Rapuh 45/2020: Ehwal keilmuan
Buku, Dr. Ahmad Amin, Dhuha Al-Islam Jilid II, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, cetakan pertama, xiii, 476, $9, dalam edisi bahasa Melayu terbit lebih awal daripada Jilid I (1978). Seperti Jilid I, Jilid II juga tidak mempunyai indeks dan bibliografi. Sebagai buku ilmiah ini kelemahan besar! Bagaimanapun, pada setiap bab ada nota-nota kaki mengikut keperluan atau selayaknya.
Teks sumbernya adalah edisi keenam terbitan Lujnah At-Taalif Wattarjemah Wannasyri, Kahirah. Penterjemahnya ialah Osman bin Haji Khalid dan penyunting-penyuntingnya ialah Haji Dusuki bin Haji Ahmad dan Mohamed Abdul Kadir. Buku ini tersenarai “Siri Pelajaran DBP Bil. 81” berbanding Jilid I, “Siri Pelajaran Tinggi DBP Bil. 113”.
Sebagai catatan, buku Fajar Al-Islam yang terbit pada tahun 1980 tidak lagi tersenarai di bawah siri ini. Apa yang ada ialah nombor “KK.320 – 2252 0101”. Tentulah ketika itu ada perubahan tentang persirian buku-buku terbitannya di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Walaupun turutan atau tahun terbitnya seakan janggal, (Jilid II mendahului Jilid I), ia tidak memberi kesan negatif. Judul kecil Jilid II ini ialah “Mengkaji tentang gerakan ilmiah pada zaman permulaan kerajaan Abbasiyah”. Gandingkan dengan judul kecil Jilid I, “Mengkaji kegiatan sosial dan pelbagai corak kebudayaan di zaman permulaan kerajaan Abbasiah”. Jelas kelainan tumpuannya.
Tiga jilid buku Dhuha Al-Islam ditulis antara tahun-tahun 1933-1936. “Pendahuluan” Jilid II ini ditulis oleh pengarang dengan meletakkan tarikhnya 22 Januari 1935. Maknaya, sekarang (tahun 2020) usia buku ini telah mencapai lebih 85 tahun. Edisi bahasa Melayu pula berusia 44 tahun.
Jilid ini mempunyai 7 bab; Bab Pertama: Gerakan Ilmiah, secara ringkas; Bab Kedua: Institusi Ilmu Pengetahuan; Bab Ketiga: Pusat-pusat Ilmu Pengetahuan; Bab Keempat: Ilmu Hadis dan Tafsir; Bab Kelima: Perundangan; Bab Keenam: Bahasa, Sastera dan Tatabahasa; Bab Ketujuh: Sejarah dan Tokoh-tokohnya.
Ketebalan buku dan perincian perbincangannya tidak mengizinkan saya meneliti semua halaman jilid ini. Oleh itu, saya lebih suka menyentuh, tetapi sedikit juga, mengenai “Perpustakaan Baitul Hikmah” (muka surat 74-91).
Dikatakan Khalifah al-Ma’amun meminati “bidang falsafah dan ilmu pengetahuan yang bercorak akal fikiran.” Dengan usahanya buku-buku yang tersimpan di Rom, Cyprus, Constantinople dapat diperolehi dan diarah diterjemahkan ke bahasa Arab. Lalu wujudlah khazanah-khazanah buku-buku misalnya disebut “Khazanah Al-Rashid” dan “Khazanah Al-Ma’amun”.
Kata Ahmad Amin, “Perkataan “Al-Hikmah” pula digunakan selaras dengan pengertian Falsafah. Jadi nyatalah mereka gunakan perkataan “Khazanah Al-Hikmah” atau “Baitul-Hikmah” untuk menunjukkan tempat yang dikumpul buku-buku tersebut, kerana keseluruhan atau sebahagian besar dari buku-buku tersebut bukanlah merupakan buku-buku agama, bahkan buku-buku yang disalin dari bangsa-bangsa lain, kebanyakannya buku falsafah atau hikmah, walaupun kadang-kadang terdapat juga setengah-setengah ukiran atau barang-barang kesenian ...” (muka surat 80)
Kata Ahmad Amin lagi, mengikut Encyclopedia Islam Darul-Hikmah adalah perpustakaan umum yang julung-julung kali ditubuhkan oleh al-Ma’amun. Di dalamnya terkumpul buku-buku Greek yang diterjemahkan ke bahasa Arab. Perpustakaan ini wujud berterusan sehingga kedatangan orang-orang Tatar pada tahun 656 Hijrah.
Ahmad Amin meneruskan pemerian yang menyentuh aspek-aspek “Peringkat Pendidikan”, “Bayaran Guru”, “Sukatan Pelajaran” dan “Pengembaraan Ulama-ulama”. Mengenai yang pertama, pengajian adalah seperingkat sahaja tidak dibahagikan seperti peringkat rendah, menengah dan lain-lain. Ada yang belajar di kuttab atau berguru dengan guru-guru yang khusus. Selepas itu mengikuti kumpulan-kumpulan tertentu di masjid-masjid.
