Sunday, 27 December 2020

 Rapuh 41/2020: Usahasama dengan Penerbitan Franklin

Pada tahun 1956, urusan penterjemahan terpindah daripada Pejabat Karang Mengarang kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai suatu badan khas berwibawa dalam pembinaan bahasa Melayu peralihan itu menepati peranannya.
Namun, untuk membaca buku-buku terjemahan pada awal-awalnya tidak mudah. Buku-buku tidak seberapa pun. Selain itu, paling boleh diharapkan barangkali menunggu buku-buku bidang kesusasteraan muncul. Untuk mengharapkan buku-buku bukan kesusasteraan tentulah tidak munasabah. Isu-isu kepakaran, peristilahan dan lain-lain menjadi halangan utama ehwal penerbitan dalam dekad-dekad awal kemerdekaan.
Kali ini saya hanya menyentuh kegiatan penterjemahan berdasarkan buku-buku koleksi peribadi. Sambil lalu mahu disebut bahawa saya memiliki Anak Raja Anak Papa karya Mark Twain yang diterjemah oleh Za'ba dan terbit pada tahun 1958. Edisi milik saya terbit tahun 1962, cetakan ketiga. Saya juga menyimpan cetakan terbaru buku ini tahun 2001.
Difahamkan buku pengajian tinggi pertama berupa hasil terjemahan terbit pada tahun 1966, iaitu C.H. Phillips, The History of India terjemahan Hassan Ahmad.
Pada peringkat awal wujudnya Dewan Bahasa dan Pustaka tidak nampak mendahului pihak-pihak lain dalam bidang penterjemahan buku-buku ke dalam bahasa Melayu. Pada tahun 1967 terbit, Darihal Cuaca, (Siri Perpustakaan Sekolah DBP. Bil. 69), $2, 122 halaman, dengan kerjasama Penerbitan Franklin Kuala Lumpur. Buku ini asalnya berjudul All About the Weather karangan Ivan Ray Tannehill, Random House, Inc., New York, 1953. Tiada keterangan lain mengenai terjemahan ini misalnya nama penterjemah dan lain-lain.
Saya petik, sedikit contoh mengisi laman, “Hari ini kita lebih banyak mengetahui tentang cuaca. Kita telah mengembara jauh sejak manusia mengagak bahawa hujan itu jatuh dari lubang-lubang di langit atau pun bahawa kilat adalah petir yang dilemparkan oleh Zeus yang sedang marah. Kita telah terlalu jauh meramalkan cuaca dari tanda-tanda cuaca dan cara-cara kuno.” (muka surat 121-122)
Sebuah lagi buku ialah Herman Schneider dan Nina Schneider, Batubatan, Sungai dan Bumi Yang Berubah-ubah (Buku Pertama Kajibumi), (Siri Perpustakaan Sekolah DBP Bil. 71), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967, viii, 157 halaman, $2. Buku asalnya berjudul Rocks, Rivers and the Changing Earth, William R. Scott Inc., New York, 1952. Buku ini juga diterbitkan dengan kerjasama Penerbit Franklin, Kuala Lumpur. Tidak juga kita ketahui penterjemahnya.
Buku ini mempunyai perenggan pertama berbunyi, “Cerita tentang bumi ada di dalam daun dan batu; dalam segumpal awan dan dalam laut. Daun itu pada mulanya adalah batu; awan pada satu ketika adalah laut. Bumi menceritakan kisahnya berulang-ulang – daun akan menjadi batu, awan akan bertukar menjadi laut pula.” (muka surat 3)
Saya kira sesuai juga menyebut beberapa buku lain sungguhpun tidak diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Ini kerana buku-buku yang berikut ini melibatkan kerjasama Penerbitan Franklin menerbitkannya. Buku pertama , D. Moreau Barringer, Akhirnya Airlah Yang Berkuasa, Syarikat Berhad Penerbitan dan Perdagangan Malaysia, Kuala Lumpur, 1963, 199 halaman, $2.80. Judul asalnya, And the Waters Prevailed, E.P. Dutton & Co., Inc., New York, 1956. Buku ini diterjemah oleh Abdul Rahman Rahim dengan ilustrasi oleh P.A. Hutchison.
Kata pengarangnya, “... jika dengan cerita ini saya berjaya mendapat perhatian tuan, dan barangkali menambah luasnya pintu ke arah pelajaran yang lebih lanjut, maka cerita saya ini telah berjaya mendapat apa yang dimaksudkan.” (muka surat 9).
Buku kedua, Frances Winwar, Napoleon Dalam Pertempuran Waterloo, terbit pada tahun 1964, 120 halaman, $2.25. Buku asal berjudul Napoleon and the Battle of Waterloo, Random House, Inc., New York, 1953. Buku ini diterjemah oleh Jaafar Mali dan lukisan oleh David Stone.
Sekadar menyalin seperenggan, “Yang terpenting dari semuanya ialah, Bonaparte berkerja dengan pakar undang-undang yang terbaik di zamannya mengenai sistem undang-undang yang dikenal sebagai Kitab Undang-undang Napoleon. Untuk menyusunnya memerlukan masa yang lama, tetapi itu adalah suatu pekerjaan penting dan berharga. Kitab undang-undang Napoleon dianggap sangat bersifat revolusioner dengan perubahan-perubahan dan pembaharuan-pembaharuan yang dibawakannya. Ditentukan di dalamnya bahawa tidak ada martabat kebangsawanan yang turun-temurun. Semua anak-anak dalam satu keluarga mesti mendapat bahagian yang sama dalam pusaka, dan bukannya sebahagian terbesar jatuh ke tangan anak yang sulung seperti lazim.” (muka surat 54).
Sebuah lagi buku ialah Richard J. Walsh, Kisah Pengembaraan Marco Polo, 1963, 121 halaman, $.180. Terjemahan buku asal, Adventures and Discoveries of Marco Polo, Random House, New York, 1953, dilakukan oleh Muhammad Haniff dan ilustrasi oleh Cyrus Leroy Baldridge.
Tentang buku ini, Walsh menulis dalam “Dari Pengarang”, “Buku ini adalah berdasarkan buku asli Marco Polo. Tidak sepatah pun kata-kata atau pun perbualan di dalamnya, saya reka atau buat sendiri. Perkara-perkara yang tersebut di dalamnya dipetik daripada edisi Marsden yang terkenal itu.”
Syarikat Berhad Penerbitan dan Perdagangan Malaysia menyenaraikan buku-buku lain yang diterbitkan secara usahasama dengan Penerbitan Franklin: Biarlah Badai Mengamuk (oleh Rose Wilder Lane, terjemahan Nurdin); Panggilan ke Alam Bebas (Jack London, terjemahan Abdul Rahman Rahim); Robohnya Jembatan San Luis Rey (oleh Thornton Wilder, terjemahan Abdul Rahman Rahim); Kisah Hidup Thomas Elva Edison (oleh Henry Thomas, terjemahan Daud Hamzah); Buku-buku Yang Merobah Dunia (oleh Robert Downs, terjemahan Abdul Rahman Rahim); dan, Wanita-wanita Terkemuka (oleh Sarah K. Bolton, terjemahan Qamariah Hamzah).
Ternyata, Penerbit Franklin berkerjasama dengan pihak-pihak lain juga. Dalam hal ini, saya juga memiliki senaskhah, W.C. Smith, Islam Dalam Sejarah Modern, Bhratara, Djakarta, 1962, xii, 223 halaman. Judul asalnya, “Islam in Modern History”, Princeton University Press, Princeton, New Jersey, 1957.
Ketika saya di Medan, Indonesia pada 21 Januari 1995 salah sebuah buku yang sempat saya beli ialah H.A.R. Gibb, Islam Dalam Lintasan Sejarah, Bhratara Karya Aksara, Jakarta, 1983, cetakan keempat [cetakan pertama 1960, cetakan kedua 1961, cetakan ketiga 1964], ix, 153 halaman. Tercatat harga tulisan pensil, Rp4500. Buku ini berjudul asal Mohammedanism, The New Library World Literature, USA, 1949, edisi kedua 1953.
Saya baca pada halaman awal di dalam kedua-dua buku ini: “Diterbitkan atas kerdjasama dengan Jajasan Penerbitan Franklin Djakarta – New York.” Penerjemah edisi Indonesia ini adalah orang yang sama iaitu Abusalamah.
Sedikit layaran maya, membekalkan maklumat bahawa Franklin Publication (1952-1978), Amerika Syarikat sememangnya mengadakan kerjasama dengan banyak negara di seluruh dunia untuk menerbit dan menterjemah buku-buku Amerika ke dalam bahasa-bahasa negara-negara berkenaan. Dengan cara ini hubungan dengan negara-negara itu terjalin erat serentak mengenali pelbagai aspek kehidupan Amerika Syarikat. Bagaimanapun Franklin menghadapi masalah kewangan. Pembubaran organisasi ini diputuskan setelah lembaganya mendapati kebanyakan misinya telah tercapai.
Image may contain: cloud, text that says "DARIHAL CHUACHA oleh IVAN RAY TANNEHILL DEWAN BAHASA DAN DAN PUSTAKA"
Zulkifli Salleh, M Jusoff Taib and 18 others
3 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

