Rapuh 42/2020: Indonesia dari perspektif Jerman
Belekan sebahagian Bab I “Indonesia Pada Awal Abad Kedua Puluh”, muka surat 1-25 lebih daripada memadai untuk kembali mengingati telaahku terhadap sekelumit pelajaran sejarah ketika di sekolah dan di universiti sekitar setengah abad dahulu.
Saya mengambil pendekatan mudah. Mengutip tulisan pengarang karya, di sana-sini. Sedikit-sedikit mungkin kita akan teringat semula pernah membaca, atau melalui situasi yang hampir-hampir demikian dalam hayat sendiri.
Kata Dahm, istilah “Indonesia” digunakan pertama kali oleh seorang British pada tahun 1850. Bagaimanapun ahli etnologi Jerman, Adolf Bastian menggunakan istilah itu untuk buku karangannya, Indonesia orde die Inseln des Malaiischen Archipels (Indonesia or the Islands of the Malay Archipelago), Berlin, Ferdinand Dummler, 1884-94. Tetapi penulis lain, J. R Logan menggunakan istilah “Malayunesia” dalam tahun 1850 dalam Journals of the Indian Archipelago and Eastern Asia, Jil. IV. (muka surat 1-2).
“Tetapi selepas Terusan Suez dibuka pada tahun 1869 dan kapal-kapal berulang-alik melalui Laut Merah, maka beribu-ribu orang dari Pulau Jawa dan lain-lain pulau pergi ke Tanah Suci setiap tahun. Akibat daripada itu mereka telah sedar akan kebangkitan Islam secara menyeluruh, yang berkaitan dengan fahaman pan-Islamisme apabila mereka kembali.” ( muka surat 13)
“Pihak berkuasa tiba-tiba sedar bahawa pendidikan adalah masalah genting. Mereka tidak dapat membenarkan guru-guru di pesantren yang mengembangkan kebencian terhadap orang kafir dan pengikut mereka, golongan priyayi, menguasai bidang itu. Pemberontakan telah berlaku berulang kali kerana pengaruh pesantren dan haji-haji telah dapat dilihat, ...” (muka surat 17)
Dalam menghadapi penentangan Aceh, Snouck Hurgronje menasihati kerajaan Belanda menggunakan taktik “melagakan golongan sekular dengan golongan ulama dengan cara membuat perjanjian dengan golongan “hulubalang” dan menentang para ulama.” (muka surat 8)
Edward Douwes Dekker, bangsa Serani, menulis surat kepada Ratu dengan menyatakan pada ayat terakhirnya: “Tidak, Paduka Ratu, negara ini bukan kepunyaan Ratu. Negara ini negara kami, tempat tumpah darah kami. Suatu hari kelak kami akan bebas, bebas buat selama-lamanya. Kami sudah bersumpah.” (muka surat 50)
Saya membaca Jadual I pada muka surat 21 tentang statistik sekolah dasar di Hindia Timur Belanda pada kira-kira tahun 1900. Daripada sejumlah 1501, sekolah kerajaan berjumlah 601, sekolah swasta 359 dan sekolah mubaligh 541.
Maka, tidak terkejutlah saya ramai orang Kristian berlipat kali ganda sehingga sekarang di negara itu. Perhatikan pada tahun 1905 penduduk Kristian di Jawa dan Madura berjumlah 24,663 dan di luar kepulauan seramai 433,131 daripada jumlah penduduk ketika itu berjumlah 37 juta. (muka surat 21, 23)
Tentulah kita mahu statistik status berkeagamaan negara jiran itu yang terbaru untuk mencongakkan peratusan peningkatannya.
Semenjak dahulu lagi, sejarah Indonesia dalam apa aspek pun sangat mengasyikkan. Penganalisisan fakta-fakta sejarahnya sama ada dari kaca mata luaran atau dalaman tetap memberi rumusan yang menjana minda untuk membestarikan seseorang. Seharusnya apabila fenomen-fenomena sejarah yang mempengaruhi situasi semasa sentiasa disedari berperanan memberikan impak dan implikasi yang seiring atau sebaliknya, maka pelaku-pelaku semasa tidak mengulangi perlakuan yang merugikan kepentingan sendiri atau yang diwakili. Malangnya, semakin negara melangkah ke hadapan dalam kerencaman, kerumitan dan kompleksiti fenomena sejarah yang muncul melanda pelaku-pelaku dan pengikut-pengikut sampai menggelicirkan perjuangan.
Saya membelek buku Berhard Dahm, Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, cetakan pertama, $12, xii, 366 halaman.
Tidak seperti lazimnya, buku ini asalnya dalam bahasa Jerman. P. S. Falla menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris berjudul History of Indonesia in the Twentieth Century, Pall Mall Press Limited, London 1971. Edisi bahasa Melayu berdasarkan teks sumber bahasa Inggeris diterjemahkan oleh Abd. Aziz Hitam dan Wan Azaham Wan Mohamad.
Buku ini mengandungi IX bab. Kalau saya terus membelek Bab II “Bermulanya Nasionalisme Indonesia”, muka surat 26-52, kemungkinannya hantaran di laman ini lagi meleret.
No comments:
Post a Comment