Mengenang Kassim
Kassim mulai saya ‘kenal’ selepas buku Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Pelayaran Abdullah yang diselenggarakannya menjadi teks subjek Kesusasteraan Melayu ketika saya di Tingkatan Lima/Enam, pada tahun 1968, 1969-70. Pendahuluan terhadap buku-buku itu yang ditulis Kassim telah membangkitkan hormatku terhadap beliau. Apabila memasuki universiti pembacaan terhadap tulisan-tulisan beliau terutama “Perwatakan Dalam Hikayat Hang Tuah” (1973) dan juga karya-karya kreatif beliau terutama sajak-sajak dibantu oleh ulasan yang baik oleh pengkritik seperti Norzah dan Baha Zain telah menambahkan lagi kekagumanku terhadap beliau.
‘Interaksi’ langsung antara kami berlaku dalam satu forum kesusasteraan yang Kassim Ahmad menjadi penceramahnya. Majlis itu diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, bertempat di Lembah Pantai, pada Oktober 1973. Malam itu, dewan penuh sesak dengan para mahasiswa kerana Kassim Ahmad sememangnya sudah sangat terkenal ketika itu. Aku ingat hanya dua tiga soalan sahaja sempat diajukan sebaik pembentangan ceramah. Dan, salah satu soalan itu datangnya dariku. Yang aku masih ingat soalan itu berkaitan dengan tanggapanku terhadap kontradiktori pandangannya dalam ceramah tersebut.
Aku juga ingat, ceramah Kassim itu telah disentuh oleh Pena Patriot dalam tulisannya dalam akhbar TRUTH (Vol. 1, No. 7, Oktober 1973, pp. 10-13, 17-18). Katanya, “Kassim lately gave a talk at Universiti Kebangsaan Malaysia on October 3rd on “Our Writers Today and Their Problems”, in which he came under heavy fire from a number of progressive students and intellectuals present, ...”. Kerana aku menjadi salah seorang yang tampil ke mikrofon bertanya Kassim, aku perasan, akulah salah seorang daripada pelajar-pelajar progresif yang dimaksudkan itu. (Hakikatnya, secara senyap-senyap kuakui, bahawa aku bukan demikian!)
Ceramah Kassim Ahmad itu merangsangku menulis rencana mengulas ceramahnya lebih lanjut. Tulisanku itu, “Ulasan Ceramah Kassim Ahmad Karya ASAS 50 Senang Difahami” tersiar dalam Utusan Zaman pada 28 Oktober 1973. Dalam tulisan Shahrom Mohd. Dom, dalam majalah Dewan Bahasa, Oktober 1974, Shahrom telah juga merujuk tulisanku dan menganggap pandanganku, dan beberapa orang penulis lain, sebagai tidak benar-benar memahami pandangan Kassim Ahmad.
Sebagai peminat sastera dan juga pemikiran alternatif non-konvensional, tulisan-tulisan bukan sastera Kassim tetap juga kuikuti. Aku bahkan membina koleksi karya-karya beliau , keratan-keratan akhbar mengenai beliau, di samping menyediakan bibliografi karya-karya beliau atau tulisan-tulisan orang lain terhadapnya.
Semoga roh Allahyarham dilimpahi rahmah-Nya jua. Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment