Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 44/2020: Malang seorang penyair.

Menyusuli hari ini sebuah lagi karya intelek besar Mesir; Dr. Ahmad Amin, Dhuha Al-Islam Jilid I, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, cetakan pertama, xiv, 456, $12.
Judul kecilnya “Mengkaji kegiatan sosial dan pelbagai corak kebudayaan di zaman permulaan kerajaan Abbasiah”. Penterjemahnya ialah Osman bin Haji Khalid dan Mohd. Marzuki bin Hj. Shafie (penterjemah Fajar al-Islam, 1980). Penulis khat ialah Sulaiman bin Awang. Teks sumbernya berjudul, Dhuha Al-Islam (Al-Awwal), edisi kelima, Lujnah Al-Taalif Wat-Tarjamah Wan-Nasyri , Kaherah.
Edisi bahasa Melayu buku ini terbit lebih awal daripada Fajar Al-Islam. Jadi, kenyataan dalam Kata Pengantarnya, lebih-lebih lagi menepati, “Kita semua menyedari bahawa buku-buku yang menghuraikan sejarah dan kebudayaan Islam secara terperincii begini amat berkurangan sekali yang telah diterbitkan di dalam bahasa Kebangsaan.” (muka surat v)
Manakala pengarangnya sendiri menyatakan, “Walau bagaimanapun, tidak diragui bahawa kehidupan sosial yang ditempoh oleh kerajaan Bani Abbas itulah yang mencorakkan sains dan kesusasteraan dengan corak-corak yang khusus, dan dialah juga yang memberikan ciri-ciri tertentu, yang mana sudah tentu tidak wujud kalau kerajaan Bani Umaiyah masih terus berkuasa. / Hal inilah yang kita akan cuba terangkan dalam bab berikut, tetapi hanya terbatas kepada kehidupan sosial, yang cukup berkesan kepada bidang-bidang ilmu pengetahuan sahaja.” ( muka surat xii).
Buku Jilid I ini dikira tebal. Bagaimanapun ia mengandungi dua Bahagian. Bahagian Pertama “Kehidupan Masyarakat Dalam Zaman Pertama Kerajaan Bani Abbas” disokong enam bab. Bahagian Kedua “Hal-hal Kebudayaan di Zaman Bani Abbas” terdiri daripada lima bab.
Seperti juga dalam buku Fajar Al-Islam, halaman-halaman akhir buku ini disenaraikan juga peristiwa-peristiwa penting, iaitu yang berlaku di zaman Bani Abbasiah. Ada 43 peristiwa dipilihnya meliputi pendirian kerajaan, permulaan kekhalifahan berkenaan, pembunuhan dan kematian tokoh-tokoh penting. Sebagai contoh, kematian imam-imam mazhab Sunnah wal-Jamaah dikira sebagai peristiwa besar: Abu Hanifah (pada 150H=773M); Malik bin Anas (179H=795M); Imam Shafiee (204H=819M); dan, Imam Ahmad bin Hanbal (241H=855M).
Barangkali tidak janggal saya memilih secebis pemerian tentang perbukuan dalam buku Dhuha Al Islam ini.
Saya melintasi kata-kata pengarang, “Tetapi ketika berkuasa kerajaan keluarga Sasan (T.M. 226-652), kesusasteraan dan ilmu-ilmu bangsa Parsi dipergiatkan semula. Maharaja-maharaja Sasan menunjukkan minat mereka terhadap ilmu pengetahuan, menggalakkan penterjemahan dan karang-mengarang. Seorang Maharaja mereka (Ardasyir Babik, hidup T.M. 226-261) mengutuskan satu rombongan utusan untuk mencari buku-buku di negeri-negeri India, Cina dan Roman. Demikian juga halnya di zaman Sabur, putera Ardasyir, dan di zaman Kisra Anu Syirwan.” (muka surat 190-191)
Salah seorang khalifah yang berjasa dalam bidang perkembangan ilmu ialah al-Ma’mun. Dalam senarai peristiwa penting itu pada bilangan 21 dinyatakan, pemerintahan Al-Ma’mun, 198H=813M [bermula]. Apakah satu daripada banyak, yang berlaku ketika al-Ma’mun memerintah?
