Pantulan A/01/26/2017: Karenah sulung
Senggang waktu melurukanku bertumpu kepada ‘keharuan’ Wan A. Rafar (WanRafar Ishak), menyelesaikan “Attempt at a Description”, Dewan Sastera, November 1975, muka surat 20. Sebagai satu pemerian, sajak yang panjang boleh menghadang semangat pembaca menamatkan. Silap haribulan, tinggallah ia terhimpit pada dan bersama-sama halamannya yang tidak dibelek lagi. Pun, aku melintasinya kini. Atas keyakinan reputasi karyawan ini, berdasarkan prestasi beliau yang lebih awal, kususuri juga adunan ini sekujurya. Dan yang terkesan, betapa gembira seorang “papa” kerana berputerakan anak kecil sedang nakal membesar menjadi tumpuan sekeluarga. Benar-benar dia, anak itu, telah hadir di tengah-tengah famili, disayangi.
Tidak sewajarnya dihairankan kalau seseorang, apalagi bapa sendiri, tidak pasti hendak memulakan cerita tentang buah hatinya, sebab semua seginya boleh jadi pangkalnya. Kalau secara berbabak, kita boleh dahulukan babak menemani ‘mama’ di dapur. Kalau bapa, yang lebih ghairah, mulakan pengalaman menukar lampin atau menyediakan susu botol, ganti yang asli.
Tetapi sebagai karya seni, ketidaktentuan tetap mengujakan. Asalkan bahan atau pengalaman disulam dengan maksud menimbulkan kesan. Bukan sekadar meluah tak keruan. Jadi, masalah apakah begitu besar sampai membangkitkan dilema untuk ‘papa’ memberi penjelasan? Tidak lain, pengalaman keibubapaan yang hampir semua insan beroleh giliran. Ada episod berlaku, satu demi satu. Anak kecil menjalani dunianya tanpa terlepas dari pemantauan. Dan aku yakin, tidak banyak yang berbeza dengan yang dialami pasangan atau keluarga yang lain. Berlanjutan sehingga yang disayangi berdikari, meneroka pengalaman sendiri pula.
Tetapi masa telah berlalu lebih 40 tahun. Semoga anak yang diperihalkan itu telah pula mengulangi pengalaman papa-mamanya. Semoga sajak ‘papa’ ini terus mantap, disedari, telah sebenar-benarnya merakamkan tingkah laku semua watak yang terlibat. Semoga karya ini dirujuk sesekali, kerana bertepatan suasana dan takah usia lalu menghilaitawakan seisi keluarga ketika berkumpul mempererat pertalian musim-musim pertemuan.
No comments:
Post a Comment