Saturday, 1 September 2018

Rapuh 19

Rapuh 19
Selepas makan kami tidak balik ke bilik. Berdua, kami menuju ke TIM untuk meninjau sama ada kedai buku bekas di situ masih dibuka atau ditutup. Ketika menuju ke tempat itu kami melalui rumah makan yang ada menjual buku yang aku singgahi pagi tadi. Walaupun jarak kami dengan restoran itu lebih kurang 30 meter, penjaganya tadi masih dapat mencam kami di bawah sinaran cahaya lampu jalan. Dia melambai kami dari jauh dan aku membalas hormatnya itu.
Ke arah hadapan, walaupun masih jauh, telah kelihatan kedai buku bekas sedang terbuka. Ia jelas kerana disinari cahaya lampu di dalam dan sekitarannya. Sedangkan dari tempat kami sedang berjalan itu jauhnya kuanggarkan 70-80 meter. Aku jadi sangat gembira. Kekecewaan kerana kegagalan meninjau buku-buku di kedai itu waktu pagi tadi segera lenyap.
Ketika sampai di kedai itu, di sebelahnya sedang berlangsung sesi latihan tarian tradisional oleh sekumpulan kanak-kanak yang kuanggap masih pada usia sekolah rendah. Ada muzik gamelan mengiringi dan ada pula jurulatih memerhati dan menunjuk ajar. Cahaya lampu di situ terang. Latihan itu nampaknya hanya ditontoni satu kelompok khalayak yang kecil. Kukira sebahagian mereka mungkin ibubapa dan kenalan rapat kanak-kanak penari di samping orang-orang yang terlibat secara langsung dalam program itu serta segelintir lagi orang-orang yang lalu-lalang di situ.
Akulah satu-satunya orang yang tidak menontonnya. D awal-awal kuminta menonton di luar atau merayau ke mana-mana. Kunyatakan kepadanya, masa mungkin lama perlu kuambil kerana aku telah sampai di tempat yang kuidam-idamkan. Tempat ini adalah destinasi terkeatas dalam rangka mengunjungi Jakarta.
Aku terus masuk ke premis buku itu. Penjaganya ada duduk-duduk di luar. Sebaik sahaja di dalam premis itu, terhidu bau busuk tahi kucing. Baunya merata di menjengkelkan. Ada juga kucing kurus yang masih kecil di situ. Penjaga itu sukakan kucing. Ketika sekali dia masuk, kucing kurus itu didukung dan diciumnya! Walaupun aku sangat terganggu dengan bau itu hasrat meneliti judul-judul buku tidak terhalang.
Buku-bukunya penuh di rak-rak dan bersusun-susun di meja-meja yang dijadikan tempat mempamerkannya. Tiada cara lain untuk mengetahui judul-judul yang ada kecuali dengan mengalih-alihkan susunan buku-buku itu ke sana sini secara bergilir-gilir. Cara ini pasti mengambil masa dan aku tidak fikir ada masa melakukannya ketika itu. Baki waktu niaganya tidak cukup panjang untuk aksi demikian.
Ternyata buku-buku bidang pengkhususan ada di premis ini. Dalam pada itu buku-buku cetakan Malaysia terutama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mencelah di sana sini
Penjaga kedai itu lebih lama berada di luar sambil menonton latihan tarian. Dia sekali-sekala masuk di premis. Ada air sedang dimasak dalam cerek elektrik. Dia menyediakan kopi untuk dirinya dan juga beberapa orang yang lain yang sama-sama menonton di luar. Dia juga mempelawaku untuk minum sama. Aku menolak santun. Ketika ditanya tempat asal, aku memberitahu dari Malaysia. Dia menyuarakan hasrat yang sudah lama terpendam. Ia ingin benar berkunjung ke Malaysia namun sehingga saat itu masih belum tercapai.
Kutanyakan waktu bisnes ditutup. Katanya jam 10.30 malam. Tetapi dia juga menambah, dia sanggup membukanya selagi aku sanggup pula berterusan meneliti koleksi yang ada. Terpulang kepadaku. Aku berbesar hati dengan kesudiannya. Di luar muzik iringan bergema nyaring menghingar malam. Dengan deria dengar pun aku sempat menikamatinya juga sambil memilih judul-judul buku yang ada. Hanya mataku terlepas peluang tersebut kerana keutamaan peribadi semasa.
