Pantulan B/02/03/2018: Wayang Kulit Versi Kini
Dalam sejarah meneliti Hikayat Seri Rama, apalagi versi yang diwayangkulitkan berasaskan lokaliti, setahuku, Tuk Dalang sangat mematuhi teksnya. Dia tidak akan pandai-pandai mereka cerita intinya sesuka hati sendiri. Tetapi Rudi Mahmood (Ya! Sekali lagi puisi Rudi tampil dalam belekan) melalui, “Dendam Tuk Dalang”, (Puisi), Dewan Sastera, Disember 1982, muka surat 10, telah merobah kebiasaan atau tradisi sehingga dapatlah kita nikmati sebuah versi peribadi beliau pula. Yang menariknya dan harus disedari, Tuk Dalang sendiri tidak merevolusikan semula kisah peri. Ia sebaliknya dirintis bestari oleh Dalang Muda. Kemudian, baharulah Tuk Dalang sebenar melapah “dendam” berahinya mengambil alih peranan Seri Rama. Dan Rawana tentulah terlepas peluang sekali lagi. Memang Tuk Dalang berupaya merangka cerita berlainan berbanding yang langka. Pokoknya, Sita Dewi terpelihara rapi.
Ya! ceritera Seri Rama dan Sita Dewi, walaupun tanpa Laksamana, Rawana dan Hanuman dimunculi, tetap tidak akan menyisihkan tema cinta peribadi bernafsu rakus merebut hak berharga orang lain. Dalam versi puisi ini, walaupun dengan andaian, Tuk Dalang nekad menyambung hikayat dengan riwayat sendiri agar pewayangan tidak terhenti. Maknanya, Sita tetap puas dicumbui serasi.
Aku kira, teks selangka ini digali bererti oleh Rudi dengan menambah unsur non konvensional, belum pernah terjadi dalam helaian-helaian puisi. Dia mengangkat peranan baru berumbu idea Tuk Dalang sendiri. Serentak itu tetap tegak Tuk Dalang, kekal unggul melipor lara sekerat dua pendukung dan penggemar hiburan corak tradisi bersisa sebilangan jari!
No comments:
Post a Comment