Friday, 31 August 2018

Pantulan A/01/25/2017: Sajak Leo Aws [Leo A.W.S.] “Mendung Pagi”

Pantulan A/01/25/2017: Zaman yang pergi
Barangkali kaedah munasabah lagi bijak untuk merakamkan pengalaman ialah dengan mencipta sajak. Dengan kesungguhan, peristiwa-peristiwa yang dilalui akan terakam bererti dan boleh dikongsi dengan pemerhati yang bersimpati. Maka dengan tiba-tiba aku melintasi keratan akhbar Mingguan Malaysia, Ahad, 13 Disember 1992, pada ruangan “Puisi” yang memang sebahagian daripada koleksi. Daripada 7 pemuisi yang terpapar nama, tiga daripada mereka adalah ‘friend’ fbku, termasuk Leo Aws [Leo A.W.S.] di Dewan Beta, yang menyanyi “Mendung Pagi”, muka 11. (Biarkan ‘mendung’ itu kerana fenomena demikian hanyalah sementara -- meruap kabus, menyinarlah suasana).
Ia sebuah senandung yang mudah tetapi berbuah coretan kenangan merentasi zaman yang semakin menghilang. Sebab, ‘kekuningan’ padi sudah tiada lagi menyerikan sekitaran kebanyakan desa di tanah air. Yang ada lalang, belukar dan keterbiaran, atau pembangunan yang merobah landskap kawasan. Sedikit kemodenan sudah tersingkap ketika temanku merentakkan irama kerana para petani mengutip rezeki “dari mesin menuai” berbanding sedikit awal mereka sendiri atau bergotong-royong mengetam beramai-ramai. Kelainan itupun sudah menyerlahkan betapa perubahan dan teknologi telah meragamkan atau mengancam kekukuhan bermasyarakat. Ia lagi drastik menukar suasana kalau sekarang seseorang hendak merakamkan proses pembangunan selepas negara kian matang menghirup keringat kemerdekaan.
Aku berasa bertuah kerana sempat mengalami peringkat-peringkat bermakna bernegara sendiri atau menjadi rakyat yang sangat menghargai pengalaman yang sudah banyaknya bukan lagi menjadi sebahagian amalan seharian masa kini. Fasa-fasa kehidupan, bidang-bidang pelibatan mencari makan sudah jauh berlainan daripada ketika silam. Dan, alangkah kita berasa bertuah dengan rezeki yang berlimpahan – lahir dalam kemiskinan, membesar dengan keriangan mengekang kekurangan, tetapi dewasa menyumbang untuk pembangunan negara, sambil menikmati keselesaan dalam takwa. Semoga demikian, bukan kebalikannya.
Sekelumit coretan tidak tersesia. Untuk diri ia mengembalikan ingatan, semoga dimuhasabahkan. Untuk peneliti ia pun bermanfaat kerana boleh dibandingkan dengan hakikat pengalaman – sama ada berbeza atau hampir-hampir sedarjat.

No comments:

Post a Comment