Rapuh 43/2020: Pembaharuan seabad
Ketika terbit pada tahun 1980, "Kata Pengantar"nya menyatakan, bahawa “bacaan yang diperlukan untuk tujuan ini [pengajian Islam] sangat berkurangan”. Ke arah mengatasinya, terbitlah Dr. Ahmad Amin, “Fajar Islam”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, xxi, 420 halaman, $13. Buku ini asalnya dalam bahasa Arab, Fajar al-Islam, Maktabah al-Nahdhah al-Misriah Kaherah, 1955 [edisi ketujuh; edisi pertama 1928?, 1933? ]. Penterjemahnya ialah Ustaz Mohd. Marzuki Hj. Shafie dan penyuntingnya Ismail Mohamad.
Kalau dibaca senarai “Peristiwa-peristiwa Penting Tahun 12 hingga 132 Hijrah (Tahun 632 Hingga 749 Masehi)” pada muka surat 417, semacam ‘Apendiks’nya, didapati peristiwa terawal tercatat ialah kewafatan Rasulullah digantikan oleh Abu Bakar sebagai Khalifah pada 29 Mac 632. Peristiwa terakhir, yang ke-33, ialah “Kerajaan Bani Umaiyah digulingkan” iaitu pada 20 Ogos 749.
Sedangkan dalam teks sebenar, perbincangan terakhir adalah mengenai “Al-Qadariah dan Al-Mu’tazilah”, muka surat 388-416. Dengan maklumat ini dapatlah ditelah jangka masa liputan Fajar Islam ini.
Saya melihat pula bab-babnya yang tujuh (7) semuanya. Masing-masing bab terpecah kepada beberapa bahagian menjadikan keseluruhannya 21 bahagian. Bab Pertama berjudul “Bangsa Arab di Zaman Jahiliah” dan Bab terakhir, Ketujuh “Golongan-golongan Agama”.
Saya tidak bersedia mengira jumlah perenggan dalam buku ini. Memadai dipetik satu sahaja tanpa kriteria khusus rasional pemetikannya.
“Dalam buku “Al-Sirah” Ibn Hisyam mengatakan, “Suwaid ibnu Samit, yang digelar oleh sukunya sebagai Al-Kamil kerana kepandaian serta kemuliaan nasab keturunannya, pada suatu ketika ia tiba di Mekah kerana mengerjakan haji atau ‘umrah. Manakala Rasulullah S.A.W. mendengar akan perihalnya, ia menyoal sesuatu kepadanya dan mengajaknya mengikut perintah-perintah Allah serta memeluk agama Islam. Suwaid menjawab: “Mungkin agama pada kamu itu seperti yang ada pada saya juga”. Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah yang ada pada kamu?”. Jawab Suwaid: “Kata-kata hikmat dari Luqman”. Rasulullah berkata: “Tunjukkan kepada saya”. Suwaid menunjukkan kepada Rasulullah kata-kata hikmat itu, dan Rasulullah mengatakan: “Kata-kata ini baik. Kata-kata yang ada pada saya lebih baik lagi, iaitu Quran yang Allah turunkan kepada saya, menjadi petunjuk serta cahaya”. Kemudian Rasulullah membaca Quran kepadanya, dan mengajaknya memeluk agama Islam. Suwaid tidaklah lagi menjauhinya, dan ia berkata: “Inilah kata-kata yang terbaik”. (muka surat 88)
Buku ini telah lama terperap di rak. Sekarang, tahun 2020, apabila dibelek semula saya dapati tanda-tanda saya telah membacanya suatu ketika dahulu. Tentunya ketika baharu membelinya. Warna hijau Stabilo bacaan pada kalimat-kalimat dan perenggan-perenggan tertentu ada di sana-sini, menandakan ‘penting’ atau penekanan ketika membaca. Ia melarat sehingga muka surat 100 (sebahagian Bab Kedua berjudul “Agama Islam”). Jadi bolehlah diandaikan muka surat 101-420 belum dikhatamkan.
Pun ada juga sedikit lagi tanda warna Stabilo itu melangkau jauh pada halaman-halaman menuju ke pertengahan buku, yang bermakna saya pun telah melintasi (membaca) secara terpilih perenggan-perenggan itu. Lazimnya, ini berlaku kerana ingin mengetahuinya segera, perkara-perkara yang dibincangkan.
Yang juga, sesuai dinyatakan di sini, bahawa terdapat catatan tertentu pada Bab Keenam “Pergerakan Dalam Bidang Agama Secara Detail”, di halaman 285 yang berjudul “Bahagian Kedua Hadis”. Catatan tulisan tangan saya itu berbunyi: “Bab ini banyak dikritik. Lihat antaranya, dalam “Salah Faham Terhadap Hadis”, 1986.” Ini bermakna pada ketika itu saya telah membaca buku “Salah Faham Terhadap Hadis” kemudian melintasi bab berkaitan dalam buku Fajar Islam. Rujuk silang ini difikirkan wajar dan membantu untuk pembacaan akan datang.
Dalam buku Fajar Islam ini “Prakata Cetakan Pertama” ditulis oleh Dr. Taha Hussein. Sungguhpun edisi teks sumber terbitan 1955, prakata ini bertarikh Disember 1928, iaitu 92 tahun dahulu, pada hari ini. Kalau dikira usia Dr. Ahmad Amin ketika itu ialah 42 (lahir 1886).
Saya melintasi kalimat Dr. Taha Hussein, yang sedikit mengelirukan saya. Kata beliau, “Kami bertiga adalah saling bekerjasama dalam penulisan buku ini, meskipun bahagian-bahagian kami berbeza-beza. Sungguhpun Ahmad Amin mengkaji secara perseorangan bahagian kehidupan mental, tetapi beliau bersama-sama kami untuk membacanya, dan kemudian kami meluluskan apa yang telah diluluskannya. Sungguhpun Abdul-Hamid Al-Ibadi mengkaji secara perseorangan bahagian kehidupan politik, tetapi kemudian dibacanya kepada kami, dan kami meluluskan apa yang telah diluluskannya itu. Saya sendiri mengkaji bahagian kehidupan sastera dengan dibaca serta diluluskan oleh kami bertiga. Maka dengan cara demikianlah kami semua bekerjasama.” (muka surat xxi)
Buku ini mempaparkan nama Ahmad Amin sebagai pengarangnya di kulitnya. Layaran internet tidak menafikannya. Lalu, saya sendiri merumuskan, bahawa di antara mereka bertiga masing-masing mengkaji bidang-bidang (mentaliti, politik dan kesusasteraan) yang dinyatakan itu. Mereka saling menyemak kerja-kerja yang selesai dilakukan. Hasil tulisan yang muktamad diterbitkan berasingan menggunakan nama sendiri-sendiri.
Jadi, apakah lagi dua karya yang lain itu? Saya tidak dapat membekalkan judul-judul dua buku lain yang dikarang oleh Taha Hussein dan Abdul-Hamid Al-Ibadi mengkhusus bidang-bidang kepakaran mereka seperti disepakati, kalau benar-benar rumusan ini betul.
Dalam senarai Bibliografi di muka surat 419-420 yang berjumlah 75 buah, saya dapati ada juga buku-buku bukan berbahasa Arab, iaitu sebanyak 14, terdiri 13 dalam bahasa Inggeris (tulisan-tulisan O’leary, Boer, Levy, Iqbal, Sykes, Dresser, Syed Ameer Ali, Macdonald, Browne, dan Abdul Rahim) dan sebuah dalam bahasa Perancis (karya Goldziher).
No comments:
Post a Comment