Di situ, apabila kujumpai judul-judul yang berkenan aku akan menyemak harganya untuk membantu keputusan sama ada hendak membeli atau sebaliknya. Harga-harga itu ada ditulis tangan dengan pensil dalam matawang rupiah. Meneliti sebilangan buku dapatlah kurumuskan harga-harganya tidak terlalu rendah. Ia tidaklah pula terlalu mahal sampai menumpulkan semangat memiliki.
Dalam masa sejam aku telah dapat mengetahui judul-judul buku yang dikehendaki. Setiap kali kutemui judulnya, disemak harganya. Jika tertarik, aku akan meletakkan buku itu ke atas sebuah kerusi yang ada di situ. Beransur-ansur tersusunlah buku-buku yang terpilih. Semuanya di cungkil dari celah-celah susunan buku-buku di rak atau di meja di ruang depan premis itu.
Kemudian aku masuk ke ruang yang lebih ke dalam. Ruang ini, selain mempunyai rak-rak berisi buku-buku, menyiimpan juga benda-benda lain seperti CD, kaset, dan lain-lain. Ia tidak termasuk dalam senarai perburuanku. Pun, sekali imbas, buku-buku yang ada di ruang ini tidaklah begitu perlu dimiliki walaupun ia boleh dianggap berfaedah.
Sementara itu, dalam proses pencarian itu, ada juga seorang dua pelanggan lokal datang mencari buku. Mereka datang lebih kemudian tetapi beredar mendahuluiku. Kulihat mereka membeli sebuah dua judul yang ada di situ. Melihat perawakan, kukira mereka penuntut-penuntut institut pengajian tinggi.
Akhirnya, aku memanggil penjaga kedai supaya mengira harga buku-buku pilihanku. Dia memberitahu lazimnya harga asal didiskaun sebanyak 20%. Dan itulah yang dilakukannya. Hanya apabila jumlah semuanya berjumlah Rp 840.000 aku meminta dijadikan Rp 800.000 (RM225.55) sahaja. Pada hematku, banyaknya judul yang kubeli mewajarkan permintaan itu. Dipersetujuinya.
Tiba-tiba aku mencapai sebuah buku lain, Muslim Tionghoa Cheng Ho oleh Prof. Kong Yuanzhi (2013, Yayasan Pustaka Obor Indonesia, Jakarta, cetakan kelima). Beliau memberikan harga Rp 50,000 (RM14.10) berbanding yang tertulis Rp 75,000 (RM21.15). Salah sebuah buku yang termasuk dalam pilihanku itu diberi percuma. Katanya buku itu sedikit cacat. Rupa-rupanya novel Para Priyayi karya Umar Kayam, Grafiti, Jakarta, Oktober 2012, cetakan XIV itu tiada mempunyai halaman-halaman bermula 91 hingga 106. Yang tercetak ialah halaman-halaman 59-74 terjilid berulang dua kali. Buku-buku yang bermasalah begini biasanya kuperbaiki dengan memfoto halaman-halaman yang hilang itu daripada naskhahnya yang lain lalu menampalkan salinan fotostat itu ke buku berkenaan supaya sempurna semula.
Termasuk dalam buku-buku pilihan itu beberapa buku terbitan Malaysia. Buku-buku itu ialah “Pengajaran Bahasa & Kesusasteraan Malaysia” suntingan Prof. Mohd. Taib Osman, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1977 ; S. Othman Kelantan, “Kecenderungan Baru Dalam Novel Melayu Satu Kajian Struktur”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987; dan George McTurnan Kahin, 1980. “Nasionalisme Dan Revolusi Di Indonesia”, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama.
Penjaga itu gembira dengan transaksi yang berlangsung. Dia mempelawaku datang lagi keesokan harinya. Aku memberitahunya akan ke Bandong esok dan akan kembali mengunjungi kedai itu dua lagi. Dia memaklumkan orang lain pula yang menjaga kedai itu ketika kunjungan keduaku kelak.
Comments
Abd Rahman Mohamed Ini kah buku buku yang diborong dari Pekan Buku UM yang dah tutup tu...?
Manage
LikeShow More Reactions
Reply17w
Ahmad Said Cerita ini menyabit TIM Jakarta.
Manage
LikeShow More Reactions
Reply17w
Ahmad Said Di PBAKL tadi, di reruai Gerak Budaya, buku Chen Ho itu diletakkan harga RM38.00 (=Rp 134,717). Bandingkan dengan harga Rp 50,000 (RM14.10) atau asalnya Rp 75,000 (RM21.15) yang dipamerkan di TIM, seperti kunyatakan di atas.

No comments:

Post a Comment