Friday, 31 August 2018

A. Teeuw

Ceramah A. Teeuw di Rembau (4 Julai 1964)
“Misalnya soal bahasa dan soal kesanggupan bahasa seringkali dicampur-baurkan dengan soal kesanggupan pemakai bahasa. Dalam ilmu bahasa sekarang ini umum dan dengan cukup jelas diperbezakan di antara bahasa dan pemakai bahasa. Di satu pihak bahasa adalah sebagai satu structure, susunan, sebagai satu sistem; di lain pihak adalah soal kesanggupan pemakai-pemakai bahasa mempergunakan susunan itu dengan cukup pandai dan cukup bertanggungjawab. Seringkali bahasalah yang dipersalahkan, seakan-akan bahasa itu kurang sempurna atau masih kurang maju, padahal yang sebenarnya silap ialah pemakainya yang tidak tahu tentang segala kemungkinan yang sudah terdapat di dalam sistem bahasa itu.”
(Prof. A. Teeuw, “Kedudukan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan Ditinjau Dari Sudut Ilmu Pengetahuan”, Dewan Masyarakat, September 1964, muka surat 44-45 (44-51)
Comments
Ahmad Said Kata Teeuw lagi, “... Orang Irish ada bahasanya sendiri, iaitu bahasa Irish, yang asalnya dari bahasa Kelt. Bahasa Irish memang kalau dipandang sepintas lalu banyak persamaan dengan kedudukan bahasa Melayu. Pulau Ireland lama sekali dijajahi oleh orang Inggeris. Orang Inggeris di sana juga merupakan minoritet yang penting, terutama kerana kuasa ekonominya. Bahasa Irish yang asli sangat berbeza dengan bahasa Inggeris. Jadi dalam tiga hal ini ada persamaan yang nyata dengan keadaan di sini.
Sekarang sebagai saya katakan, Eire sudah merdeka, dan secara rasmi bahasa Irish menjadi bahasa kebangsaan. Tetapi di dalam praktik boleh dikatakan bahawa usaha untuk memajukan bahasa Irish sebagai bahasa kebangsaan di sana sebahagian besar gagal.
Dalam tahun 1850, jadi kira-kira seabad yang lalu, di Ireland (pada waktu itu dijajah Inggeris) ada kira-kira tujuh juta penduduk, di antaranya ada 4 ½ juta yang berbahasa Irish sebagai bahasa ibunya. Dalam tahun 1950, jadi seabad kemudian, di negara Eire ada kira-kira empat setengah juta orang, di antaranya cuma tiga suku juta yang masih mengerti bahasa Irish, tetapi kebanyakannya mereka pun lebih lancar dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Irish, dan jumlah orang yang hanya mengetahui bahasa Irish sahaja dapat diabaikan, hampir tidak ada, semuanya bi-lingual dan umumnya ada cenderungan untuk mementingkan bahasa Inggeris.” (muka surat 49)
Manage
Reply49w
Ahmad Said Dalam Seminar Antarabangsa Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Bandar Seri Begawan pada 3-8 Ogos 1987, pakar-pakar terbabit telah hadir. Salah seorang, Profesor A. Teeuw telah membentangkan kertas kerja “Anasir-anasir Kejawaan dalam Sastera Indonesia Mutakhir”. Beliau ada juga berpantun, seperti berikut: 

“Terang matahari bersinar-sinar 
Bunga berkembang tak layu-layu
Seantara bangsa pakar berseminar
Tanda kemuliaan bangsa Melayu

Di Jawa di Kedah di Sunda Patani
Di Ambon Sri Lanka Johor Brunei
Asal Sarjana dan sasterawan berani 
Bahasa Melayu takkan hilang di dunia.”

(Lihat, Salmiah Ismail, “Seminar Antarabangsa Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Meletakkan Bahasa Melayu di Tempatnya”, (Laporan), Dewan Sastera, Oktober 1987, muka surat 48-49).

No comments:

Post a Comment