Buku ini tidak mempunyai indeks subjek, nama dan seumpamanya. Jadi saya perlu membelek dan mencari tempat-tempat yang membincangkan peranan beliau dalam zaman Bani Abbasiah itu. Bukan mudah mencungkil maklumat melalui kaedah ‘kuno’ ini.
Ahmad Amin menyatakan, “Dari segi menggalakkan bidang-bidang ilmu, maka kesan yang besar sekali telah ditinggalkan oleh khalifah-khalifah Al-Mansur, Al-Rashid dan Al-Ma’mun. Mereka membelanjakan wang kerana menggalakkan demikian, mengadakan beberapa persidangan debat dan forum, menyumbangkan usaha menerbitkan buku-buku, mendirikan perpustakaan, menggalakkan kerja terjemahan.” (muka surat 124)
Saya kebetulan pula membelek, Mahayudin Hj. Yahaya, “Pengertian Sejarah Islam dan Permasalahannya. Kuala Lumpur: Penerbitan Sarjana (M) Sdn. Bhd., 1984, cetakan pertama.
Sedikit tulisan Mahayudin berkaitan: “Terdapat beberapa faktor yang menolong kelahiran zaman ‘Abbasiyyah sebagai satu zaman kemajuan ilmu pengetahuan di dalam sejarah tamadun Islam. Faktor pertama ialah wujudnya kegiatan di bidang penterjemahan. Kegiatan ini bermula pada zaman Khalifah al-Ma’mun pada 198/813 apabila beliau mendirikan Bayt al-Hikmah sebuah institusi sains yang dibina di Baghdad. Fungsi institusi ini ialah menjalankan kegiatan penterjemahan buku-buku falsafah dan sains dari bahasa Yunani kepada bahasa Arab.” (muka surat 46-47)
Seterusnya sedikit cabutan atau sentuhan terpilih daripada buku Dhuha Al-Islam.
Kata Ahmad Amin, “Pendapat Ibn Khaldun sangat liar lagi agresif mengenai ciri-ciri bangsa Arab, dan jarang sekali kita dapati seseorang penganut konsep anti-Arab yang berani berterus terang seperti Ibn Khaldun. Walau bagaimanapun, pada pendapat kita, beliau adalah seorang Islam sejati yang bebas dengan fikirannya dalam lingkungan batas agama.” (muka surat 62)
Sebenarnya, pendapat Ibn Khaldun menjalar dalam banyak halaman buku ini. Kita dapat mengenali beliau dan ketokohan dengan membaca petikan isihan Ahmad Amin dalam memantapkan kajian dan penulisan Dhuha Al-Islam.
Seperkara yang juga menarik diperikan ialah peristiwa penyair bangsa Farsi, Ismail bin Yasar yang diminta bersyair di hadapan Khalifah Hisham bin Abdul Malik. Sepuluh baris syair beliau telah dimuatkan. Sayangnya syair berkenaan dan banyak lagi syair-syair yang lain tidak pula dibahasa-Melayukan. Sedangkan dalam Fajar Islam syair-syair yang dimuatkan diterjemahkan. Saya tidak dapat menggarap makna sebenarnya!
