Saturday, 1 September 2018

Rumusan Pantulan Puisi 2017:

Pantulan Puisi 2017: Kudrat merosot
Berbanding 60 buah puisi yang dipantul pada tahun 2016, pencapaianku dalam tahun 2017 jauh merosot. Angka yang muncul ialah 26, hampir dua pertiga menurun. Kegagalan mengekalkan kekerapan pantulan banyak disebabkan kepelbagaian belekan harian. Kalau tumpuan, katalah, terhadap majalah-majalah keagamaan maka pantulan harian akan membabitkan isu-isu keagamaan; kalau ia menyangkut isu-isu kemasyarakatan; maka begitulah pula dengan tumpuan pantulannya, dan seterusnya.
Kuamati dan ternyata pantulan-pantulan itu dilakukan dalam bulan Mei (7 buah), Ogos (7 buah), September (10) dan Oktober (3 buah). Teman-teman karyawan berkenaan ialah Ahmad Sarju (2), Siti Zaleha M. Hashim (2), Azmi Yusoff (1), Siti Zainon Ismail (2), Teratai Abadi (2), Hilmi Rindu (2), Norhisham Mustaffa (1), Zurinah Hassan (2), Malim Ghozali PK (1), Sabariah Bahari (1), Asmira Suhadis (1), Zaiton Ajamain (1), Rudi Mahmood (1), Sahrunizam Abdul Talib (1), Solihin Osman (1), Leo A.W.S. (2), Wan A. Rafar (WanRafar Ishak) (1), dan Djazlam Zainal (1).
Mereka melentur kata-kata dalam aspek-aspek peribadi atau diri sendiri (6), kemasyarakatan (9), alam sekeliling (1), semangat/perjuangan (4), dan ketuhanan/keagamaan (6). Pelenturan minda dan pembauran rasa itu telah membuktikan para karyawan berjaya menghasilkan ciptaan-ciptaan yang boleh mengesankan para peneliti.
Aku tidak dapat mengkhususi pantulan terhadap sesuatu bidang [puisi] sahaja. Minat dan koleksi bahan-bahan sumber meliputi pelbagai bidang. Adalah tidak adil kepada usaha-usahaku sekian tahun untuk hanya menghadkan belekan dalam bidang kesusasteraan, khususnya kepuisian, kerana keragaman pengumpulan koleksi akan berterusan demikian lalu memandu atau mengawal hala tuju aktiviti harian. Paparan rutin akan muncul ditadbir oleh agenda dan jadual belekan tersebut. Jika tidak bercorak begini, ertinya merobah tabiat selama ini, pastilah sia-sia longgokan buku yang sedang melambaki ruang kediamanku.
Kalaulah masa boleh kupastikan tidak bergerak kecuali puisi merestui langkahannya maka setiap hari mahu kupantuli puisi-puisi. Namun, puisi itu harus benar-benar puisi. Ia seharusnya bererti: berseni dengan makna bercendiakawanan. Ia tidak terikat oleh waktu dan keperihalan atau kecenderungan semasa yang meletus di sekitaran manusia.
Mujurlah. Di kalangan teman-temanku, ada yang berwibawa mencipta karya yang tidak bisa dilepas-pandangkan, sebaik bacaan kali pertama pun. Butiran khazanah ini akan kupantuli agar terlerai dalam tahun ini, tahun dua kosong satu lapan Masehi. Semoga lebih kerap berbanding yang sedia ada, insya-Allah.
Sementara itu, sekali lagi, diucapkan ‘Tahniah’ kepada teman-teman yang dianugerahi penghargaan kerana berpuisi bererti lantas mengungguli – Rudi Mahmood, Teratai Abadi (Allahyarham) dan Hilmi Rindu.
Aku tetap menambah koleksi antologi atau kumpulan puisi. Semoga di dalamnya bakal kutemui puisi-puisi yang kucari-cari. Dalam pada itu, kutekankan kata-kataku lewat sajak "Genting" , (21 Januari 2017):
“Selayaknyakah sajak?/demi keghairahan/sekilat melukut /sirna mengikut/seusia pencipta.”
Selamat berpuisi dan berbakti.
Comments
Saad Noordin Assalam selamat menyambut 2018 Dato...didoakan semuga sentiasa dalam bahagia dan sihat
Manage
LikeShow More Reactions
Reply34w
Isahak Haron Dato memcetus n mengidupkan minat pembaca mengkaji sastera warisan kita. Syabas. Selamat tahun 2018.

No comments:

Post a Comment