Saturday, 1 September 2018

Pantulan E/02/14/2018: Sajak Ahmad Sarju, :Menebus Nama”

Pantulan E/02/14/2018: Jati diri tak sejati
Kalau dimulai dengan Abdullah Munsyi, Pendeta Za'ba, Aminuddin Baki, dan siapa lagi, berubahkah penghakisan bersiri yang belum lagi terkendali? Menguruti sejarah, segelintir terpelihara selainnya bercempera lantaran pembelaan berpasang surut diruntun pertimbangan mini jauh daripada melestarikan kemertabatan peribumi.
Yang lazimnya, sesuatu yang berharga apabila hilang pastilah meledaki ketenteraman. Tetapi, masalahnya, jika yang sedang menipis hilang itu milik bersama (dipusakai?) amat sukar untuk mendapat kesepakatan bertindak seragam, serentak dan dandan iaitu sebaik sahaja berlaku ‘kemungkaran’. Sebab, sentiasa ada dua atau tiga pihak yang berpendirian tidak sehala menangani masalah itu, digembalai kepentingan yang bersaingan. Masing-masing merasa lebih bijaksana mencari penyelesaian.
Ambillah nama Tanah Melayu. Kini yang tinggal ialah Keretapi Tanah Melayu. Dalam pemakaian harian sekarang nama bermanfaat itu sudah tidak lagi kedengaran. Tiada lagi bersenandung Semenanjung Tanah Melayu, Persekutuan Tanah Melayu, negeri-negeri Melayu. Toleransi telah melorongkan wujudnya situasi yang menyusuli.
Pun, Baju Melayu dipakai oleh individu-individu tatkala perlu.
Di kalangan permasalahan yang masih menendas minda masa kini ‘bahasa Melayu’ sedang bertarung dengan ‘bahasa Malaysia’. Ini hanya sekadar mengaitkan nama. Amalinya, seakan boleh saling bertukar! Dari sudut kepihakan, ada yang mendukung sebutan awal sedangkan bukan tiada pula selesa dengan sebutan kedua. Memahami dan menyebelahi setiap kumpulan yang mendalangi wadah perjuangan pun memang satu cabaran, kalaupun sekadar hendak mengerti rasional pendirian. Apabila bertembung pula dengan kelompok-kelompok berlainan budaya ia berterusan seperti selama ini dialami!
Dokumentasi tentang kebahasaan kebangsaan telah ensiklopedik terlipat di dada kertas-kertas kerja, majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka dan lain-lainnya. Puluhan tahun penyaksian peribadi membentuk pendirian. Sebenarnya wacana-wacana sekarang adalah semuanya pengulangan!
Harga diri peribadi banyak bergantung kepada faktor-faktor mutlak melatari niat untuk kekal terpelihara seperti semula. Berkebangsaan. Tetapi sebagai satu ‘bangsa’ bernegara serba warga faktor-faktor yang mempengaruhi wawasan beraneka, lagi dengan kompleksitinya. Setiap tangkisan membingkas tepisan. Puluhan tahun, bentrukan puak telah meletus dan isu-isu bukan tiada diakuri kaedah-kaedah penyelesaiannya. Namun, disebalik pemeteraian garis-garis bergerak menuju matlamat ia tinggal sebagai sumber yang tetap dipertikaikan. Padahalnya, bukan tidak berwibawa dokumen-dokumen yang dipegang. Bukan calang-calang malah diungguli Perlembagaan.
Kehidupan masing-masing berterusan dalam kegetiran rasa sendiri-sendiri. Kian menapak ke depan kian hilang jati diri. Hasrat untuk menyelesaikan sentiasa membara tetapi bara itu kian mengecil, sehingga cukup diibaratkan liuk-lintuk cahaya dian sahaja. Kalau ia lautan, ombakannya tanpa gelora.
Perpecahan telah kian meretakkan. Ia dbaluti situasi melampaui asali. Para pelakon sudah keluar dari sekitaran dahulu dan menyesuaikan diri dengan tuntutan masa kini. Kematangan tidak pernah tiba di takahnya. Mereka sentiasa bertatih menuju destinasi masing-masing.
Aku sudah tidak yakin lagi ada di kalangan mereka sedia sejiwa setelah merobah jati diri dalam hampir serba-serbi.
Yang pergi terpisah sudah. Tiada siapa sedia menggalang ganti kerana yang bersimpati bukan pun ada geliga sakti.
Untuk versi lain, bacalah, Ahmad Sarju, Jalan Kebun, Kelang, “Menebus Nama”, (Dunia Persajakan), DIAN, bilangan 40, Tahun X, 1971, muka surat 88-89.

No comments:

Post a Comment