  • Alhamdulillah saya punya buku Rihlah Marcopolo 3 jilid edisi Arab yang diselemggara oleh William Marseden
    1
    • Like
    • Reply
    • 28 w
  • Saya percaya, naskhah tuan itu lebih berharga kerana sebenar-benar karya Marco Polo yang lengkap, dalam rupa terjemahan. Buku yang saya nyatakan ini dikira sebagai ringkasan. Hanya ia mematuhi teks asal supaya tidak bercanggah dengan turutan cerita Marco Polo sendiri. Dalam buku ini ada juga dinyatakan petikan daripada sumbernya itu. Terlanjur mereaksi saya petik sedikit pemerian tentang sebuah tempat yang dilalui beliau: “Di sinilah tempat yang penghabisan bagi Marco merasakan kekuasaan Khan yang penuh. Sesudah ini, beratus-ratus batu ke selatan, mereka mendarat di Semenanjung Tanah Melayu yang menurut kata Marco “diperintah oleh Raja Melayu sendiri dengan tidak membayar upeti kepada raja-raja yang lain.” (muka surat 105). Untuk maksud nostalgia, dicatatkan bahawa asalnya buku Marco Polo ini terjual di “Pustaka Al-Mashoor, 44-A, Teck Soon Street, Penang.” Kedai itu telah dilipati sejarah.
    2
    • Like
    • Reply
    • 28 w
  • Buku Herman Schneider dan Nina Schneider, Batubatan, Sungai dan Bumi Yang Berubah-ubah (Buku Pertama Kajibumi), telah diiklankan berwarna dalam Dewan Masyarakat, Mei 1968.
    1
    • Like
    • Reply
    • 27 w

No comments:

Post a Comment