Sambung Ahmad Amin, “Khalifah Hisyam murka kepadanya [Ismail bin Yasar] dan berkata: “Apakah kamu mahu bermegah-megah kepada aku, bersyair dengan memuji-muji dirimu dan juga bangsamu?” “Rejamkan dia ke dalam air.” Kemudian dia direjam ke dalam air kolam sehingga hampir-hampir kehabisan nafasnya. Setelah itu Khalifah Hisyam memberikan perintah supaya dia dikeluarkan dari kolam dan dibuang negeri ketika itu juga ke Hijaz.” (muka surat 28)
Tentang Ismail Yasar ini saya membelek balik Fajar Al-Islam dan terdapat beberapa petikan syair beliau dimuatkan (muka surat 162-163). Sungguhpun syair ini tidak sama dengan yang termuat dalam Dhuha Al-Islam dan dideklamasikan di hadapan khalifah, saya petik sedikit untuk memberi gambaran dan memahami sebab-sebab kemurkaan Khalifah itu.
“Ramai pamanku telah ditabalkan/Budiman, mulia lagi bangsawan/Di Parsi, pahlawan berkuda digelar bangsawan/Ketepikan sahaja kemegahanmu atas kami/Ketepikan sahaja dustamu. Katakanlah hal-hal yang benar/Bertanyalah, kalau belum mengetahui darihal kami/Di masa itu puteri-puteri kami terdidik/Sedang puteri-puteri kamu ditanam hidup-hidup kerana kebodohan kamu.”
Banyak benar ilmu (atau pengetahuan) terukir dalam buku ini. Dengan membacakan pemerian pengarangnya tentang Ibnu Muqaffa sehalaman pun (muka surat 51-52) seakan sebuah buku lain dibaca! Bahkan, dalam buku ini ada satu bahagian khas berjudul “Ibnul-Muqaffa”, muka surat 210-248) sebagai mewakili pembicaraan “kebudayaan Parsi.”
Barangkali tidak tidak sesia saya memanjangkan sedikit lagi. Ahmad Amin memilih Hunain bin Ishak (Abu Said – 194-264H) mewakili pembicaraan beliau terhadap pengaruh Greek dalam kebudayaan Islam. Hunain pernah bertugas di Baitul Hikmah dan kemudian menjadi penterjemah kepada beberapa orang khalifah (Al-Muktasim, Al-Wasik, dan Al-Mutawakkil). Beliau menguasai empat bahasa – Parsi, Greek, Arab dan Suryani. Semenjak berusia 17 tahun beliau sudah menterjemah buku-buku daripada bahasa Greek ke bahasa-bahasa Arab dan Suryani. Apabila beliau semakin matang sebahagian buku-buku terjemahan itu diperbaiki. Beliau juga menulis buku-buku sendiri.
“Pernah diterangkan bahawa ia menterjemahkan ke bahasa Suryani lebih kurang 95 buah buku karangan Galien [bidang perubatan], sebanyak 39 buah dari buku-buku tersebut diterjemahkan pula ke bahasa Arab, dan ia juga membaiki enam buah buku yang diterjemahkan oleh murid-muridnya di dalam bahasa Suryani dan hampir-hampir 70 buah dalam bahasa Arab. Beliau juga membaiki 50 buah buku yang diterjemahkan ke bahasa Suryani oleh Sarjis, Ayub dan Azzahawi dan ahli-ahli perubatan yang lain.” (muka surat 315)
Saya tidak akan melajakkan tulisan ini, kecuali memberitahu, bahawa untuk mewakili pembicaraan kebudayaan Arab, Ahmad Amin memilih Al-Mubarrad pengarang “Al-Kamil” sebagai tokoh terulungnya.
Sesungguhnya, sangat bijaksana Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan buku seperti ini ketika alam perbukuan Melayu sedang jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang pengkhususan keilmuan tinggi lagi ilmiah.
Dhuha Al-Islam Jilid I ini seharusnya dimiliki. Kalau tiada, carilah. Atau pergilah ke perpustakaan. ‘Mintak-mintak’ ia masih belum dilupuskan daripada raknya. Percayalah, sekarang pun ia masih sangat berharga.
Image may contain: text
Zulkifli Salleh, Ahmad David Kholilurrahman and 11 others
2 comments
2 shares
Like
Comment
Share

Comments

No comments:

Post a Comment