Pantulan F/01/05/2018: Masih Jauh Destinasi
Selain mencari unsur-unsur keindahan dalam sesebuah ciptaan sajak, kita boleh juga mendapat gambaran tentang suasana semasa masyarakat berdasarkan tema yang diolah oleh karyawan berkenaan. Sesekali aspek ini seyogia diperhati. Dalam konteks ini saya melintasi sajak Ahmad Sarju, Kelang, “Yang Kita Lihat Kini”, (Ungkapan Suci), Utusan Kiblat, Jun 1973, muka surat 27. Terpampanglah bahawa 45 tahun dahulu penghayatan masyarakat terhadap pengajaran Islam tidak mendalam dan meluas. Bahkan “kita … menunda perjuangan/… menegakkan sinar Islam.” Ketika itu yang masih nyata, “… azan beralun tenang” sedangkan “di ruang suci kekosongan…”
Bersyukurlah kita dikurniai usia panjang. Lalu kita sekarang masih berpeluang menyaksikan lagi imej itu dalam sekitaran terkini – generasi muda-mudi dahulu yang kini bersara semuanya, generasi bayi dahulu menjadi remaja serentak mengganti. Dan perubahan ini secara langsung mewakili realiti. Apakah suasana dahulu itu sudah berlalu dan para penganut semasa melimpahi ruang solat, beramai-ramai beribadat mengimarahkan masjid-masjid dalam setiap kariah? Dalam kecanggihan teknologi, kepelbagaian saluran komunikasi, pecambahan para personaliti dan serba-serbi pendekatan menuntut profesionalisme, bolehkah dicipta sebuah karya baru berlainan sama sekali dengan dipaparkan di sini? Aku kira masih jauh sekali dari rasionalisasi.
Barangkali, hasrat kita sudah jelas pun. Umat Islam seharusnya terkedepan kerana kitalah umat pilihan. Malangnya sekarang, yang dirintihkan setiap hari ialah Rohingnya yang terbuang, Baitul Muqaddis yang tertawan, Kabul yang terbahang, bahkan serata tempat terbukti ummah bergelandangan bergantung belas ehsan kuasa-kuasa bertentangan pegangan dan anutan. Pengimarahan masjid sudah bukan lagi matlamat paling didukungi. Rumah Allah itu hanya tempat berkunjung seminggu sekali atau semasa saudara-mara, sahabat taulan berangkat pergi menemui Ilahi…
Tanpa kewibawaan sendiri semuanya adalah retorik mengiringi usia. Sampai bila-bila pun. Generasi berganti generasi. Sudah pasti kariah, negeri, negara dan alam Islami sekadar menjadi medan pertarungan bersegi-segi implikasi – untung dan rugi bercampur aduk jauh dari memenuhi keperluan sejati.
No comments:
Post a Comment