ini pun, sebab-sebab timbulnya mazhab-mazhab awal ini boleh kita ketahui.
Ambillah aspek pandangan orang Syiah mengenai jawatan Khalifah. Saya salin pandangan Ibn Khaldun (Muqaddimah) yang dipetik oleh Dr. Ahmad Amin, “Masalah imam (ketua) tidak dikira sebagai kepentingan ramai yang mana patut diserahkan kepada fikiran ramai, dan penentuan mereka itu ditentukan oleh orang yang berkuasa. Malah masalah ini merupakan teras agama dan asas Islam. Seseorang Nabi tidak membiarkannya diserahkan kepada umat, malah ia harus telah menentukan seseorang imam untuk mereka, iaitu seorang yang bersih dari dosa kecil atau besar. Ali ialah orang yang telah ditentukan oleh Rasulullah dengan nas-nas hukum yang mereka petik serta tafsirkan supaya disesuaikan dengan mazhab mereka. Nas-nas hukum ini tidaklah diketahui oleh ulama-ulama Ahli Sunnah atau lain-lain pendukung syariat. Kebanyakan nas-nas itu adalah palsu dan riwayatnya mengandungi celaan-celaan. Atau, nas-nas itu tidak menepati tafsiran-tafsiran mereka yang rosak itu”. (Fajar Al-Islam, muka surat 365)
Khusus hari ini, saya ingin menumpu hanya seperlima kandungan buku jilid terakhir ini. Untuk maksud ini adalah lebih munasabah menumpukan kepada sesuatu secara khusus. Jadi, saya mengambil Bab Kedua “Golongan Syiah” (muka surat 235-356 iaitu 121 halaman) seperti yang dihuraikan oleh pengarangnya .
Pengetahuan saya tentang Syiah tidaklah sebanyak yang diketahui tentang Ahli Sunnah wal Jamaah. Di sekolah dahulu sebutan (dan pembacaan) tentang Syiah boleh dikira sepintas lalu dan asasi dibandingkan dengan pembacaan tentang mazhab yang kita anuti. Untuk perbandingan, perbincangan tentang Muktazilah meliputi, muka surat 23-234, 211 halaman; Bab Ketiga, “Murjiah meliputi muka surat 357-373, setakat 16 halaman; dan Bab Keempat “Khawarij” meliputi muka surat 374-398, iaitu 24 halaman.
Barangkali, dalam bahasa Melayu, penjelasan ilmiah tentang Syiah sepadat yang ditulis oleh Dr. Ahmad Amin ini adalah salah satu yang terawal. Dan 121 halaman yang mengandungi rujukan langsung sumber-sumber pegangan Syiah sendiri adalah satu kelainan pada waktu ia ditulis.
Bab ini menyentuh aspek-aspek utama keagamaan dan politik. Inilah aspek-aspek yang menjadi medan pertelingkahan di kalangan orang Islam Syiah dan bukan Syiah. Bagi golongan Syiah, penerajuan atau pewarisan aspek-aspek ini terhak kepada Saidina Ali karamallahu wajhah dan keturunannya.
Buku ini memuatkan rajah keturunan Ali, di muka surat 239. Perbincangan seterusnya menumpu kepada kelompok Imamiah dan Zaidiah, yang masih wujud.
Dalam menerangkan pandangan Syiah terhadap haknya, Dr. Ahmad Amin menggunakan sumber tulisan tokoh Syiah sendiri kerana “adalah lebih adil di dalam menerangkan pandangan-pandangan.” Tokoh berkenaan ialah Al-Kulaini yang menulis “Al-Kafi”. (muka surat 242)
Di dalam Syiah, konsep imam atau khalifah, meliputi empat perkara yang asasi iaitu “ismah”, “mahdi”, “taqiyah” dan “kebangkitan semula” (rajaah). Ismah bermaksud seseorang imam itu adalah “maksum”. Ia tidak melakukan sebarang dosa sama ada besar atau kecil, tidak melakukan maksiat, tidak terlupa (atau bukan pelupa). (muka surat 258).