Ada pula yang mendampingi syeikh-syeikh dan kemudian berpindah ke syeikh-syeikh yang lain sehingga selesai. Sekolah belum lagi muncul.
Beginilah salah satu gambaran pembelajaran; “Di dalam masjid-masjid yang besar terdapat beberapa perkumpulan ilmu pengetahuan, umpamanya perkumpulan Ilmu Fiqah, tatabahasa, sajak-sajak, riwayat-riwayat, atau cerita, Ilmu Hadis dan sebagainya. Pelajar-pelajar adalah bebas untuk mengikuti mana-mana perkumpulan yang disukainya juga memilih syeikh yang sesuai dengannya. Apabila ia telah menyempurnakan pelajarannya di tangan seorang syeikh maka ia berpindah pula kepada syeikh yang lain...” (muka surat 83)
“Pada masa itu tidak ada sebarang ijazah ilmiah yang diberikan kepada mereka yang tamat pelajarannya. Peperiksaan hanya berdasarkan kepada akal fikiran yang menyeluruh yang dikeluarkan oleh ulama-ulama atau guru-guru. Sesiapa yang rasa bahawa ia mempunyai kesanggupan berada di majlis ulama, mereka boleh melakukan demikian dan boleh menghadapi perdebatan ulama-ulama atau berbincang dengan mereka atau menjawab segala soalan-soalan yang dikemukakan. Dengan ini golongan ulama adalah bersih dari mereka yang mendakwa dirinya sebagai ulama atau dari orang yang jahil.” (muka surat 83)
Dari segi sukatan pelajaran, “adalah berbeza dan berlainan antara satu dengan yang lain, sukatan-sukatan ini bebas dipilih oleh pelajar-pelajar dan juga terpulang kepada guru masing-masing.” (muka surat 87)
Seperkara lagi, bahawa para ulama ketika itu banyak mengembara demi mencari ilmu. Banyak contoh diberikan. Namun, saya kira mencukupi menyalin, “Pendeknya daerah-daerah takluk Islam pada masa itu merupakan gelanggang pengembaraan ulama-ulama dari satu tempat ke satu tempat yang lain. ... Kemiskinan tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk mengembara, mereka juga tidak menghiraukan kesukaran-kesukaran dan bahaya-bahaya dalam perjalanan. Ini kerana keyakinan yang mendalam dalam jiwa mereka bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu jihad, sesiapa yang mati kerana menuntut ilmu maka matinya adalah dikira syahid.” (muka surat 90)
Walaupun beralih kepada perkara lain, saya tertarik menyalin kata-kata berikut: “Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: Pemerintahan itu adalah seperti pasar yang menyediakan barang-barang dagangan untuk dibeli, kalau pasar itu menjual barang-barang yang baik, maka orang akan mendapat barang yang baik, tetapi kalau pasar itu menjual barang-barang yang buruk, maka orang akan mendapat barang yang buruk.” (muka surat 50)
Kalau diperhatikan petikan-petikan yang dikutip hanya daripada halaman-halaman 50, 80, 83, 87 dan 90 dan jika disatukan baharu sehalaman panjang sebenarnya. Maka eloklah dibaca juga sebanyak hampir 475 lebih muka surat yang lain itu. Buku-buku berunsur keilmuan lazimnya mengandungi ‘isi’ dalam setiap halaman. Saya sendiri akan terus menelaahnya dari semasa ke semasa.
Sebagai mengakhiri, sedikit temeh, barangkali elok juga saya sentuh perkara berkaitan dengan penggunaan ejaan dalam Dhuha Al-Islam.
Kita dapati dalam jilid I “Lujnah Al-Taalif Wat-Tarjamah Wan-Nasyri, Kahirah” dieja “Lujnah At-Taalif Wattarjemah Wannasyri, Kahirah”; “Abbasiah, Abbasiyah Abasiah” menjadi “Abbasiyah”; “Al-Makmun” bertukar dalam jilid II menjadi “Al-Ma’amun”; “Al-Fihrist” menjadi “Al-Fahrasat”; “Ibnul-Muqaffa” menjadi “Ibn Al-Mukafak”; “Al-Mubarrad” menjadi “Al-Mubarad, Al-Mubarrad”; “Kalilah Wa Dimnah (h.202), Kalilah serta Dimnah (h.162), Kalila wa Dimnah, Kalilah dan Dimnah (h.243)” menjadi “Kalilah dan Dimnah (h.86), Kulailah Wa-Dimnah (h.341)”; “Al-Mawatta” (h.228) menjadi “Al-Muwatta’” (h.290).
Tentulah peranan penyunting penting untuk mengelakkan ketidakseragaman berlaku apalagi buku-buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tambahan pula dikarang oleh orang yang sama.
No comments:
Post a Comment