Friday 31 August 2018

Pantulan C/01/23/2017: Sajak (Leo Aws) Leo A.W.S, “Merpati Dua Sejoli”

Pantulan C/01/23/2017: Di luar kotak
‘Kejutan’ adalah salah satu unsur yang wajar hadir kerana ia menyerikan serentak itu mengemaskan sesebuah puisi. Ini aku temui dalam ‘sesyair’ sajak (Leo Aws) Leo A.W.S, “Merpati Dua Sejoli”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Bil. 5 [Mei] 2017, muka surat 73. Pada judulnya gubahan ini begitu klisé. Tetapi barangkali tiada alternatif lain terbaik menjudulkannya kecuali seperti telah sedia dilakukan itu. Dalam pada itu, yang memeranjatkan puisi ringkas ini mengharukan kerana yang “sejoli” sebenarnya hanya ‘sejenis’ lantas tidak membahagiakan atau berfaedah seperti yang dijangkakan seawal-awalnya. Lalu, malang bertimpa-timpa apabila ‘jantina’ lain yang berupaya mengambil alih peranan menyelamatkan keadaan, tidak sekufu pula sebab bukan sebangsa.
Tampaknya yang diketengahkan Leo adalah suatu hakikat yang tiba-tiba ditemui sesudah bertahun wujud tanpa disedari atau diselidiki. [Ada ketakcanaan tuannya terserlah]. Sedangkan sesuatu pengusahaan berharapkan hasil daripada pelaburan, tidakkah wajar pendirian berzaman itu disesuaikan dengan kesempatan atau alternatif yang satu-satunya diberikan?
Aku tidaklah akan teruja memantuli puisi ini kalau Leo menggantikan “punai” dengan helang atau gagak! Namun, dunia sentiasa mengandungi keanehan dalam sebahagian peristiwa yang berlaku. Persoalannya, masihkah mahu kita terus bermangu-mangu, kejap berpegang tentu prinsip terbukti dalam semua situasi mendatangi? Relakah kita berterusan menjunjung amalan merugikan (?) sedangkan ada penyelesaian di luar kebiasaan?
Puisi ini bererti sungguhpun pendek berhias tradisi. Setiap pembaca boleh bertanggapan berlainan. Ia mampu mencungkil pelbagai persepsi. Ia berseri lagi bernilai lantaran mengasah minda dan kalbu pembacanya sekali.

No comments:

Post a Comment