Friday, 31 August 2018

Rapuh (1) - Perihal Seorang Penggiler Buku

Rapuh (1)
“BBW Book Fair” di The Mines sedang berlangsung. Ada tawaran hebat. Diskaunnya ada sampai 90%”, kata isteriku. Dia memberitahu seakan aku tidak menyedarinya. Sedang peristiwa-peristiwa begitu sentiasa dalam pantauan. Tidak pernah ia terlepas dari perhatianku.
Sebenarnya kebelakangan ini aku seakan menanamkan pendirian untuk tidak menggilai buku. Kerananya mudah. Sudah berpikul-pikul buku berlambakan dalam koleksi. Sudah terlewat masanya untuk aku membaca semuanya. Kehadiran di pesta-pesta buku akan menjadikan bertambah banyak lagilah buku-buku memenuhi ruangan rumah.
Reaksi positif terhadap ajakan isteri bakal melumpuhkan niat. Sebiji dua akan bertambah. Tidak boleh tidak. Demikian sering berlaku dari semasa ke semasa. Sudah terbukti. Sebarang resolusi untuk tidak membeli lagi tidak pernah berjaya dilaksanakan.
Teringat, seorang teman yang berkunjung ke rumah baru-baru ini bertanya, “Masihkah buku-buku dibeli?”. Tentulah soalan itu diajukan apabila beliau melihat koleksiku yang tidak sedikit jumlahnya.
Tetapi ketika di Shah Alam menghadiri seminar “Yang Berani Hidup” anjuran Kerajaan Negeri Selangor benih resolusiku tercalar. Reruai Gramedia yang ikut serta seakan membawaku ke Jakarta. Lalu buku “Memoar Pulau Buru 1” sudah dimiliki. Apalah nilai RM35 untuk sebuah catatan pengalaman setebal 516 halaman. Alangkah rugi mengabaikan keselesaan yang menjelma. Menghindarinya tidak bijak. Nanti, “Bumi Manusia dan lain-lain” yang sedia ada di rumah mengecamukkan minda. Sesalan tak berkesudahan seharusnya dielakkan. Tetapi, padahnya, pasti akan kuburu pula sambungannya, Siri 2! Mungkin di Jakarta atau di kota-kota lain ketika berwisata kelak, insya-Allah.
Dan di The Mines, sambil mengiringi isteri, akhirnya terbeli selonggok lagi bernilai RM311.50. Tentu tidak sukar membayangkan banyaknya bilangan buku-buku itu. Ya, kalau setiap satu berharga antara RM5, RM8, RM10, RM12, RM18, dan seterusnya, dari segi timbangannya pun, tentu berat. Jika disusun meninggi, tentulah tebalnya berkaki-kaki.
Hakikatnya, aku tetap gagal melaksanakan resolusi yang baru diperinci. Semoga dalam tahun 2018 aku akan lebih berjaya. Semoga.
Comments
Ahmad Said Hari ini, 28 Disember 2017, saya beli lagi selongok, 111 buah buku.
Manage
Reply35w
Ahmad Said Apabila dibuka semua bungkusan, buku-buku yang menjadi koleksi terbaru ini adalah seperti dalam gambar.
Manage
Reply35w
Ahmad Said Hari ini setroli lagi saya punggah – sebelah pagi dan selepas Jumaat, sekali lagi, sebelah petang.
Manage
Reply35w
Ahmad Said Melintasi, Datuk Haji Hassan Ahmad, “Menggalakkan Pertumbuhan Buku Sastera”, (Surat Sastera), Dewan Sastera, September 1982, muka surat 3-5. Beliau menutup surat tersebut dengan, “Jika, entah dengan kuasa ghaib apakah, tiba-tiba kedai buku tumbuh seperti cendawan di merata tempat di negara ini, di ceruk-ceruk kampung dan sebagainya, apakah orang akan berduyun-duyun keluar rumah mengunjungi kedai buku, membeli dan membaca buku, rumah-rumah mereka dihiasi almari-almari buku, dan penerbit buku tiba-tiba akan menjadi kaya raya? Belum tentu. Penerbitan buku hendaklah dianggap sebagai suatu perusahaan yang penting untuk pembangunan negara dan segala usaha – kempen negara – hendaklah dibuat untuk mewujudkan suatu masyarakat Malaysia yang mencintai buku.”

No comments:

Post a Comment