Dr. Ahmad Amin, setelah berhujah dengan padatnya, merumuskan, “... Berdasarkan kepada kepercayaan atau sangkaan yang sesat ini maka banyak sekali keburukan-keburukan yang menimpa agama Islam. Sesungguhnya sesiapa mengadakan sesuatu perkara yang buruk, maka ia akan menanggung dosa yang dilakukannya dan juga dosa yang dilakukan oleh orang lain yang bersabit dengan keburukan tadi sehingga sampai kepada hari Kiamat.” (muka surat 271)
Buku ini ditutup dengan beberapa halaman, 391-398. Terhadap Syiah, beliau menulis, “Saya menjangka ... golongan Syiah akan mengecam saya, kerana sikap yang banyak mengkritik dan melahirkan kepalsuan setengah-setengah pendapat mereka.”
Pada perenggan lain, “... Tetapi saya berpendapat lebih baik saya mempertahankan kebenaran daripada mempertahankan aliran mazhab tertentu.”
Lagi, “Tidak sepatutnya perselisihan antara ulama dan perbezaan pandangan serta pendapat mereka akan memecah-belahkan antara mereka. Tetapi kalaulah permusuhan tidak dapat dielakkan, maka bagi saya memusuhi manusia adalah lebih ringan dari memusuhi kebenaran.” (muka surat 396-397)
Sebenarnya ehwal Syiah ini juga terdapat dalam karya Syed Ameer Ali, “[Api Islam]” Sejarah Evolusi dan Keunggulan Islam yang telah pernah saya paparkan sebelum ini. Ia termasuk sebahagian daripada Bab 8 “Perpecahan Politik dan Agama Dalam Islam”, muka surat 380-452.
Saya tidak bercadang untuk menyentuh perbincangan Syed Ameer itu di sini. Dalam buku ini senarai 12 Imam Syiah terdapat di muka surat 437-439. Bagaimanapun, sehubungan dengan penyentuhan Syiah dalam tulisan ini, saya kira selaras jika dipetik kata-kata beliau (Syed Ameer), “Sehingga zaman Muawiyah pengikut Ahlul-bait tidak memakai atau mendapat sesuatu gelaran tertentu. Mereka hanya dikenal sebagai Bani Hasyim. Tidak ada perbezaan antara Bani Fatimah dan Bani Abbas. Mereka semua berhubungan antara satu sama lain kerana pertalian darah yang rapat. Sesudah Muawiyah merampas kekuasaan raja, pengikut keluarga Muhammad S.A.W. mulai menyebut dirinya Syiah (pengikut) dan musuh-musuhnya Nawasib (pemberontak) atau Khawarij (penderhaka atau pembelot). Kaum Umaiyah menyebut dirinya sendiri Amawis (anak-anak Umaiyah). Waktu itu nama Ahlus Sunnah wal Jamaah belum dikenal sama sekali. Nama ini pertama kali digunakan di bawah pemerintahan Mansur dan Harun.” (muka surat 405-406)
Saya kira Dr. Ahmad Amin amat berjasa besar. Kajian beliau meliputi empat buku benar-benar bermaklumat lagi kritis. Kalau kita benar-benar menghayati halaman-halamannya (Fajar Al-Islam 420 halaman; Dhuha Al-Islam Jilid I 456 halaman; Dhuha Al-Islam Jilid II 476 halaman; dan Dhuha Al-Islam Jilid III 398 halaman= 1,750 halaman) ini kita sudah dikira ‘alim’ juga dalam pensejarahan Islam meliputi periode kajian. Dapat juga kita pengetahuan membandingkan kemajuan atau perkembangan di kalangan generasi penulis-penulis tema dan periode yang sama mutakhir.
Dalam Pendahuluan Jilid II, Dr. Ahmad Amin membayangkan hasrat hendak menulis sejarah Islam di Andalus apabila selesai menulis Dhuha Al-Islam Jilid III. Namun, dalam Pendahuluan Jilid III beliau menyatakan beberapa orang Orientalis menasihati beliau menangguhkan hasrat itu sehingga fakta-fakta tentangnya diterbitkan dengan lebih banyak. Beliau bersetuju dengan pandangan berkenaan.
Namun pada perenggan kedua terakhir Dhuha Al-Islam Jilid III beliau menyatakan: “Setakat ini selesailah kajian saya, dan saya akan berpindah pula ke peringkat zaman yang muncul selepas ini. Itulah zaman “Zuhru Al-Islam”. Maksud saya ialah abad keempat dalam sejarah Islam, dan para pembaca akan dapat menyaksikan zaman ini lebih cemerlang dengan ilmu pengetahuannya, lebih luas pandangannya dan cahaya yang lebih bersinar...” (muka surat 397)
Alangkah bertuahnya kita, kalau kata-kata beliau ini menjadi kenyataan!
No comments:
Post a Comment